Benevento Calcio: Daripada Sebuah Bandar ‘Ahli Sihir’ Ke Saingan Serie A Itali

Ketika kami menyiarkan jaringan penyamaan minit akhir melalui ‘flying header’ penjaga gol Benevento Calcio, untuk mengikat AC Milan dalam saingan Serie A Itali pada hujung minggu yang lalu, ramai di kalangan pembaca kami yang tertanya-tanya.

Kelab manakah Benevento Calcio? Sejak bila Benevento beraksi di Serie A Itali? Apakah asal usul Benevento? Itu adalah antara soalan yang dilemparkan oleh para pembaca kami.

Kisah dongeng bola sepak

Bola sepak mempunyai kisah dongeng tersendiri yang sering menarik perhatian ramai. Ingatkah anda bagaimana Leicester City menjuarai Liga Perdana Inggeris sebelum ini?

Atau bagaimana RB Leipzig menamatkan saingan Bundesliga sebagai naib juara pada musim lalu, sekaligus mengesahkan tempat ke pertandingan UEFA Champions League pada musim pertama mereka di saingan tertinggi bola sepak Jerman?

Atau kisah Greece menafikan pasukan gergasi lain di Eropah untuk akhirnya bergelar juara Euro 2004, selepas menewaskan tuan rumah Portugal dalam perlawanan akhir?

Hakikatnya ini ialah realiti bola sepak. Sukan yang kaya dengan pelbagai kemungkinan. Anda tidak perlu menampilkan corak permainan persis Barcelona mahupun memiliki penguasaan bola sehingga 75% seperti Arsenal dalam perlawanan yang lalu untuk dikenang sebagai yang terhebat.

Hanya orang gila akan menafikan pencapaian luar biasa seperti di atas. Apa yang dinyatakan oleh penulis adalah mukadimah kepada satu lagi kisah hebat yang ramai tidak ketahui.

Artikel kali ini akan merungkai salasilah kelab Benevento Calcio.

Pengenalan: Asal usul Benevento

Bandar Benevento hanya berpopulasi seramai 60,000 penduduk. Ia terletak di dalam wilayah Campania, kira-kira 90 minit perjalanan menaiki kenderaan daripada Naples.

Kelab bola sepak Benevento ditubuhkan pada 1929, dan sinonim dengan warna merah dan kuning sejak ditubuhkan. Kelab bola sepak ini turut sinonim dengan gelaran Stregoni- atau dalam terjemahan dan pengertian pada hari ini bermakna ahli sihir.

(Photo by Giuseppe Bellini/Getty Images)

Gelaran stregoni pada kelab bola sepak berkenaan kembali ke zaman ribuan tahun yang lalu sekitar kurun ke-6. Pada ketika itu semenanjung Itali dikuasai oleh Kerajaan Lombard yang merupakan suku Germanic dan mengamalkan pelbagai jenis ritual pagan.

Bagi penyokong bola sepak di Itali, sukar untuk tidak mengaitkan kebangkitan Benevento ke kancah saingan Serie A dengan ritual-ritual lama amalan nenek moyang mereka satu ketika dahulu

Awal penubuhan: Sporting Benevento

Pada asalnya, kelab bola sepak ini dikenali sebagai Sporting Benevento. Kelab tersebut diisytiharkan sebagai muflis sebelum diambil alih oleh 2 usahawan tempatan yang mengubah nama kelab tersebut kepada Benevento Calcio pada 2005.

Pada 2005, sukar untuk membayangkan sebuah kelab amatur mampu untuk bertanding di dalam Serie A, hanya selepas 12 tahun ia distrukturkan semula. Apatah lagi untuk sebuah pasukan yang hanya mempunyai pengalaman beraksi di liga bawahan.

(Photo by Tullio M. Puglia/Getty Images)

Sejak 1929, Benevento beraksi di saingan Serie C2 dan C1, sebelum dikenali sebagai Lega Pro pada hari ini. Ia bukannya perkara yang mudah untuk dinaikkan ke peringkat liga seterusnya kerana terdapat 60 pasukan bertanding dibahagikan kepada 3 kumpulan.

Kedua-dua usahawan yang juga merupakan adik beradik dikenali sebagai Ciro dan Oreste Vigorito membantu dari segi kewangan dan membangunkan kembali Benevento di dalam dan juga di luar padang.

Cabaran Benevento Calcio

Pada 2010, Benevento menerima tamparan yang hebat selepas salah seorang pemilik, Ciro Vigorito meninggal dunia. Ciro bukan sekadar pemilik Benevento.

Malah Ciro juga merupakan ketua kepada akademi bola sepak Benevento. Beliau adalah individu yang bertungkus lumus membangunkan bakat muda bola sepak di kelab berkenaan, yang merupakan tunjang kepada penghasilan pemain buat skuad Benevento Calcio selama ini.

Kematian Ciro Vigorito mungkin ada hikmahnya. Pemergiannya membuatkan penduduk dan penyokong kelab tersebut mulai sedar akan jasa dan sumbangan beliau.

BENEVENTO, ITALY – JUNE 08: Oreste Vigorito President of Benevento Calcio celebrates the victory after the Serie B Play off Final match between Benevento Calcio and Carpi FC at Stadio Ciro Vigorito on June 8, 2017 in Benevento, Italy. (Photo by Giuseppe Bellini/Getty Images)

Selepas itu, Stadio Santa Colombo yang berkapasiti 12,800, juga halaman kepada Benevento Calcio ditukarkan nama kepada Stadio Ciro Vigorito sebagai peringatan kepada jasa pemilik kelab tersebut.

Musim 2015-16 juga merupakan musim yang sukar buat mereka sehingga Oreste turut meletakkan jawatan presiden kelab bola sepak amatur berkenaan. Namun demikian, Oreste terus memberikan sokongan kewangan kepada Benevento.

Dengan sokongan oleh Oreste, Gaetano Autera adalah jurulatih yang bertanggungjawab pada musim bersejarah bagi Benevento apabila mereka berjaya melayakkan diri ke Serie B dengan menjuarai Kumpulan C Lega Pro.

Pada ketika itulah mereka mulai percaya bahawa Benevento Calcio mampu mencipta nama di kancah bola sepak Itali.

Benevento di Serie B

Kejayaan di Lega Pro bermakna musim 2016-17, Benevento akan beraksi di Serie B. Secara kasarnya amat mudah untuk menyimpulkan nasib Benevento di akhir musim.

Jurang saingan dan tahap kompetitif pertandingan Serie B dan Lega Pro sangat jauh. Maka kebiasaannya, pasukan yang tiba dari Lega Pro dijangka hanya kekal semusim di saingan Serie B, sebelum kembali terjerumus ke Lega Pro.

(Photo by Giuseppe Bellini/Getty Images)

Beraksi di Serie B bermakna pemain-pemain Benevento perlu mengubah persepsi mereka. Pertama ialah mentaliti pemain. Jika sebelum ini mereka beraksi sebagai sebuah kelab separuh profesional, Serie B adalah saingan liga profesional sepenuhnya.

Pengurusan dan pemain pantas mengadaptasikan diri dalam mengubah pemikiran serta mentaliti pemain untuk saingan di Serie B. Namun demikian, terdapat perbezaan pendapat di antara jurulatih, Gaetano Autera dan Oreste Vigorito akan hala tuju kelab berkenaan.

Akhirnya Autera meletakkan jawatan, dan posisi beliau diambil alih oleh Marco Baroni. Untuk rekod, belum ada di dalam sejarah bola sepak Itali, mana-mana pasukan dari Serie B layak ke Serie A pada percubaan kali pertama.

(Photo credit should read MIGUEL MEDINA/AFP/Getty Images)

Benevento bermula dengan cemerlang dalam saingan Serie B, termasuk menewaskan satu lagi pasukan meningkat naik SPAL 2-0 dalam perlawanan pembukaan.

Selepas itu, mereka mencatat 4 kemenangan dari 7 perlawanan pembukaan, membuktikan corak permainan menyerang mereka memberi kesan positif dalam saingan Serie B.

Benevento beraksi secara konsisten pada setiap minggu, lantas menarik perhatian ramai peminat bola sepak neutral dari seluruh semenanjung Itali yang gemar akan corak permainan bersemangat yang ditampilkan oleh pasukan tersebut.

Tunjang kekuatan Benevento Calcio

Baroni memulakan tugas dengan cemerlang untuk Benevento menuju musim 2016-17. Beliau membawa masuk beberapa pemain baharu untuk memastikan Benevento mampu bersaing secara kompetitif.

Raman Chibsah dari Sassuolo dan George Puscas dari Inter Milan dibawa masuk secara pinjaman. Chibsah adalah pemain tengah berusia 24 tahun dari Ghana, manakala Puscas adalah penyerang Romania B-21. Kedua-dua pemain adalah tunjang kepada jentera serangan pasukan.

(Photo by Maurizio Lagana/Getty Images)

Fabio Ceravolo juga yang menyertai AS Roma pada awal musim ini juga memainkan peranan penting dengan 21 gol di dalam saingan Serie B untuk membantu Benevento layak ke Serie A. Begitu juga dengan Amato Ciciretti, pemain berusia 23 tahun yang mempunyai kepantasan di bahagian sayap.

Kepulangan Oreste Vigorito sebagai Presiden kelab untuk meneruskan legasi abangnya Ciro turut menjadi pemangkin kepada kebangkitan Benevento Calcio.

(Photo by Giuseppe Bellini/Getty Images)

Kelab bola sepak berkenaan akhirnya menamatkan saingan Serie B 2016-17 di tangga ke-5, untuk layak ke perlawanan play-off. 

Terkenal dengan nama jolokan Stregoni, mereka menyingkirkan Spezia dan Perugia sebelum mengesahkan tempat ke Serie A dengan kemenangan ke atas Carpi, yang mempunyai lebih banyak pengalaman serta pernah merasa kehangatan saingan Serie A.

Rumusan: Tidak segalanya mudah

Selepas keputusan buruk tanpa sebarang mata dan kemenangan, Marco Baroni akhirnya dipecat sebagai pengendali Benevento Calcio.

Jawatan tersebut kemudiannya diisi oleh Roberto De Zerbi yang mempunyai pengalaman  mengendalikan Palermo pada musim lalu.

Tidak semuanya mudah buat Benevento. Tiada mata selepas 14 perlawanan, tidak ada siapa yang memberi peluang kepada mereka ketika berhadapan dengan AC Milan di bawah bimbingan pengurus baharu, Gennaro Gattuso.

Jaringan ‘flying header’ oleh Alberto Briggolo, penjaga gol berusia 26 tahun untuk memberikan mata pertama Benevento di minit akhir perlawanan sangat epik.

Ia mungkin tidak cukup untuk mengekalkan Benevento di saingan Serie A pada musim hadapan. Ataupun mungkinkah ia bakal mencetuskan kebangkitan kepada kelab yang sering dikaitkan dengan mantera dan sihir sejak ribuan tahun lalu?

Kita bukan ahli sihir atau nujum untuk menentukan masa depan kelab ini. Namun segala usaha keras, cita-cita, dan impian mereka wajar kita contohi.

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN