Demerson Bruno Costa: Dari Chapecoense Ke Sarawak, Kini Sertai Bali United

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Bekas pemain pertahanan kelab Brazil, Chapecoense yang turut mewakili pasukan Sarawak dalam saingan Liga Super musim lalu, Demerson Bruno Costa telah mengikat kontrak secara rasmi bersama Bali United untuk kancah saingan Liga Indonesia pada musim hadapan.

Demerson dilaporkan telah mengikat kontrak selama semusim bersama skuad Serdadu Tridatu itu, dan perkara ini disahkan sendiri oleh jurulatih Bali United Widodo Cahyono Putro dalam satu kenyataan.

“Bagi kami, corak permainan yang ditampilkan oleh Demerson sangat sesuai dengan corak permainan pasukan ini. Demerson juga boleh beraksi di dua posisi berbeza, iaitu sebagai pemain pertahanan tengah, juga sebagai pemain tengah pertahanan.”

“Dari segi perbelanjaan kos untuk mendapatkan khidmat Demerson, ia juga berada di dalam kemampuan belanjawan kelab ini,” ujar Widodo.

Widodo dipetik sebagai berkata demikian dalam satu sidang media untuk memperkenalkan Demerson sebagai pemain asing pertama memperkuatkan pasukan itu untuk saingan pada musim hadapan.

Menurut Demerson, Bali United merupakan sebuah pasukan yang mantap, juga merupakan salah sebuah kelab bola sepak yang mempunyai kumpulan penyokong yang luar biasa di dalam kancah Liga Indonesia.

Kredit: Kompas

“Saya gembira untuk berada di sini bersama Bali United. Saya tahu bahawa Bali United mempunyai kumpulan penyokong yang sungguh luar biasa,” ujar Demerson.

Untuk saingan Liga 1 Indonesia pada musim hadapan, Demerson turut nekad untuk memberikan yang terbaik dan bekerja keras bagi memastikan Bali United mampu untuk mengulangi pencapaian musim 2017.

Bali United merupakan naib juara Liga 1 Indonesia pada musim 2017, walaupun mempunyai kelebihan jaringan yang lebih baik daripada Bhyangkara FC.

Namun Bali United terpaksa berputih mata dan akur akan peraturan pertandingan selepas penentuan juara keseluruhan ditentukan melalui rekod perlawanan lalu (head-to-head) yang memihak kepada Bhayangkara FC.


“Sudah tentu saya mengharapkan mampu untuk membantu Bali United muncul juara pada musim akan datang,” tambah Demerson.

Bekas pemain import Sarawak ini mempunyai perwatakan yang rendah diri serta mudah didekati, menjadikan beliau cukup disenangi oleh rakan sepasukan dan juga penyokong ketika masih bersama skuad Bujang Senang.

Beraksi di bahagian pertahanan, Demerson telah membentuk persefahaman yang jitu bersama Ronny Harun. Untuk rekod, Sarawak dibolosi 34 gol sepanjang kempen Liga Super pada musim lalu.

Foto: Asiana.my

Jumlah ini hampir menyamai jumlah jaringan yang membolosi pasukan Kedah, dan lebih baik daripada PKNS FC yang berada di tangga ke-7 Liga Super Malaysia 2017.

Ketika di bawah bimbingan jurulatih David Usop, Demerson turut beraksi cemerlang di bahagian tengah pertahanan bersama dengan pemain muda tempatan, Awang Kamaruddin Awang Borhan.

Namun demikian, Demerson gagal untuk membantu Sarawak untuk kekal di saingan Liga Super Malaysia selepas menamatkan cabaran musim 2017 di tangga ke-11.

Sarawak disahkan akan beraksi di saingan 100Plus Liga Premier pada musim hadapan.

PERCUMA: Bandage Mudah Lekat.

Hak Cipta © Semuanya BOLA Sdn. Bhd. 1179367-U