Baru-baru ini tular rakaman sesi sidang parlimen di Ghana yang bercakap tentang pertahanan dan kapten Manchester United, Harry Maguire.
Waima ia merupakan rakaman lama – sekitar Disember tahun lalu, namun ia kekal relevan sehingga kini tatkala ‘The Red Devils’ dibenam Sevilla.
Man United tewas 0-3 kepada Sevilla dalam aksi suku akhir Europa League dan gagal mara ke separuh akhir apabila tumpas 2-5 secara agregat.
Tumpuan utama tewasnya mereka pada awal pagi tadi adalah kepada kesilapan pertahanan, Harry Maguire seawal minit ke-8. Kesilapannya membolehkan lawan memperolehi gol selepas kedua-dua pasukan terikat pada kedudukan 2-2 secara agregat dalam aksi pertama tempohari.
Dibolosi awal dalam aksi timbal balik adalah satu tekanan yang maha besar buat para pemain Man United untuk kembali dalam perlawanan.
#Maguire isn't pregnant but he always delivers😂#Sevilla takes the lead pic.twitter.com/33JvpM2om6
— Lule Vicent (@LuleVicent1) April 20, 2023
Para penyokong dilihat berpusu-pusu ke media sosial masing-masing demi menyalahkannya atas kesilapan yang sewajarnya dikongsi bersama David de Gea yang terlebih dahulu menghantar bola kepadanya.
Jadi, siapa yang bersalah? Ia terpulang kepada tanggapan masing-masing.
Apa yang pasti, seorang ahli parlimen di Ghana pernah mengatakan yang Maguire merupakan ‘ancaman’ terbesar buat benteng Man United.
Isaac Adongo dikatakan membandingkan prestasi dan mutu kerja Naib Presiden, Dr. Mahamudu Bawumia dengan ‘kemusnahan’ dibawa Maguire.
“Harry Maguire, dia adalah seorang pertahanan. Dia sentiasa membuat bentesan dan melontarkan badannya ke serata tempat. Dia dilihat sebagai pertahanan terbaik di dunia. Man United telah membelinya. Dia menjadi ‘ancaman’ terbesar di benteng tengah Man United,” ungkap Adongo.
“[Ancaman] dia membentes pemain Man United dan memberi bantuan gol kepada lawan. Tuan speaker, apabila lawan gagal menjaringkan gol, Maguire akan membantu mereka menjaringkan gol,” tambahnya lagi.
https://twitter.com/DeshiHQ/status/1649137840264216577
Dalam aksi awal pagi tadi, Maguire melakukan satu lagi kesilapan besar di awal babak pertama yang memberi beban tidak sepatutnya kepada rakan-rakan sepasukan apabila membantu Sevilla mencetak gol pertama.
De Gea dilihat memberikan bola kepadanya yang sedang diapit oleh dua pemain lawan. Cubaannya untuk membuat hantaran ke sisi kepada Aaron Wan-Bissaka mudah dipintas Erik Lamela yang kemudian diberikan kepada Youssef En-Nesryi untuk mudah menewaskan penjaga gol di gawang.
Man United dilihat gagal bangkit selepas jaringan mudah tersebut dan dibolosi dua lagi gol, sekali lagi menerusi En-Nesryi pada minit ke-81 selepas jaringan kedua diledak Loic Bade, dua minit selepas babak kedua bermula.
Apa kata pengendali, Erik ten Hag? Bercakap kepada BT Sport, “Apabila kita melakukan kesilapan sebegitu, ia satu tugas yang sukar untuk memenangi perlawanan. Benteng tidak wajar harap yang kita boleh menerimanya. Kami perlu lakukan lebih baik dan ini adalah satu tuntutan.“