Pemain kebangsaan Thailand, Chanathip Songkrasin dilaporkan bakal menjadi rekrut terbaharu Selangor untuk saingan pada musim hadapan yang dilihat serba mencabar.
Selangor yang kini dilaporkan sedang mengintai beberapa pemain serangan import baharu turut dikaitkan bersama beberapa nama bintang kini di luar negara.
Terbaharu, satu gambar membabitkan antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan tersebut iaitu Dr Johan Kamal Hamidon bersama beberapa pengurusan Selangor dilihat bergambar bersama bintang Thailand, Chanathip di suatu lokasi.
Perkongsian foto itu mulai tular di media sosial kini dengan beberapa komen mengharapkan supaya Chanathip menyertai Selangor untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.
Umum mengetahui Chanathip kini merupakan salah satu tonggak utama buat BG Phatum dalam saingan utama di Thailand bersama prestasi cukup menyakinkan.
Malah, pemain itu juga sudah pun beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) sebelum BG Pathum terkandas di peringkat kumpulan.
Untuk musim ini sahaja di Thailand, Chanathip sudah pun merekodkan tiga gol bersama satu bantuan jaringan daripada lapan perlawanan membabitkan beliau bersama BG Pathum.
Di saingan ACL, pemain itu telah merekodkan tiga perlawanan dengan mencatat dua jaringan serta satu bantuan gol secara keseluruhan.
Sebelum itu, pemain berusia 30 tahun ini mencipta sensasi tersendiri selaku antara pemain Asia Tenggara paling menyerlah dalam saingan utama di Jepun bersama Kawasaki Frontale.
Jika Selangor berjaya mendapatkan pemain tersebut secara pinjaman atau pembelian terus, maka ia akan memberi suatu dimensi berbeza buat posisi serangan kelab tersebut.
Chanathip merupakan pemain yang sangat terkenal daripada segi teknik penguasaan bola menerusi gelecekan serta kreatif mencipta peluang di hadapan gol.
Beroperasi selaku pemain tengah serangan, kualiti dimiliki Chanathip sebenarnya mampu untuk memberi kelebihan berharga buat Tan Cheng Hoe di pentas Asia musim hadapan.
Apapun, laporan semasa menyaksikan tiada pengesahan rasmi jika pemain tersebut akan menyertai Selangor atau para pengurusan kelab tersebut cuma bergambar bersama pemain berkenaan.
Berkemungkinan juga Selangor sebenarnya sedang cuba untuk membuat rundingan bersama pemain sasaran mereka sebelum itu yang beraksi bersama Ratchaburi iaitu Alvin Fortes dan bertemu Chanathip di Thailand.