Menurut laporan Standard, pertahanan kiri Leicester City, Ben Chilwell dilihat mahu merealisasikan perpindahannya ke Chelsea pada jendela perpindahan akan datang.
Ia memberikan harapan besar buat Frank Lampard yang kini dalam usaha keras untuk memantapkan pasukannya selepas telah berjaya mendapatkan pemain sayap, Hakim Ziyech dan hampir pasti untuk mengikat penyerang RB Leipzig, Timo Werner.
Champions League umpannya
Chelsea telah cuba memancing pertahanan England tersebut sejak awal namun dikhabarkan menemui jalan buntu sebelum ini, namun dengan perkhabaran Marcos Alonso yang akan meninggalkan pasukan, Chelsea kembali memanaskan enjin.
Mereka percaya yang layak ke Champions League akan mampu untuk memikat Ben Chilwell ke Stamford Bridge selain mereka mungkin akan mendapatkan khidmatnya mengikut bajet yang mereka mahukan iaitu dibawah tanda harga £60 juta.
Dengan pandemik COVID-19 yang kini melanda dunia, Leicester City mungkin tidak boleh terlalu meminta dan dengan harga £60 juta itu sudah cukup berbaloi dengan pemain seperti Ben Chilwell yang masih berbaki empat tahun kontrak.
Selain itu, ia dilihat sangat bersesuaian dengan perancangan The Foxes untuk menjual pemain mereka dengan nilai yang tinggi pada setiap musim – sebelum ini mereka telah menjual Riyad Mahrez (£60 juta) dan Harry Maguire (£80 juta).
Christian Fuchs percaya bakat Ben Chilwell
Pertahanan kiri Leicester City, Christian Fuchs sebelum ini dalam temuramah bersama Goal ada menyatakan yang pemain berusia 23 tahun itu ditakdirkan untuk menjadi antara pertahanan kiri terbaik di English Premier League di masa akan datang.
Dengan 11 kaps bersama England, Christian Fuchs percaya ia sudah membuktikan yang Ben Chilwell adalah pemain muda berbakat dan masih mempunyai banyak masa untuk meningkatkan kemampuannya dalam beberapa tahun ke depan.
“Beliau sememangnya telah menunjukkan peningkatan. Beliau masih muda dan telah beraksi di peringkat yang sangat tinggi,” ujarnya dalam temuramah tersebut.
“Beliau berada di tempat yang sepatutnya dan saya percaya beliau akan menjadi pertahanan kiri terbaik di England di masa akan datang. Apa yang bagusnya, beliau masih muda, baru berusia 23 tahun dan memiliki potensi besar,” tambahnya lagi.
Ryan Bertrand dalam pemantauan rapat
Leicester sudah mula mencari pengganti yang sesuai buat Ben Chilwell dan dikatakan antara pemain yang sedang dipantau rapat oleh pengendali mereka, Brendan Rodgers adalah pemain berusia 30 tahun di Southampton, Ryan Bertrand.
Ini kerana, Brendan Rodgers dan Ryan Bertrand pernah bekerjasama beberapa ketika dahulu iaitu ketika di skuad muda Chelsea dan ketika di Reading. Pengendali berusia 47 tahun itu dikatakan sangat mengagumi kemampuan pertahanan kiri tersebut.
Namun, sekiranya Chelsea dan Leicester City gagal mencapai kata sepakat berhubung penjualan Ben Chilwell, Frank Lampard sudah memiliki perancangan lain antaranya mendapatkan Nicolas Tagliafico atau Alex Telles sebagai pilihan pengganti.
Adakah pemilik Chelsea, Roman Abramovich akan menunaikan segala kemahuan Frank Lampard? Selepas dua jendela perpindahan Chelsea tidak terlibat, mungkin apa sahaja yang dimahukan pengurus itu ketika ini akan direalisasikan olehnya.
KREDIT FEATURED IMAGE: THE SUN