Pemain pertahanan Arsenal, Hector Bellerin berpendapat diet baru yang diamalkannya dengan tidak mengambil daging di dalam menu telah meningkatkan kecergasan beliau pada musim ini.
Pemain yang berasal dari Sepanyol ini mengalami masalah kecederaan buku lali pada musim lalu, dan berjaya beraksi selama 90 minit buat pertama kali dalam 28 penampilan bersama Arsenal pada musim ini.
Untuk itu, Bellerin percaya bahawa diet yang berasaskan sayuran dan bebas daripada daging adalah penyebab utama kepada kecergasan beliau pada musim ini.
“Saya mulai mengamalkan pemakanan berasaskan sayuran mulai musim lepas.”
“Pada mulanya saya hanya mahu melakukannya selama beberapa minggu dengan tujuan untuk melakukan detox terhadap sistem tubuh badan.”
“Namun saya merasa lebih baik selepas mengamalkannya. Oleh itu saya terus melakukan amalan tersebut dan telah melakukannya selama 6 bulan sekarang,’ ujar Bellerin kepada Evening Standard.
“Perkara terpenting pada saya ialah mengenai kecederaan ringan seperti lebam yang dialami selepas perlawanan, dan bagaimana tubuh badan memberi respon untuk pulih secepat mungkin.”
“Saya sentiasa mempunyai masalah di buku lali selepas perlawanan kompetitif. Biasanya, ia akan membengkak dan membuatkan rasa tidak selesa kerana kesakitan.”
“Mengamalkan perubahan diet sebegini sebenarnya akan membuatkan proses pemulihan mengambil sedikit masa. Namun menjelang hari ketiga, saya akan berasa lebih cergas dari kebiasaan.”
“Apabila bangun dari tidur di pagi hari, saya berasa sangat bertenaga. Sebelum ini, saya adalah jenis yang akan mematikan jam loceng sehingga 5 kali sebelum terjaga sepenuhnya.”
“Rakan sepasukan seperti Nacho Monreal dan Laurent Koscielny turut pernah bertanya: ‘Di manakah daging di dalam pinggan anda?’ Mereka selalu mahu bergurau dan cuba meletakkan sekeping daging di atas pinggan saya,” jelas Bellerin mengenai impak perubahan yang dialaminya.
Bellerin bukan satu-satunya pemain yang memperolehi manfaat daripada perubahan gaya hidup dan pemakanan di kem Arsenal.
Jack Wilshere turut tidak mengambil sebarang produk berasaskan gluten dan tenusu dari Januari lalu, manakala Kocielny mengamalkan yoga untuk memastikan kecederaan tendon tidak berulang.
Pada musim ini Bellerin adalah salah seorang pemain yang menyerlah di kem Arsenal. Daripada 30 penampilan, pemain ini telah merekodkan 18 pintasan serangan lawan, 5 hadangan percubaan, dan 71 clearance.