Ia adalah permulaan yang sempurna buat Belgium dalam perlawanan penentuan tempat ke-3 dan ke-4 Piala Dunia 2018.
Perlawanan bermula agak perlahan buat kedua-dua pasukan pada mulanya.
Namun skuad kendalian Roberto Martinez enggan menunggu lama untuk menghadirkan impak dalam perlawanan ini.
Bermula dari Romelu Lukaku yang berjaya mencari Eden Hazard. Hantaran pemain tengah Chelsea ke arah far post England kemudiannya berjaya disempurnakan oleh Thomas Meunir yang berada di posisi lebih baik dari Danny Rose.
Ketika Belgium sudah mendahului 1-0, England pantas cuba memberikan tindak balas melalui hantaran lintang Kieran Trippier, namun ia berjaya dipintas oleh Vertonghen.
Nacer Chadli terpaksa dikeluarkan oleh Martinez pada minit ke-37 perlawanan akibat kecederaan, dan menggantikan beliau ialah Thomas Vermaelen
Walaupun kedua-dua pasukan cuba melakukan gerakan selepas itu, babak pertama perlawanan akhirnya berakhir dengan keputusan Belgium 1-0 England.
Dua pertukaran dilakukan England untuk cuba mengubah kedudukan pada separuh masa kedua.
Rashford dan Lingard dibawa masuk bagi menggantikan Sterling dan Rose yang kurang efektif.
Minit ke-55 menyaksikan Lingard bijak mencari ruang sebelum hantaran beliau gagal disambut oleh Kane.
Seminit selepas itu, Kevin de Bruyne melakukan satu lorongan cantik, namun gagal disambut kemas oleh Lukaku sebelum Pickford menyelamatkan keadaan.
Percubaan Eric Dier pada minit ke-70 berjaya menewaskan Courtois, namun dikeluarkan oleh pemain pertahanan, Alderweireld di garisan gol.
Minit ke-82 perlawanan, larian bijak Eden Hazard yang menyelinap di belakang Phil Jones untuk menyambut hantaran De Bruyne membuahkan hasil, apabila pemain itu kemudiannya tenang menolak bola menewaskan Pickford untuk Belgium mendahului perlawanan 2-0.
Kedudukan kekal 2-0 sehingga wisel penamat, dan generasi emas Belgium sah menduduki tempat ke-3, dan England pulang hampa.