Bekas Presiden Real Madrid, Lorenzo Sanz meninggal dunia pada usia 76 tahun selepas dijangkiti wabak coronavirus.
Anaknya yang juga bernama Lorenzo Sanz mengesahkan kematian ayahnya pada Sabtu melalui Twitter.
“Ayah saya bahaeu saja meninggal dunia. Beliau tidak patut menemui kesudahan sebegini. [Beliau] adalah salah seorang yang terbaik, berani, dan sentiasa bekerja keras yang pernah saya kenali.
“Keluarga dan Real Madrid adalah minat beliau yang paling mendalam. Ibu dan setiap dari kami adik beradik sentiasa mengenang waktu bersama beliau dengan penuh bangga. RIP.”
Sanz adalah presiden kepada Real Madrid selama lima tahun dari 1995 sehingga 2000 sebelum digantikan oleh Florentino Perez.
Sebelum ini Sanz mengalami selsema selama lebih seminggu sebelum dimasukkan ke wad di Hospital Fundacion Jimenz Diaz pada Selasa.
Lebih dari 24,000 orang telah dijangkiti dengan virus COVID-19 di Sepanyol, yang sehingga kini telah merekodkan 1,400 kematian.
Pihak kelab turut mengeluarkan kenyataan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Lanz. Beliau meninggalkan balu, Mari Luiz dan lima anak iaitu Lorenzo, Francisco, Fernando, María Luz [Malula] dan Diana.
Ketika Sanz merupakan presiden, Real Madrid menjuarai UEFA Champions League dua kali – kejuaraan eropah ketujuh pada 1998 selepas menanti selama 32 tahun, dan juga yang kelapan pada 2000.
Real Madrid juga muncul juara La Liga pada 1997 pada ketika era Sanz.
Antara nama besar yang pernah dibawa masuk oleh Sanz ke Santiago Bernabeu adalah Predrag Mijatovic, Roberto Carlos, Clarence Seedorf dan Davor Suker.
Anak beliau Fernando adalah bekas pemain pertahanan Real Madrid pada 1995 sehingga 1999 dan kini adalah duta kepada La Liga.