Kuching City dilaporkan bakal menandatangani pemain import seterusnya yang beraksi di posisi serangan untuk terus memperkukuhkan jentera hadapan pasukan tersebut pada saingan akan datang.
Menerusi perkongsian dibuat oleh wartawan Astro Arena iaitu Fadhirul Shuhaimi, Kuching City dilaporkan bakal menandatangani khidmat bekas pemain akademi Fulham suatu ketika, Keanu Marsh Brown.
Lebih menarik, Keanu sebelum ini sudah pun pernah menabur bakti bersama Kuching City pada saingan Liga Premier musim 2022 bersama aksi ditampilkan cukup baik di posisi sayap.
“Bekas pemain akademi remaja Fulham, Keanu Marsh Brown dijangka memperkuatkan Kuching City FC bagi hadapi saingan musim 2024/2025.
“Untuk rekod, pemain sayap berusia 31 tahun itu pernah menyarung jersi ‘The Cats’ pada musim 2022,” jelas Fadhirul mengenai pemain tersebut.
Rekod menyaksikan Keanu sebelum ini telah pun mewakili banyak kelab di England seperti Dundee United, Oldham Athletic, Newport County dan banyak lagi serta turut beraksi untuk saingan di Bahrain bersama East Riffa.
Di peringkat antarabangsa, Keanu pernah mewakili skuad pembangunan England, sebelum memutuskan untuk menyertai Guyana di peringkat senior bersama beberapa rekod gol diledak.
Menerusi pengamatan semasa, Aidil Sharin jelas memberi tumpuan sangat besar di posisi serangan Kuching City bagi saingan ini dengan beberapa import di posisi itu sudah pun diperkenalkan.
Terdahulu, Kuching City sah menandatangani bekas penyerang import Kuala Lumpur City (KL City) iaitu Tchetche Kipre, peledak berbisa Terengganu musim lalu, Jordan Mintah serta mengekalkan penyerang kebangsaan Timor Leste, Pedro Henrique.
Jika Keanu sah menyertai Kuching City, ini menjadikan pasukan tersebut memiliki empat peledak import untuk saingan musim hadapan bawah kendalian bekas pengendali Kedah Darul Aman (Kedah) itu.
Kehilangan Abu Kamara pada musim ini jelas mahu ditampung dengan lebih baik oleh Aidil dengan beliau sudah pun mempunyai senarai pemain import bersama latar belakang cukup positif untuk dpertaruhkannya.
Malah kelibat pemain tengah kreatif, Petrus Shitembi turut dikekalkan Aidil selepas impak besar dipamerkan pemain itu pada musim lalu untuk membantu serangan cukup dirasai serta mendapat pujian positif para penyokong.
Apapun, masih belum ada pendedahan rasmi lagi dibuat pasukan tersebut mengenai kehadiran kembali bekas pemain sayap mereka pada dua musim lalu itu.
Pada pandangan anda, adakah Kuching City akan tampil berbisa pada musim ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga M)?