Bekas penjaga gol Kuala Lumpur City (KL City) iaitu Kevin Ray Mendoza Hansen menjadi antara pemain yang sangat gembira selepas tampil buat pertama kali beraksi di Indonesia bersama Persib Bandung.
Kevin boleh dianggap sebagai salah seorang penjaga gol cukup berkualiti pernah beraksi di Malaysia sejak beberapa musim lalu sehingga pemain kebangsaan Filipina itu membantu KL City meraih kejuaraan Piala Malaysia 2021.
Tidak sekadar itu, tahun lalu menyaksikan beliau menjadi sebagai antara watak penting untuk membawa KL City mara ke final saingan AFC bersama aksi cukup menyakinkan.
Walaupun begitu, jodoh Kevin bersama KL City tidak berpanjangan dengan beliau kini sah menjadi sebahagian daripada keluarga besar Persib Bandung untuk saingan Liga 1 Indonesia.
Pada 18 Disember lalu, nama bintang ini telah tersenarai dalam kesebelasan utama terbaik mingguan bagi saingan Liga 1 Indonesia atas kecemerlangan beliau mengawal gawang gol Persib Bandung.
Nama Kevin menjadi tumpuan selepas ketangkasan beliau menyelamatkan banyak percubaan berbahaya ketika Persib menentang Bali United di gelanggang lawan sehingga pasukan tersebut meraih clean sheet untuk masing-masing terikat seri tanpa jaringan.
“Sudah tentu saya merasakan kejayaan ini sebagai suatu penghormatan dalam karier untuk tersenarai dalam ‘team of the week’ kali ini,” jelas Kevin menerusi laporan dikeluarkan oleh Bola.com.
Walaupun begitu, Kevin enggan terbuai dengan kejayaan itu dan ingin terus berusaha supaya prestasi beliau bersama Maung Bandung akan terus konsisten pada perlawanan akan datang.
Penjaga gol berusia 29 tahun itu juga berharap supaya kehadiran beliau bersama pasukan itu mampu memberi impak positif khususnya di posisi penjaga gol musim ini.
“Harapan saya supaya dapat tampil dengan lebih baik untuk saingan akan datang dan terus mencatat nama selaku penjaga gol mingguan terbaik kerana saya sangat suka dengan anugerah sedemikian,” kata Kevin lagi.
Untuk rekod, Kevin telah pun diberi peluang beraksi sebanyak dua kali pada musim ini bersama Persib Bandung bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Bojan Hodak.
Namun, debut beliau tidak berjalan lancar selepas mereka tewas 0-2 di tangan Persik Kediri pada 10 haribulan lalu sekali gus menamatkan rekod tidak tewas Persib Bandung selepas 14 perlawanan.
Apapun, pemain ini kembali mencipta kebangkitan pada perlawanan kedua untuk tampil cemerlang ketika berdepan Bali United dan berjaya mendapat reaksi positif dalam kalangan para peminat.