Bekas pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Danial Amier Norhisham dilaporkan bakal menjadikan Kuching City sebagai kelab seterusnya buat beliau untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan
Laporan tersebut dikeluarkan sendiri menerusi wartawan sukan, T. Avineshwaran yang menyatakan Kuching City bakal mendapatkan pemain muda tersebut dengan status pinjaman
“Difahamkan City Kuching berminat untuk mendapatkan pemain tengah Daniel Amier Norhisham secara pinjaman daripada JDT,” jelas kenyataan tersebut di media sosial X.
Danial menjadi antara bintang muda yang sangat menyerlah pada awal karier beliau suatu ketika dengan beberapa pencapaian turut dilakar untuk pasukan kebangsaan.
Namun, pemain ini terpaksa berhadapan dengan saingan cukup sengit di JDT selepas pasukan itu turut memiliki ramai bintang berpengalaman serta berkualiti di posisi tengah mereka.
Tindakan JDT untuk meminjamkan Danial dianggap sangat tepat untuk saingan hadapan dengan membiarkan pemain tersebut mendapat lebih banyak minit permainan serta meraih seberapa keyakinan untuk kembali menyengat di atas padang.
Malah, ia menjadi suatu rancangan yang baik buat Kuching City sendiri untuk cuba menandatangani Danial selaku pinjaman bagi memperkukuhkan lagi aspek posisi tengah.
Kuching City menjadi antara pasukan paling bermasalah musim lalu daripada segi penguasaan posisi tengah dalam kalangan pemain tempatan dimiliki mereka.
Kehadiran Petrus Shitembi dan Bruno Dybal selaku status pemain import menjadikan mereka tampil lebih baik serta kreatif pada pertengahan musim lalu.
Namun untuk slot pemain tempatan, mereka masih lagi belum mampu untuk menyelesaikannya dan kehadiran Daniel mampu untuk menyelesaikannya.
Kelebihan Danial daripada segi ketenangan mengawal tempo permainan serta kreatif mencipta hantaran-hantaran berbahaya menjadikan beliau selaku aset utama buat Kuching City pada masa hadapan.
Malah, Danial juga memiliki keupayaan tinggi untuk melepaskan rembatan tepat dari jarak jauh dan sudah pun dibuktikan menerusi rekod-rekod permainan beliau lalu.
Apapun, sehingga kini ianya belum disahkan lagi jika pemain berkenaan bakal menyertai Kuching City pada musim hadapan selaku pemain pinjaman atau bersama pasukan lain.