Federasi Bola Sepak Australia (FFA) telah melantik pembantu skuad Socceroos, Ante Milicic untuk mengambil alih pasukan kebangsaan Australia Bawah 23 Tahun untuk menghadapi pusingan akir kejohanan AFC U23 di China tahun depan.
Jurulatih terdahulu skuad itu iaitu Josep Gombau telah meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Australia Bawah 23 Tahun untuk memegang jawatan selaku pengurus pasukan Western Sydney Wanderers FC dalam saingan A-League.
Memandangkan Australia sudah pun mengesahkan tempat di kejohanan Piala Dunia di Russia tahun depan, FFA telah mengesahkan Milicic yang juga bekas pemain kebangsaan Australia akan membawa cabaran negara itu di kejohanan bawah 23 tahun AFC di China pada bulan januari depan.
“Ini merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan tidak kira di tahap umur berapa sekali pun.
“Saya telah banyak belajar daripada Ange Postecoglou ketika bersama skuad senior dan saya akan menggunakan pengalaman itu untuk memanfaatkan skuad bawah 23 tahun.
“Kami akan bermain corak permainan yang lebih aggresif ketika di China dan memberikan saingan sengit kepada lawan. Walaupun kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di China tidak termasuk dalam kalendar FIFA, tetapi kami mengambil serius pada kejohanan ini,” jelasnya.
“Kami akan memerhatikan pemain muda berbakat daripada A-league dan pemain yang menyertai kelab dari negara lain serta akan menyenaraikan barisan terkuat untuk dibawa ke China,” katanya.
Ketua pemantau prestasi FFA, Luke Casserly berkata Milicic merupakan calon terbaik untuk menggantikan Josep Gombau.
“Milicic telah memainkan peranan yang penting ketika dalam pembentukan pasukan kebangsaan 4 tahun lepas.
“Beliau mempunyai lesen AFC Pro-Diploma dan sangat dihormati dalam komuniti bola sepak Australia. Kami memang inginkan seorang jurulatih tempatan yang berkelayakan bekerja dalam kumpulan ini,” jelasnya.
Ante Milicic pernah mewarnai Liga Malaysia apabila beliau menyertai pasukan Pahang sebagai pemain import pada tahun 2004. Ketika itu Pahang digelar sebagai “Real Madrid Malaysia” dengan limpahan pemain bintang yang berstatus pemain skuad kebangsaan dan kehadiran pemain import yang berkualiti.
Milicic bersama seorang lagi pemain import dari Australia iaitu Simon Colosimo yang kini merupakan Pegawai PFA Australia, membantu pasukan Pahang menjuarai Liga Super buat kali pertama dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Milicic juga pernah menyertai Shahzan Muda dalam saingan Liga Perdana pada tahun 2008.