Bayern Munich Raih Gelaran Kedua Musim Ini Selepas Juarai DFB-Pokal

Bayern Munich

Kelab gergasi Jerman, Bayern Munich menambah koleksi kejuaraan yang dimenangi pada musim ini selepas berjaya menjuarai saingan DFB-Pokal susulan kemenangan ke atas Bayer Leverkusen 4-2 pada aksi final awal pagi tadi.

Kemenangan di Olympiastadion itu menjadi kejayaan berganda buat Bayern Munich setelah mereka baharu sahaja menjulang trofi Bundesliga buat kali ke-30, tempoh hari.

Segalanya tampak tidaklah begitu sukar buat Bayern Munich meskipun ada ketikanya Leverkusen memberikan ancaman ke kubu mereka yang dikawal penjaga gol berpengalaman, Manuel Neuer.

Skuad bimbingan Hansi Flick itu selesa mendahului Leverkusen 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan David Alaba dan Serge Gnabry.

Gol pembukaan dinantikan menjelma pada minit ke-16 apabila David Alaba meledakkan percubaan menarik menerusi sepakan percuma yang gagal dinafikan penjaga gol, Lukas Hradecky dan sekaligus terus menerjah gawang Leverkusen.

Berselang lapan minit kemudian, Gnabry yang menerima lorongan cantik dari Joshua Kimmich, melakukan larian deras ke dalam kawasan penalti lawan dan seterusnya melepaskan rembatan untuk sekali lagi mengecewakan Hradecky.

Memasuki babak kedua, Bayern Munich terus menggandakan asakan dan ia membuahkan hasil pada minit ke-59 apabila Robert Lewandowski meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti setelah menerima hantaran jauh dari Neuer.

Hradecky gagal untuk menghalang dengan baik rembatan tersebut dan hanya mampu melihat bola melepasi celah kakinya untuk memberikan gol ketiga buat Bayern Munich.

Pemain pertahanan Bayer Leverkusen, Sven Bender cuba untuk merapatkan defisit jaringan hasil tandukan pada minit ke-63 untuk memberikan sedikit semangat buat pasukan tersebut.

Lewandowski bagaimanapun tidak mahu memberikan peluang buat Leverkusen untuk bangkit melawan setelah beliau mencetak satu lagi jaringan di minit ke-89 untuk mematikan api perjuangan skuad bimbingan Peter Bosz itu.

Ketika aksi semakin menghampiri penghujung, Kai Havertz berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk jaringan kedua tetapi ia masih tidak cukup untuk menghalang Bayern Munich dari menjulang trofi DFB-Pokal buat kali ke-20 dalam sejarah kejohanan tersebut.

Manuel Neuer dan rakan sepasukannya berpeluang untuk memenangi kejuaraan ‘Treble’ pada musim ini susulan perjalanan mereka dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah masih lagi di landasan yang tepat.

Kelab Bavaria itu sedang mendahului Chelsea dengan kedudukan 3-0 dan akan menghadapi lawan dari London tersebut pada bulan Ogos nanti sama ada di Allianz Arena atau di Portugal.

Kredit featured image: Bayern Munich

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN