Bayangan Nazmi Faiz Akan Direhatkan, Perubahan Taktikal Untuk ‘Rantai’ Trio Import Lawan?

Nazmi Faiz direhatkan Kawasaki Frontale JDT ACL 2022

Adakah Nazmi Faiz Mansor akan direhatkan daripada kesebelasan utama untuk berdepan Kawasaki Frontale dalam aksi ketiga Kumpulan I, AFC Champion League (ACL) 2022 yang akan berlangsung pada malam ini?

Ini hanyalah spekulasi berdasarkan gambaran sesi latihan terakhir Johor Darul Ta’zim (JDT) pada malam tadi. Hanya pengendali, Benjamin Mora lebih tahu percaturan apa yang akan digunakan untuk berdepan lawan.

Menurut sidang media pra perlawanan pada sebelah petang, Mora ada menyebut tentang trio import Kawasaki Frontale yang dilihat mungkin boleh memberi masalah besar kepada benteng JDT dalam perlawanan itu nanti.

“Ini satu lagi aksi sukar buat JDT kerana Kawasaki Frontale ialah satu pasukan gergasi Asia yang dibarisi tiga rangkaian import dari Brazil iaitu Leandro Damiao, Marcio Barbosa dan Joao Schmidt. Oleh itu, JDT perlu memberi aksi terbaik sebaik minit pertama seperti dilakukan pada perlawanan sebelum ini.

Benjamin Mora

Ketiga-tiga pemain ini telah direhatkan ketika mereka membelasah Guangzhou FC 8-0 pada Isnin lalu. Besar kemungkinan mereka disimpan untuk aksi terakhir pusingan pertama kumpulan berdepan JDT, malam ini.

Kawasaki Frontale menggunakan formasi dengan penyerang tunggal. Ada dua penyerang yang merupakan peledak utama Azzurro Nero di J1 League selepas 10 perlawanan iaitu Leandro Damiao dan Kei Chinen. Kedua-duanya meledak masing-masing tiga gol dan untuk ACL ini, hanya Kei Chinen yang telah melakar dua gol.

Marcio Barbosa atau Marcinho adalah pemain sayap menyerang – berdasarkan aksi pertama berdepan Ulsan Hyundai. Beliau bergerak di sebelah koridor kiri dan tiada kelebihan ketara melainkan kemampuannya untuk membuat pressing tinggi kepada pemain lawan dan hantarannya. Gelecekan bukanlah kekuatan dirinya.

Walaupun pengendali, Toru Oniki meletakkan dua pemain tengah, Joao Schmidt merupakan pemain penting yang kukuhkan kawasan tengah kerana Kento Tachibanada dilihat berada di serata dan segenap padang. 

Dalam sesi latihan terakhir malam tadi, apa yang dapat dilihat adalah pemain-pemain seperti Natxo Insa, Arif Aiman, Bergson dan Fernando Forestieri yang merupakan pemain utama memakai bip emas tetapi Nazmi Faiz tidak memakainya. Adakah ini bermaksud pemain tengah itu bakal direhatkan dahulu di babak pertama?

Setelah melalui aksi yang baik berdepan Ulsan Hyundai, Nazmi Faiz dijangka akan terus mengemudi jentera tengah bersama Naxto Insa dan Leandro Velazquez. Ini kerana, kekuatan Kawasaki Frontale tidak jauh berbeza dengan Ulsan Hyundai. Begitupun, mungkin ada satu perancangan lain yang sedang digerakkan oleh Mora.

Mungkin JDT akan memperlahankan tempo menyerang mereka dengan lebih seimbangkan penguasaan bola. Afiq Fazail antaranya diketahui memiliki kawalan bola yang baik. Nazmi Faiz lebih kepada peranan ‘box-to-box’. Mereka kurang penguasaan bola ketika menundukkan Ulsan Hyundai berbanding berdepan Guangzhou FC.

Gandingan Afiq Fazail dan Natxo Insa bakal seimbangkan JDT di tengah untuk mengurangkan pengaruh Joao Schmidt, sementara Velazquez akan lebih kepada menggerakkan jentera serangan. Nazmi Faiz akan masuk setelah Mora merasa JDT sudah selesa dengan penguasaan bola di tengah padang untuk lebih menyerang.

Ini cuma pandangan kasar berdasarkan gambaran sesi latihan terakhir JDT. Adakah Nazmi Faiz akan direhatkan untuk membolehkan trio import Kawasaki Frontale dikunci terlebih dahulu nanti? Sama-sama kita nantikan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN