Bawa Masuk Jurulatih Futsal Berpengalaman, Kelantan FC Mahu Terapkan Metodologi Futsal?

Kelantan FC

Menyebut tentang pasukan Kelantan FC pada ketika ini, sudah pasti ‘perbalahan’ manja bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) menjadi perkara utama menjadi peminat bola sepak tempatan.

Namun, terdapat perkara lain yang lebih positif untuk dibicarakan apabila difahamkan bekas ketua jurulatih skuad futsal Brunei, Qusmaini Noor Rusli menjadi salah seorang daripada barisan kejurulatihan Kelantan FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.

Meskipun masih belum ada pengumuman rasmi daripada Kelantan FC, tetapi foto individu yang tidak asing dalam kancah futsal tempatan itu sering terpampang di laman sosial kelab tersebut bersama-sama pemilik kelab, Norizam Tukiman.

Qusmaini yang merupakan anak kelahiran Kota Bharu disebut-sebut bakal menjawat jawatan Ketua Pembangunan dan Metodologi dan dengan kepakarannya dalam futsal itu mungkin amat ditagih oleh Norizam bagi membawa dimensi baharu dalam corak permainan Kelantan.

Sekiranya ia benar-benar direalisasikan oleh Kelantan FC, amat menarik untuk diperhatikan penerapan elemen sukan futsal dalam bola sepak kerana seperti kita sedia maklum adunan kemahiran asas, individu, ketahanan serta kemampuan membuat keputusan dalam futsal mampu menghadirkan sesuatu yang lebih positif buat sukan nombor satu di dunia ini.

Bagus ke penerapan futsal dalam bola sepak?

Di Eropah, memang ramai jurulatih yang memiliki lesen bola sepak dan futsal dalam masa yang sama dan mereka ini digelar ‘Hybrid Coach’. Keadaan yang pastinya menguntungkan satu-satu pasukan kerana seseorang jurulatih itu memiliki kepakaran dalam dua sukan berbeza tetapi elemen dua sukan itu mampu untuk disatukan sekali gus memberikan hasil lumayan buat prestasi pasukan.

Hal ini kerana dalam futsal, anda perlu menyentuh bola dengan lebih kerap berbanding yang dilakukan ketika bermain bola sepak, perlu bergerak di ruang sempit dan pemikiran mereka akan segera memikirkan cara kreatif bagi menyelesaikan keadaan sukar dalam gelanggang.

Tidak keterlaluan juga untuk mengakui bahawa futsal pada dasarnya amat membantu para pemain muda untuk memahami serta meningkatkan kemahiran mereka dalam bola sepak.

Qusmaini bersama Pengarah Teknikal Kelantan FC, Nasir Yusoff.

Perkara ini jelas bukan lagi rahsia apabila futsal menjadi antara aspek penting dalam perkembangan bakat pemain-pemain terkenal dunia pada ketika ini seperti Mohamed Salah, Ferran Torres, Alphonse Davies dan ramai lagi.

Mengulas secara teori, futsal juga dapat membantu para pemain untuk menguasai beberapa teknik seperti menggelecek, melakukan hantaran, kawalan bola dan ‘marking’ terhadap pemain lawan.

Seorang pemain futsal yang baik kebiasaannya akan memiliki kualiti tinggi dalam situasi satu lawan satu dengan menggunakan kemampuan menggeleceknya untuk menewaskan penjaga gol lawan atau melakukan hantaran tepat dan bijak kepada rakan sepasukan.

Tempo permainan futsal yang sangat laju serta bermain di gelanggang kecil juga membantu para pemain untuk lebih bersedia dalam jangka masa pendek bagi merangka strategi bertahan kerana serangan balas pantas itu menjadi perkara wajib dalam sukan ini.

Kesemua elemen dalam sukan futsal ini begitu menarik sekiranya dapat digunakan dalam bola sepak. Corak permainan akan lebih kemas dan teratur dengan kualiti menarik ditampilkan pemain-pemain.

Siapa Qusmaini Noor Rusli?

Selain pernah berkhidmat di Brunei, Qusmaini nyata bukan asing dalam kancah futsal di tanah air apabila beliau pernah membimbing skuad Perak dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan 2018 sehingga membantu skuad Yob menduduki tempat kedua.

Tahun lalu, kepakarannya ditagih kelab Liga Futsal Pro Indonesia, Bank Sumatera Utara Medan FC tetapi disebabkan wabak COVID-19 yang masih tinggi di negara jiran tersebut, aksi liga di sana kelihatannya masih belum dapat diteruskan saingannya. Selain itu, Qusmaini juga pernah membimbing Melaka United, Sabah Quilmes, Negeri Sembilan, KWSP FC dan MBPJ FC.

Beliau juga pernah membawa pasukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wilayah Persekutuan memenangi kejuaraan bagi tiga edisi berturut-turut serta dua kali melayakkan diri ke perlawanan akhir Sukan Malaysia (SUKMA) ketika membimbing Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Qusmaini merupakan anak murid kepada bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Jepun, Thailand dan Vietnam, Miguel Rodrigo yang kini bertindak selaku Pengarah Teknikal di Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF). Rodrigo terkenal sebagai pakar dalam metodologi futsal kepada bola sepak.

Dalam memantapkan lagi ilmu pengetahuannya dalam futsal, Qusmaini seringkali menghadiri kelas ‘refreshing’ dan ‘update’ terkini perkembangan futsal moden yang dikendalikan jurulatih futsal ternama dunia.

Beliau pernah ke Itali sebanyak empat kali sejak tahun 2016 dan kali terakhir adalah pada Jun 2019 bagi menambah ilmu serta mendapat bimbingan daripada Pengarah Teknikal Skuad Futsal Sepanyol, ketua jurulatih Sepanyol dan beberapa orang jurulatih dari kelab Liga Pro Sepanyol.

Tidak hanya sampai di situ, difahamkan beliau kini sedang melanjutkan pengajian secara dalam talian di University Barcelona Innovation Hub yang dikendalikan oleh FC Barcelona dalam jurusan Metodologi bola sepak.

Gambaran jelas sebagai persiapan beliau untuk bergelar Ketua Pembangunan dan Metodologi Kelantan FC? Sama-sama kita nantikan.

Kredit featured image: Facebook TRW Kelantan FC

Baca artikel lain dari kami mengenai Qusmaini Noor Rusli dan Futsal:

Pasukan Liga Futsal Profesional Indonesia Dapatkan Khidmat Jurulatih Dari Malaysia

MPFL 2019: 7 Perkara Menarik Yang Dapat Disaksikan Pada ‘Matchday 2’

Pasukan Futsal Sumatera Barat Tagih Khidmat Jurulatih Tempatan, Qusmaini Noor Rusli

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN