Pasukan yang sebelum ini pernah mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan, Batu Dua FC bakal melalui proses penjenamaan semula dengan nama Harini FC.
Perkembangan itu disahkan oleh Amateur Football League (AFL) dalam satu perkongsian di media sosial badan pengendali liga bola sepak amatur tersebut.
”Batu Dua FC secara rasminya telah dijenamakan kepada Harini FC untuk mengharungi Liga M3 Musim 2020.”
Pemilihan nama Harini FC adalah bersempena dengan sebuah syarikat yang berpengkalan di Kuala Selangor iaitu Harini Sdn Bhd.
Harini Sdn Bhd memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu sisa perjuangan Batu Dua FC yang mengalami masalah kewangan pada pertengahan saingan Liga M3 lalu.
Menurut sumber Harini FC, ia juga sebagai tanda menghargai penajaan yang diberikan syarikat tersebut dalam membantu pasukan.
Bagi menghadapi musim 2020, Harini FC juga dilaporkan telah merombak hampir keseluruhan barisan pengurusan dan pemain mereka. Hanya Encik Puspanath Thanabalan yang merupakan Presiden Batu Dua FC dikekalkan. Pengurus pasukan sebelum ini, Hairil Azri pula bakal menjawat jawatan baharu.
Harini FC akan bersaing dalam kempen Liga M3 manakala Harini FC II pula bakal beraksi di saingan Liga Perdana Selangor.
Kredit foto: Harini FC