Baru Sahaja Dilantik, Philippe Troussier Dijangka Akan Gagal Di Vietnam

Philippe Troussier Vietnam akan gagal

Benarkah pengendali Vietnam yang baharu dilantik, Philippe Troussier akan gagal di sana? Beliau belum pun sempat memulakan tugas rasminya.

Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) mengesahkan pelantikan Troussier sebagai pengendali skuad senior dan B-23 untuk tempoh tiga tahun hingga 31 Julai 2026, semalam. Ini menandakan berakhirnya era Park Hang-seo.

Sejak dilantik pada 2017, Park boleh dianggap sebagai jurulatih paling berjaya di Vietnam dengan kejayaan merangkul pelbagai kejuaraan.

Antara yang terus dikenang adalah menjulang kejuaraan Piala AFF 2018, mara ke suku akhir Piala Asia 2019 dan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022. Selain itu, beliau juga berhasil memenangi pingat Emas Sukan SEA sebanyak dua kali, mara ke separuh akhir Sukan Asia 2018 serta muncul sebagai finalis Kejuaraan AFC B-23 2018. Amat mengagumkan!

Kenapa Troussier akan gagal di Vietnam?

Troussier dikatakan akan gagal sebagai pengendali oleh sesetengah blok penyokong Vietnam walaupun memiliki formasi taktikal yang hampir sama.

Ini kerana bagi mereka, Troussier dilantik menggantikan pengendali terbaik yang pernah mereka miliki. Bayang-bayang Park akan menghantuinya.

Di bawah kendalian Park, Vietnam seolah-olah sudah sampai ke puncak yang mereka mampu gapai – pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022.

Vietnam sudah sampai ke batasnya. Dalam dua tahun terkini, Park dilihat sentiasa berkata yang kelab-kelab di V-League perlu meningkatkan kualiti mereka untuk melepasi batas tersebut – usaha tunggalnya tidak cukup.

Ketika di pusingan akhir kelayakan Piala Dunia – di mana mereka hanya selangkah menuju ke Piala Dunia 2022, mereka teruk ‘dilunyaikan’ dalam saingan Kumpulan B. Walaupun ada dua keputusan positif, namun secara keseluruhannya, ia satu persembahan yang kurang konsisten oleh mereka.

Dua keputusan positif tentunya ketika mengikat Jepun 1-1 dan menang ke atas China 3-1. Untuk keputusan perlawanan lain, ia agak kurang baik.

Mungkin tekanan ini yang menyebabkan beliau rasa sudah tiba masanya untuk jurulatih lain mengambil alih kerusinya. Beliau telah beri segalanya dan Vietnam seperti sudah sampai te tahap maksimumnya. Beliau sudah tidak mampu mengharungi satu lagi pusingan kelayakan Piala Dunia.

Memilih untuk menjadi pengendali skuad Naga Emas pada saat ini sangat berisiko bagi mana-mana jurulatih sekalipun, bukan hanya Troussier.

Troussier: “Falsafah saya dan Park sama”

Bakal menginjak ke usia 68 tahun bulan depan, beliau boleh dianggap sebagai jurulatih yang agak berusia. Malah Park lebih muda daripadanya.

Lebih 40 tahun pengalaman mengendalikan pasukan, ternyata beliau kaya dengan pengalaman termasuk mengendalikan pasukan ke Piala Dunia. Tetapi, selepas sekian lama tidak terlibat dengan skuad kebangsaan, mampukah beliau dapatkan rentak semula dalam kadar segera?

Dengan dunia bola sepak yang cepat berkembang dan berubah-ubah, adakah taktikal dan gaya permainan Troussier mampu mengejarnya?

Tidak dinafikan, beliau antara pengendali yang gemar menggunakan formasi dengan tiga pertahanan, saling tidak tumpah dengan Park. Perbezaan mungkin dari segi pendekatan apabila dikatakan beliau lebih suka pemainnya untuk mengambil risiko dan mahukan penguasaan.

Ketika mengendalikan skuad B-19 Vietnam sekitar 2019 hingga 2021, beliau menjelaskan yang dirinya seperti penolong jurulatih kepada Park. “Saya dan Park miliki falsafah yang sama. Ia adalah untuk menggerakkan kemahuan dan keinginan para pemain dalam bola sepak. Ini difikiran mereka,” jelasnya.

Saya memilih pemain berdasarkan keupayaan masing-masing dan juga kemampuan mereka untuk bermain mengikut sistem pasukan,” jelasnya kepada laman web rasmi VFF tentang pemilihan pemain skuad B-19.

Mungkin beliau akan mengambil langkah yang hampir sama yang pernah dilakukannya di Jepun, apabila membentuk skuad remaja dahulu yang kemudian diangkat menjadi skuad utama dalam tempoh beberapa tahun.

Bermula dengan kejayaan skuad B-20 di Piala Dunia Remaja 1999 meraih gelaran naib juara, diikuti mara sehingga ke suku akhir Sukan Olimpik 2000. Skuad yang sama muncul juara Piala Asia 2000 – kejohanan senior.

Troussier membawa skuad yang hampir sama untuk ke Piala Dunia 2002 yang menyaksikan mereka berhasil mara hingga ke pusingan 16 terbaik.

Di Vietnam, beliau sudah pernah melatih skuad B-19 tidak lama dahulu, adakah corak yang sama akan cuba digunakannya pada ketika ini.

Jadi, adakah kegagalan sedang menantinya?

Untuk mengatakan kegagalan sedang menantinya mungkin dilihat agak keterlaluan hanya disebabkan beliau sudah berusia dan dibayangi Park.

Beliau pastinya ada kredibilitinya yang tersendiri yang dimahukan VFF.

VFF melihat yang pengganti kepada pengendali sebagus Park Hang-seo mestilah yang lebih bagus daripadanya. Mungkin yang berpengalaman di pentas Piala Dunia? Dan siapa calon yang sesuai dengan kriteria tersebut?

Selain berpengalaman di pentas dunia, calon tersebut mestilah sudah masak dengan corak dan budaya bola sepak di Vietnam khasnya.

Troussier memiliki kedua-dua kriteria tersebut. Beliau pernah memimpin pasukan di Piala Dunia dan sudah masak dengan bola sepak Vietnam.

Adakah beliau akan gagal di Vietnam? Hanya masa yang akan tentukannya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN