Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu telah memanggil Eric Abidal untuk berbincang mengenai masa depan Pengarah Sukan tersebut di kelab Catalan itu selepas dibidas secara terbuka oleh Lionel Messi.
Semalam Messi meminta Abidal menamakan pemain yang dimaksudkan oleh Abidal, selepas bekas pemain itu mengkritik kesungguhan pemain sedia ada di kelab tersebut.
Abidal yang merupakan bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona sebelum ini berpendapat terdapat pemain yang kurang gembira dan tidak menunjukkan kesungguhan ketika era Ernesto Valverde.
Valverde dipecat dari mengendalikan Barcelona pada Januari lalu sebelum digantikan oleh Quique Setien.
“Ramai pemain tidak gembira dan tidak menunjukkan kesungguhan yang sepatutnya, mereka juga mempunyai masalah komunikasi dalaman,” dedah Abidal kepada akhbar Sport sebelum ini.
“Hubungan diantara pemain dan jurulatih sentiasa baik. Tetapi akan ada sesuatu pekara boleh dihidu oleh saya sebagai seorang bekas pemain. Saya maklumkan pendapat saya kepada pihak kelab, dan kami perlu memutuskan sesuatu.”
Namun Messi ternyata kecewa dan tidak berpuas hati lalu membalas kenyataan tersebut dengan ‘menembak’ semula Abidal.
“Apabila kamu bercakap mengenai pemain, kamu harus menamakan pemain tersebut. Jika tidak, ianya sekadar cakap-cakap kosong dan kamu sebenarnya memburukkan kami semua.” kata Messi melalui kenyataan yang dimuatnaik di laman Instagramnya.
“Pemain bertanggungjawab untuk apa yang berlaku di atas padang dan kami adalah orang yang pertama sedar apabila kami kami tidak beraksi dengan baik. Tetapi ketua kepada unit sukan perlu bertanggungjawab di atas segala keputusan yang dibuat,” tegas Messi.
Susulan tercetusnya ketegangan diantara Messi dan Abidal, Bartomeu dilaporkan telah memanggil Abidal dan akhbar Marca melaporkan Presiden Barcelona itu turut telah bercakap kepada Messi untuk menenangkan keadaan.
Sehingga kini belum ada sebarang tindakan dari pengurusan tertinggi Barcelona mengenai isu ini. Namun Abidal berkemungkinan besar telah menerima amaran untuk kenyataan terbuka yang beliau lakukan.