Presiden FC Barcelona, Josep Maria Bartomeu membuatkan penyokong Barcelona mengamuk kali terakhir sebelum meletak jawatan selepas menuduh mereka mencemuh dan mengancam keselamatan keluarganya. Perletakan jawatan Bartamoeu turut diikuti oleh semua ahli lenbaga pengarahnya.
“Kami telah dihina. Mereka [penyokong anti-Bartomeu] telah mencemuh dan mengancam keselamatan saya, keluarga saya dan ahli lembaga pengarah lain,” katanya dalam satu sidang media rasmi.
Bartomeu sebelum ini dijadualkan akan menghadapi referendum usul undi tak percaya oleh ahli kelab. Beliau menyalahkan kerajaan Catalonia kerana tidak menangguhkan referendum tersebut hingga ke pertengahan November untuk memberikannya masa memperbetulkan keduduakn kelab yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19.
Menurut Bartomeu, keputusan untuk meletak jawatan itu dibuat selepas berbincang dengan rakan sekerjanya.
“Selepas penyingkiran dari Champions League [pada musim lepas], mungkin lagi senang jika saya letak jawatan terus. Tapi kami tak boleh tentukan nasib kelab di tangan seorang pengurus bola sepak.
“Peluang bekerja di kelab merupakan satu penghormatan buat saya. Hari ini kami meletak jawatan tanpa melengkapkan proses pemulihan ekonomi [yang kami rancang]. Saya harap dalam masa beberapa hari akan datang, proses perubahan gaji dapat diselesaikan. Jika tidak, masa depan kelab akan terjejas.
Barcelona setuju sertai European Super League
Dalam sidang media sama, Bartomeu turut mengumumkan Barcelona telah bersetuju untuk menyertai European Super League – satu lagi pengumuman yang akan membuatkan penyokong Barcelona marah.
“Saya nak umumkan satu berita baik. Semalam kami bersetuju untuk menyertai European Super League yang akan menjamin kemampanan ekonomi kelab. Hari ini pula kami telah bersetuju dengan format baru Club World Cup [anjuran FIFA].”
Pada minggu lepas, media Eropah melaporkan pelan mewah kelab-kelab ternama Eropah untuk menubuhkan liga pan-Eropah yang akan ‘mengatasi prestij Champions League’ yang dinamakan sebagai European Super League.
European Super League dikatakan akan dibiayai oleh firma kewangan terkemuka dunia, JP Morgan.
Dalam liga tersebut, sebanyak 18 pasukan – yang terdiri daripada lima pasukan terbesar dari England serta beberapa pasukan dari Sepanyol, Itali, Jerman dan Perancis – akan berentap tanpa sistem promosi dan penyingkiran.
Cadangan penubuhan liga ini dikatakan berasal daripada Real Madrid dan disokong oleh syarikat pelaburan Key Capital. Berita cadangan penubuhannya telah dibongkar oleh media Jerman Der Spiegel seawal 2018.
Bartomeu ditekan oleh Messi
Sebuah ahli lembaga pengarah sementara yang diketuai oleh Carles Tusquets, seorang pensyarah ekonomi di Universiti Barcelona, akan mengambil alih pengurusan dan mempersiapkan kleab menjelang pemilihan presiden baru.
Bartomeu dan barisan ahli lembaga pengarahnya mungkin masih perlu berhadapan dengan kes mahkamah sivil yang menuduh mereka bertanggungjawab ke atas masalah kewangan kelab sejak 2015.
Bartomeu yang dilantik sebagai presiden pada tahun 2014 mendapat tekanan tertinggi untuk meletak jawatan selepas berselisih faham dengan Lionel Messi sejak tahun lepas. Bintang Argentina itu dilaporkan telah menghantar surat permohonan untuk berhijrah keluar pada Ogos lepas.
Permohonan Messi tersebut bagaimanapun gagal menghasilkan tawaran konkrit dari kelab lain. Ini menyebabkan Messi mendakwa beliau ‘ditipu’ dan berkata ‘tiada projek masa depan di Barcelona selama Bartomeu menjadi presiden kelab’.
Sepanjang tempoh dua penggal Bartomeu menjadi presiden, Barcelona telah menjuarai empat kejuaraan La Liga dan satu trofi Champions League.
Baca juga artikel lain yang berkaitan: