UCL: Kekalahan Paling Memalukan Dalam Sejarah, Barcelona Lunyai Dibelasah 8-2 Oleh Bayern

Bayern Munich Barcelona UCL

Mungkin bukan sesuatu yang mudah untuk diterima apabila pasukan sehebat Barcelona tewas dengan keputusan 8-2 kepada Bayern Munich dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi tadi.

Malam indah Bayern bermula dengan gol seawal minit keempat dari Thomas Muller yang membuat gerakan satu dua bersama Robert Lewandowski. Namun Barcelona segera bertindak balas dengan gol penyamaan hasil gol sendiri David Alaba yang tertampan hantaran Jordi Alba ke dalam gawang sendiri.

Bayern yang dilihat lebih dominan sejak awal dalam perlawanan ini kembali di depan pada minit ke-22 menerusi Ivan Perisic dan ditambah dengan gol ketiga enam minit kemudian apabila Serge Gnabry mengatasi kawalan Clement Lenglet untuk merembat menewaskan Marc-Andre Ter Stegen.

Bagaikan dirasuk semangat luar biasa, Muller menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-31 dengan menyudahkan hantaran lintang Joshua Kimmich dari sebelah kanan untuk terus melebarkan kelebihan.

Segalanya nampak serba tidak kena buat Ter Stegen sepanjang babak pertama selepas beberapa kali membuat kesilapan sehingga nyaris memberikan gol mudah buat pasukan lawan.

Masuk separuh masa kedua, Barcelona memasukkan penyerang Perancis, Antoine Griezmann bagi menambah kekuatan di bahagian serangan dan mengeluarkan Sergi Roberto dengan harapan dapat kembali bangkit.

Hasilnya, Luis Suarez berjaya merapatkan jurang dengan meledak gol kedua pasukannya pada minit ke-57 selepas bijak menggelecek pertahanan Bayern sebelum melepaskan rembatan dengan kaki kirinya.

Nafsu buas Bayern dalam perlawanan ini ternyata tidak mampu ditahan apabila Kimmich mudah menolak masuk hantaran Alphonso Davies untuk gol kelima yang bemula dengan gerakan ‘magis’ yang dijelmakan pemain Kanada itu dengan melepasi kawalan Semedo dan membuat larian ke dalam kotak penalti sehingga mengelirukan pertahanan Barcelona lain.

Gol keenam Bayern hadir ketika perlawanan berbaki lapan minit selepas pemain yang sedang dipinjamkan dari Barcelona Philippe Coutinho membuat hantaran lintang kepada Lewandowski dan ditanduk dengan sempurna oleh penyerang Poland tersebut.

Kemudian giliran Coutinho pula menghukum ‘pasukannya’ dengan gol ketujuh dan kelapan pada penghujung perlawanan dengan pertahanan Barcelona seakan-akan tidak lagi bermaya untuk menamatkan perlawanan.

Dengan keputusan ini, Bayern kini mungkin menjadi pasukan pilihan untuk menjulang trofi kejuaraan selepas kali terakhir memenanginya pada 2013.

Tekanan kini terarah kepada Quique Setien yang mungkin bakal hilang pekerjaan selepas perlawanan yang bakal terpahat dalam sejarah sebagai kekalahan paling memalukan dalam sejarah kejohanan Eropah buat kelab Catalan tersebut.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah:

Leave a Reply