Barcelona Terpaksa Merayu Kepada 2 Pemain Utama Supaya Terima Pemotongan Gaji

Barcelona walau sedang bergelut dengan masalah kewangan, namun mereka sepertinya langsung tidak memperdulikan hal itu pada jendela perpindahan musim panas ini.

Gergasi Catalan itu berbelanja seolah-olah mereka merupakan kelab terkaya dalam dunia bola sepak dan langsung tidak mempunyai masalah kewangan.

Walau bagaimanapun, selepas seronok berbelanja sakan, Barcelona kini dilaporkan telah meminta dua pemain senior mereka untuk menerima pemotongan gaji.

Selepas melengkapkan penandatanganan Robert Lewandowski, Raphinha, Jules Kounde, Andreas Christensen dan Franck Kessie, Barcelona sepertinya masih lagi berhasrat mahu membawa masuk pemain baru.

Mereka bahkan turut dikaitkan dengan bakal menawarkan £67 juta kepada Liverpool untuk mendapatkan khidmat pemain full-back, Trent Alexander Arnold.

Skuad kendalian Xavi Hernandez itu masih bercita-cita untuk mendapatkan pemain baru walau mereka sebenarnya masih belum mampu mendaftarkan semua penandatanganan terbaru mereka pada musim panas ini.

Pihak kelab juga dikatakan sangat terdesak mahu menjual pemain dengan Frenkie de Jong antara pemain yang paling hangat dikaitkan bakal dilepaskan oleh Barcelona.

Barca juga masih tak mampu membayar hutang mereka bernilai £17 juta kepada bintang Belanda itu dan ia menyebabkan saga perpindahan bekas bintang Ajax itu semakin berpanjangan.

Martin Braithwaite juga turut sama seperti De Jong dengan beliau turut menagih hutang kelab kepadanya sebelum mahu berfikir untuk meninggalkan Nou Camp.

Barcelona kini sepertinya sudah menemui cara dan langkah terbaru untuk menjimatkan dana dan hal itu akan membantu mereka untuk mendaftarkan pemain baru sebelum bermulanya musim baharu ini.

Gergasi La Liga itu kini tampil meminta dua lagi pemain mereka untuk menerima pemotongan gaji agar kelab mampu untuk menstabilkan kedudukan ekonomi mereka.

Para pemain telah diminta untuk menerima pemotongan gaji sejak kedudukan ekonomi kelab terjejas teruk gara-gara penularan wabak pandemik pada tahun 2020 yang lalu.

Menurut laporan dari 90min, Barcelona telah meminta kedua-dua ketua pasukan kelab, Sergio Busquets dan Gerard Pique untuk sekali lagi menerima pemotongan gaji.

Musim panas lalu, dek kerana Pique bersetuju untuk menerima pemotongan gaji, Barca secara tak langsung berjaya untuk melengkapkan pendaftaran pemain seperti Memphis Depay, Eric Garcia dan Rey Manaj.

Tindakan terpuji Pique sanggup menerima pemotongan gaji sangat-sangat dihargai oleh kelab walau sumbangan beliau di atas padang sedikit diragukan.

Pada Jun lalu, terdapat laporan yang menyatakan bahawa Barcelona telah memberitahu Pique yang khidmatnya sudah tidak lagi diperlukan.

Pemain pertahanan berusia 35 tahun itu jelas sekali sangat kecewa dengan kenyataan tersebut dan hal itu mungkin akan menyebabkan beliau menolak untuk menerima permintaan kelab yang mahu mengurangkan gaji beliau.

Sergio Busquets sementara itu mungkin akan tetap menjadi pemain terpenting kelab walau usianya kini sudah mencecah 34 tahun.

Walaupun pihak kelab sudah memiliki Franck Kessie dalam skuad mereka, namun sepertinya khidmat pemain veteran itu masih sangat-sangat diperlukan.

Tidak pasti sama ada beliau akan sanggup atau tidak untuk menerima permintaan kelab yang mahu gajinya dikurangkan, namun satu hal yang pasti khidmat beliau sangat-sangat ditagih.

Tindakan Barca yang tidak mengukur baju pada badan sendiri juga mungkin akan sedikit mengecewakan para pemain yang terpaksa mengurangkan gaji mereka hanya kerana pihak kelab tamak memburu pemain berprofil tinggi.

Leave a Reply