Rekod tanpa kalah Barcelona dalam semua pertandingan berakhir dalam derbi Catalan. Espanyol menang 1-0 di tempat sendiri dalam perlawanan pertama suku akhir Copa Del Rey.
Lionel Messi turut gagal menyempurnakan penalti dalam perlawanan ini. Ianya adalah penalti ke-23 yang gagal disempurnakan oleh Lionel Messi di dalam karier beliau.
Lebih ironi, penalti itu diselamatkan oleh bekas penjaga gol Real Madrid, Diego Lopez.
Graduan akademi Espanyol, Oscar Melendo menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88. Sekaligus memberikan bekalan tipis untuk dibawa ke Nou Camp dalam perlawanan kedua pada 4 Februari hadapan.
Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde menganggap bekas pasukan yang diuruskan beliau, Espanyol adalah pasukan pilihan dalam perlawanan kedua nanti kerana mereka pemenang dalam perlawanan pertama.
Ini adalah kekalahan pertama Barcelona dalam derbi Catalan sejak 2009, dan kekalahan pertama di tangan Espanyol dalam pertandingan piala domestik di Sepanyol sejak 1970. Valverde berkata kepada wartawan selepas tamat perlawanan:
“Pasukan pilihan adalah pasukan yang menang (perlawanan pertama), ini kerana mereka ada kelebihan.”
“Kami menguasai perlawanan ini, namun mereka menunggu masa yang sesuai untuk mengambil kesempatan ke atas kami. Mereka dapat peluang itu, melakukan gol pada serangan terakhir.”
“Kejayaan mereka menyelamatkan penalti kami juga menjadi faktor yang menaikkan semangat mereka. Kami bergelut dengan strategi, tetapi bukannya dalam perlawanan ini. Ini adalah derbi, apa sahaja boleh menjadi faktor penentu.”