Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan dua gol ketika membantu Barcelona untuk mengaibkan musuh tradisi Real Madrid dalam pertembungan El Clasico yang berlangsung di Santiago Bernabeu.
Barca yang telah menunjukkan peningkatan ketara di bawah bimbingan Xavi Hernandez menampilkan aksi berkelas dunia untuk mendominasi perlawanan sejak mula lagi sehingga mendiamkan penyokong Los Blancos yang memenuhi stadium.
Gandingan Ousmane Dembele dan Ferran Torres di bahagian sayap serangan ternyata memberi masalah buat Real sehingga barisan pertahanan pasukan tuan rumah dilihat begitu rapuh dan mula dibolosi pada minit ke-29 hasil tandukan Aubameyang yang menyudahkan hantaran lintang Dembele.
Real ternyata tertekan dengan tempo dan corak permainan tersusun Barcelona dan melepaskan gol kedua menerusi sepakan penjuru Dembele yang ditanduk masuk oleh Ronald Araujo tujuh minit sebelum tamat separuh masa pertama.
Menyedari sesuatu perlu dilakukan, Carlo Ancelotti cuba untuk mengubah taktikal pasukannya dengan membuat dua pertukaran memasukkan Eduardo Camavinga dan Mariano Diaz.
Namun ia langsung tidak dapat menghalang Barcelona untuk melebarkan kelebihan hanya dua minit selepas bermula babak kedua. Kali ini giliran Ferran Torres mencetak namanya selaku penjaring gol selepas mendapat umpanan cantik Aubameyang.
Lima minit kemudian, Torres pula ‘membalas budi’ dengan membuat hantaran kepada Aubameyang untuk gol kedua peribadi bekas penyerang Arsenal tersebut bagi meletakkan Barcelona selesa mendahului dengan empat gol tanpa balas.
Barca sepatutnya berpeluang untuk menang dengan jumlah jaringan yang lebih besar, tetapi mujurlah kecekapan Thibaut Courtois memastikan Real tidak mengalami kekalahan yang lebih mengaibkan.
Meskipun kemenangan skuad kendalian Xavi ini tidak mengubah kedudukan La Liga, namun ia memberikan harapan yang cukup besar buat penyokong setia Barcelona untuk melibat kelab kesayangan mereka bangkit menjadi pasukan yang digeruni terutama sejak ketiadaan Lionel Messi.