Beberapa hari lalu pihak Guangzhou Evergrande menolak bidaan €20 juta oleh Barcelona untuk mendapatkan Paulinho. Hal itu turut disahkan sendiri oleh Paulinho yang menerima panggilan dari Barcelona.
Luiz Felipe Scolari enggan melepaskan pemain tengah ini kerana kekangan untuk mendapatkan pemain baru berkualiti dalam pasaran perpindahan.
Di sebalik cerita ini, ada 4 perkara yang boleh kita rumuskan.
1. CSL menjadi liga global
Kualiti pemain di CSL mulai menarik perhatian kelab utama Eropah. Ini bermaksud mereka berada di laluan yang betul dalam usaha mereka menjadikan CSL sebagai liga utama dunia menjelang 2050.
Ia memang nampak seperti cita-cita mustahil. Tetapi apa maknanya membina sesuatu entiti global tanpa ada cita-cita besar.
Jadi, tidak hairan selepas ini pemain seperti Alex Texeira, Gervinho, Ramires dan Oscar akan menerima bidaan dari luar China.
2. Kualiti pemain
Secara tidak langsung bidaan kepada Paulinho ini memberikan petanda yang scout liga utama Eropah tidak melupakan bakat di China.
Sudah pastinya bidaan Barcelona berasaskan data statistik dan opta. Ini memberikan isyarat kepada kelab-kelab CSL bahawa pemain-pemain mereka dalam radar kelab-kelab Eropah.
Jadi, stereotaip bahawa CSL adalah liga persaraan seperti satu ketika dahulu sudah semakin terhakis.
Dan ini adalah cabaran untuk MLS di USA yang masih menandatangani pemain di akhir karier dengan memberikan gaji mahal kerana publisiti semata-mata.
3. Kuasa pengurus
Sistem liga CSL menggunakan sistem di mana ketua jurulatih adalah pengurus.
Apabila ketua jurulatih diberikan kuasa menjadi pengurus, ini bermakna beliau berhak dalam menentukan budget dan pemain, staf yang keluar masuk.
Luiz Felipe Scolari menolak bidaan tersebut atas kapasiti pengurus. Jika tidak ada kuasa seperti ini, rasanya pihak Guangzhou mungkin goyah dengan bidaan Barcelona tersebut.
Jadi, nampak impak positif kemasukan Super-Manager/Super-coach kepada bola sepak China. Mereka membawa model pengurusan yang baik dari Eropah ke China.
Jadi tidak wujud isu beli pemain tanpa pengetahuan jurulatih ataupun pemain tiba dahulu sebelum jurulatih.
Profesionalisme!
4. Pengurusan kontrak pemain
Selain daripada memperbaiki model pengurusan dalam bola sepak, kemasukan jurulatih ‘besar’ dari luar China ini turut memperbaiki aspek pengurusan pemain.
Mereka bijak dalam menguruskan squad depth walaupun ada sekatan dan regulasi khas dalam pemilikan pemain.
Paling penting adalah cara mereka menguruskan kontrak pemain. Tidak hairan jika ada pemain yang memiliki klausa perlepasan yang lebih besar dari Paulinho.
Satu langkah bijak oleh Guangzhou Evergrande yang memasukkan klausa perpindahan di dalam kontrak pemain utama mereka.
Mekanisme dalam menguruskan kontrak dan perpindahan pemain yang profesional ini penting untuk memastikan kelab kuasa ke atas ‘barang’ mereka.
Jadi tidak timbul isu ‘curi pemain’, bidaan tak memuaskan dan sebagainya. Walaupun angka klausa perlepasan €40 juta untuk Paulinho nampak ‘kelakar’ bagi sesetengah pihak.
Tidak kisahlah, yang penting Guangzhou Evergrande meletakkan harga pada hak milik mereka. Dalam erti kata lain, pemain ini bukan untuk dijual.
Ibarat klausa ‘hantaran’ yang diminta oleh Puteri Gunung Ledang. Ia lebih kepada penolakan.
Rumusan
Satu perkembangan positif untuk Liga Super China. Sebelum ini Liga J biasanya menjadi tempat kelab-kelab eropah mencari bakat baru dengan bidaan yang agak rendah.
Tidak hairan jika selepas ini CSL mewujudkan dasar terbuka kepada penggunaan pemain Asia untuk memastikan CSL menjadi hub liga utama Asia.
Ini membolehkan mereka melakukan lebih banyak transaksi dan eksport pemain berkualiti di Asia ke Eropah.
Dengan kualiti jurulatih-jurulatih berkelas dunia di China, ia satu langkah yang sangat realisti. Buat masa ini, China lebih fokus kepada usaha pemerkasaan pembangunan bakat tempatan mereka.