Semalam, kami melaporkan kepada anda desas-desus mengenai masa depan Ronald Koeman di Barcelona.
Beliau kini dilihat dalam bahaya dengan Barca mahu menggantikan beliau dengan pengurus seperti Xavi Hernandez, Andrea Pirlo atau Roberto Martinez.
Namun, timbul pula satu perkhabaran baharu dari Sepanyol yang mengatakan Barca kini bersedia untuk mengubah angin.
Mereka dikhabarkan mahu mendapatkan DNA Jerman dalam bola sepak mereka dengan mula melihat kepada beberapa pengurus berpotensi dari negara itu.
Laporan Mundo Deportivo mendapati Presiden Barcelona, Joan Laporta begitu menggemari gaya yang dibawa oleh pengendali Chelsea – Thomas Tuchel.
Tuchel digambarkan sebagai seorang pengurus yang membawa identiti bola sepak moden dan ini cukup digemari oleh Laporta.
Ketelitian Tuchel dalam taktikal beliau menarik perhatian Laporta yang mahukan pengurus itu mengendalikan Barca di masa akan datang.
Selain Tuchel, pengurus Liverpool iaitu Jurgen Klopp juga sudah berada dalam radar Laporta untuk sekian lamanya.
Klopp sudah lama diperhatikan sejak beliau berada di Borussia Dortmund lagi. Seperti Tuchel, corak permainannya digemari oleh Laporta.
Karisma dan gaya permainan menyerang menggunakan formasi 4-3-3 membuatkan Klopp antara pengurus yang cukup handal pada masa kini.
Dekat tapi jauh
Namun begitu, masalah buat Barca untuk mendapatkan sama ada Tuchel dan Klopp adalah mengenai kontrak.
Kedua-dua pengurus akan tamat kontrak dengan kelab masing-masing pada 2024 dengan Tuchel kini amat digemari oleh Roman Abrahamovich selepas menjulang gelaran Eropah.
Klopp pula masih belum menunjukkan kemahuan untuk terus kekal di Liverpool. Jika beliau meninggalkan Anfield, Klopp dijangka akan mengambil rehat panjang sebelum kembali mengurus.
Situasi sukar diduga ini membuatkan Barca cuba mendapatkan alternatif dengan melihat kepada seorang lagi warga Jerman – Ralf Rangnick.
Rangnick dilihat sebagai calon jangka pendek yang baik untuk menggantikan Koeman.
Dengan Barca dikatakan sudah menghubungi pengurus itu pada musim panas lalu, ianya menguatkan lagi potensi yang beliau boleh tiba di Nou Camp pada bila-bila masa.
Kini berada di Lokomotiv Moscow sebagai pengarah pembangunan sukan di sana, Rangnick mungkin tiada masalah untuk kembali ke tepi padang dan menguruskan pasukan sebesar Barcelona.