Bola sepak Eropah sedang diancam oleh kerakusan sistem ekonomi kapitalisme jika idea UEFA Super League dipertimbangkan secara serius oleh UEFA.
Itulah kesimpulan kami selepas membaca minat Barcelona, Juventus dan Bayern Munich terhadap cadangan idea penubuhan liga berskala Eropah untuk menggantikan format Champions League dan Europa League ketika ini.
Apa itu UEFA Super League?
UEFA Super League adalah sebuah liga yang menghimpunkan kelab-kelab besar Eropah untuk bertanding merebut takhta juara Eropah.
Idea ini dikemukakan oleh Stephen Ross (gambar bawah) dan Charlie Stillitano, rakan niaga dan juga merupakan billionaire dari Amerika Syarikat dengan nilai kekayaan £3 bilion.
Mereka juga merupakan pemilik kelab bola sepak Amerika di NFL, Miami Dolphins.
Menurut cadangan mereka, format liga ini bakal menggantikan format Champions League dan Europa League yang mempunyai pusingan kalah mati.
Liga ini tidak akan mempunyai sistem penyingkiran dan promosi. Jadi ia akan dianggotai secara tetap oleh kelab-kelab besar Eropah.
Dalam erti kata lain, formatnya sama seperti model liga bola sepak Amerika, NFL di Amerika Syarikat (gambar bawah) atau liga bola keranjang Eropah, FIBA Euroleague.
Kelab-kelab Eropah yang dipilih untuk masuk liga ini perlu mematuhi syarat-syarat berikut:
- mempunyai kejayaan di peringkat domestik,
- mempunyai sejarah kelab yang unik (pernah menang banyak trofi)
- mempunyai jumlah penyokong global yang ramai.
Ini bermakna jika Leicester City menjuarai liga England, mereka tetap tidak akan dijemput masuk ke liga ini kerana mereka tidak menepati syarat kedua dan ketiga.
Ketika ini, Stephen Ross dan Charlie Stillitano sudah berjumpa dengan ketua-ketua pengarah eksekutif Manchester United, Manchester City, Chelsea, Arsenal dan Liverpool untuk mengemukakan idea ini.
Mereka masih belum berjumpa dengan bos-bos kelab Eropah lain. Tetapi akhbar Frankfurter Allgemeine Zeitung dan La Vanguardia melaporkan Barcelona, Juventus dan Bayern Munich menyokong idea liga ini.
Apa yang terjadi kepada liga domestik?
Menurut laporan Football Espana, Stephen Ross dan Charlie Stillitano mencadangkan setiap anggota UEFA Super League menyediakan pasukan ‘A’ dan ‘B’ supaya mereka dapat bertanding dalam liga domestik juga.
Mereka mencadangkan pasukan A bermain di UEFA Super League dan pasukan B bermain dalam liga domestik masing-masing.
Penyokong Dortmund mengamuk
Belum pun idea liga ini dibincangkan secara serius, ia sudah pun menerima penentang pertama iaitu penyokong Borussia Dortmund.
Ketika perlawanan Europa League menentang Tottenham Hotspur awal pagi tadi (waktu Malaysia), penyokong Dortmund mempamerkan banner protes yang bertulis:
“UEFA Super League? Shut the fuck up!”
Dortmund fans brilliant. Spot the banner. pic.twitter.com/zGW0tzJIMh
— Michael Bridge (@MichaelBridge_) March 17, 2016
Mengapa idea UEFA Super League perlu ditentang?
Bagi kami, idea menubuhkan liga ini untuk menggantikan format Champions League dan Europa League merupakan idea yang buruk dan perlu ditentang kerana ia merosakkan bola sepak.
Liga ini bukan saja bakal merosakkan semangat kompetitif liga domestik (kerana pasukan besar Premier League hanya akan diwakili oleh pasukan B mereka), malah ia menggalakkan sifat elitism di kalangan kelab-kelab besar.
Paling teruk, syarat masuk ke UEFA Super League tidak berdasarkan semangat meritokrasi.
Ini bermakna jika kelab ‘kecil’ seperti Leicester City menjadi juara liga domestik, mereka tetap tidak akan diajak masuk ke UEFA Super League kerana fanbase mereka masih kecil berbanding fanbase Manchester United, Menchester City, Chelsea, Arsenal dan Liverpool.
Jika liga ini dilaksanakan, anda boleh ucapkan selamat tinggal kepada cerita-cerita ‘David mengalahkan Goliath’ atau kisah pasukan underdog yang mengalahkan pasukan pilihan.
Dari segi kewangan, jurang kekayaan pasukan besar dengan pasukan kecil akan menjadi semakin besar.
Sedangkan dalam format sedia ada pun, polarisasi kekayaan ini sudah berlaku. Apatah lagi bila UEFA Super League menajdi kenyataan nanti.
Ketika ini UEFA menegaskan mereka masih belum membincangkan idea penubuhan UEFA Super League secara serius lagi.
Baca juga: Bagaimana Penyokong Hearts Menghalau Keluar Pengurusan Kelab Yang Bangsat