Mana-mana individu sama ada jurulatih tempatan atau import dijangka bakal menggalas tugas berat sebagai pengendali Harimau Malaya apabila perlu berdepan dengan cabaran sukar untuk membentuk semula pasukan yang lebih mantap.
Dr Pekan Ramli selaku pemerhati bola sepak tempatan melihat faktor kekangan masa antara cabaran paling besar selepas mengambil kira tugasan penting pertama skuad Harimau Malaya adalah kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.
Tambah Pekan yang juga merupakan Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berharap agar jurulatih baharu mendapat gambaran lebih jelas dalam usaha membentuk pasukan selain cepat memahami kelemahan yang ada dalam skuad untuk diperbetulkan.
“Tempoh masa yang singkat menuju ke kelayakan Piala Asia 2023 sudah tentu memberi cabaran. Dalam tempoh ini, sesiapa pun yang dilantik perlu memastikan pasukan yang dibentuk itu mampu layak untuk beraksi di Piala Asia.”
Tambah beliau,”kalau jurulatih import yang dipilih, mungkin perlu ada panel penilai untuk cadangan pemilihan pemain untuk mengelak sebarang persepsi negatif. Jurulatih perlu tahu kelemahan yang ada dan cari jalan bagi mengatasi kelemahan itu.”
Pekan turut menyifatkan Tan Cheng Hoe sebagai seorang jurulatih yang berjiwa besar apabila dengan jujur mengakui kegagalan yang membawa kepada peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.
“Kita kena hormat pada Cheng Hoe kerana beliau sanggup hilang segala kepentingan, gaji yang besar serta prestij yang tinggi sebagai jurulatih skuad kebangsaan. Peletakan jawatan berbeza dengan penyingkiran ataupun dipecat, jadi Cheng Hoe sememangnya seorang yang berjiwa besar,” katanya.
Isnin lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Saifuddin Abu Bakar mengumumkan Cheng Hoe membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.
Rentetan itu, beberapa calon kini sedang ditapis oleh FAM untuk mengambil alih tampuk kejurulatihan baharu skuad negara termasuk beberapa individu dikenali turut dikaitkan seperti Bojan Hodak serta Brad Maloney yang sudah agak lama dalam suasana bola sepak negara.