Penyerang import baharu Kedah Darul Aman, Ifedayo Olusegun terus mempamerkan karakter pemusnah beliau pada musim ini dalam saingan Liga Super menerusi ketajaman dimilikinya di hadapan gol.
Ifedayo menjadi rekrut terbaharu Sang Kenari untuk jendela perpindahan kedua Liga Super 2023 dalam usaha pasukan tersebut untuk terus memperkasakan posisi serangan bagi menggantikan khidmat Willian Lira.
SANG KENARI OFFICIAL: KDA FC BERJAYA MENDAPATKAN KHIDMAT IFEDAYO
KDA FC dengan sukacitanya mengumumkan ketibaan Ifedayo Olusegun Patrick Omosouyi sebagai penyerang baharu pasukan Sang Kenari! https://t.co/QFf9zRJ20k pic.twitter.com/QlADihbnbi
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) June 28, 2023
Tampil dengan reputasi cukup tinggi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sebelum itu bersama Selangor selaku Penjaring Terbanyak, pastinya ramai mengharapkan Ifedayo dapat mengekalkan konsistensi tersebut.
Tetapi, ada juga segelintir meluahkan rasa bimbang tentang penyerang tersebut selepas melihat kualiti dipamerkannya pada musim lalu bersama Melaka United yang tidak begitu konsisten.
Namun, Ifedayo tidak mengambil masa lama untuk membuktikan beliau layak menyarung jersi keramat Sang Kenari selaku penyerang harapan pasukan tersebut sejak aksi pertamanya lalu menentang PDRM.
Daripada tiga perlawanan dihadapi oleh Ifedayo, penyerang tersebut kini sudah pun meledak empat gol secara keseluruhan termasuk jaringan tunggalnya ketika Kedah menewaskan Kuching City baru-baru ini.
Lebih unik, jaringan terbaharu itu juga menjadikan Kuching City sebagai pasukan ke-21 yang telah dibolosi gol oleh Ifedayo sepanjang beliau beraksi di Malaysia.
Hadir dengan kualiti kawalan bola sangat lincah serta sentiasa berada di kedudukan tepat untuk menerima umpanan gol, maka tiada sebab untuk Nafuzi Zain menggantikan Ifedayo yang kini berada dalam prestasi terunggul.
Malah, sejak kehadiran Ifedayo juga nama seorang lagi penyerang import Kedah iaitu Jonathan Balotelli juga sudah pun tersisih dan tidak tersenarai langsung sejak dua perlawanan lalu.
Balotelli yang menyertai Kedah sejak awal musim bersama Lira antara dikekalkan pada pertengahan musim ini dan sering menjadi pilihan kedua bawah kendalian Nafuzi.
Walaupun begitu, impak yang diberikan Balotelli bersama Kedah tidak begitu dirasai selepas beliau hanya mampu meledak empat jaringan sahaja daripada 16 penampilan bersama Kedah.
JONATHAN BALOTELLI KINI SANG KENARI!
Pemain ini berusia 33 tahun berasal dari Rio De Janeiro, Brazil. Dikenali sebagai Jonathan Balotelli mengisi kuota pemain penyerang import antarabangsa Sang Kenari. Musim lepas beliau mewakili Jeonnam Dragons (Liga K2 – Korea Selatan). pic.twitter.com/KZVNCKCcmg
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) January 27, 2023
Berdasarkan prestasi semasa kedua penyerang ini, pastinya Ifedayo lebih memberi impak buat posisi serangan utama Kedah dan ini merupakan satu cabaran buat Balotelli untuk meningkatkan kualiti beliau dalam sesi latihan jika ingin terus kekal relevan bersama Sang Kenari.
Selain Ifedayo dan Balotelli, seorang lagi penyerang import Kedah yang beraksi bersama skuad MFL iaitu Assifuah Ebenezer juga antara sedang menunggu peluang untuk menembusi pasukan utama dengan rekod sangat menarik.