Pemain skuad kebangsaan Belanda, Ryan Babel mengakui rakan sepasukannya, Virgil Van Dijk mampu untuk menjadi pemain pertahanan pertama selepas Fabio Cannavaro memenangi Ballon d’Or.
Van Dijk memainkan peranan yang cukup penting buat Liverpool khususnya menambah kekuatan di jentera pertahanan sejak direkrut Jurgen Klopp pada 27 Disember 2017.
Kekentalan Van Dijk mengemudi bahagian bawah serta kehadiran Alisson Becker pada awal musim menjadikan Liverpool sebagai pasukan yang paling sedikit dibolosi dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Selain itu, kecemerlangan Van Dijk dalam mengekang asakan penyerang pasukan lawan tidak perlu dipersoalkan.
”Kali terakhir saya mengingati bahawa pemain pertahanan memenangi Ballon d’Or adalah Cannavaro pada tahun 2006. Jadi ia tidak mustahil.”
”Saya fikir ia adalah wajar untuk sekurang-kurangnya berada dalam senarai pendek pencalonan.”
”Kami akan lihat pada akhirnya sama ada dia akan memenanginya atau tidak. Saya akan sangat gembira untuk dia (sekiranya Van Dijk memenanginya),” ujar Babel bercakap mengenai rakannya itu.
Dalam perkembangan lain, bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher melihat Lionel Messi sebagai calon utama untuk meraih Ballon d’Or kali keenam buat dirinya.