Dalam bola sepak, hadiah tertinggi bagi anugerah individu pastilah Ballon d’Or.
Anugerah Ballon d’Or mula diperkenalkan pada 1956. Lagenda Stoke City, Sir Stanley Matthews merupakan pemenang pertama anugerah tersebut.
Kaka pula merupakan satu-satunya pemain yang pernah memenangi anugerah Ballon d’Or ketika Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi berada dalam senarai akhir bersama-samanya.
Tetapi sejak 5 tahun kebelakangan ini, 5 pemenang terakhir anugerah tersebut didominasi oleh Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Namun untuk edisi ke 2017, anugerah ini bakal menghadapi perubahan yang besar.
FIFA tarik diri
Sebelum 2010, terdapat dua anugerah yang berbeza iaitu FIFA World Player of The Year anjuran FIFA dan Ballon d’Or sendiri yang diajurkan oleh majalah France Football.
Pada tahun 2010, FIFA dan France Football bergabung untuk menyatukan anugerah FIFA World Player of The Year dan Ballon d’Or menjadi satu anugerah yang dikenali sebagai FIFA Ballon d’Or.
FIFA Ballon d’Or dianugerahkan kepada pemain terbaik dunia pada setiap tahun.
Penyatuan dua anugerah itu juga mendorong UEFA untuk menganjurkan anugerah UEFA Best Player in Europe pada 2011. Ini menggantikan Ballon d’Or yang sebelum ini dianugerahkan kepada pemain terbaik Eropah.
Namun selepas 6 tahun bekerjasama sejak 2010, FIFA mengumumkan akan menarik diri dari menganjurkan Ballon d’Or dengan France Football.
FIFA bercadang untuk melancarkan semula anugerah pemain terbaik dunia tahunan anjuran mereka sendiri. Namun masih belum terdapat sebarang info lanjut mengenai itu.
Hanya wartawan boleh mengundi
Berikutan penarikan diri FIFA dari anugerah Ballon d’Or, France Football telah mengumumkan beberapa perubahan untuk anugerah tersebut.
Semasa FIFA menjadi penganjur bersama anugerah Ballon d’Or, para wartawan, jurulatih pasukan kebangsaan dan kapten pasukan kebangsaan akan mengundi 3 calon.
Namun untuk edisi Ballon d’Or akan datang, hanya para wartawan terpilih sahaja akan mengundi untuk menentukan pemenang.
Selain daripada itu, senarai pendek pemain yang terpilih juga mengalami perubahan.
Jika sebelum ini hanya 23 pemain sahaja terpilih dalam senarai pendek, untuk edisi akan datang ia akan menjadi 30 pemain.
Senarai akhir takkan dikeluarkan awal-awal
Selain daripada itu, senarai akhir 3 pemain juga tidak akan diumumkan awal-awal seperti edisi-edisi yang lalu.
Ini kerana France Football tidak mahu melihat dominasi dari pemain-pemain tertentu sahaja yang menguasai senarai akhir 3 pemain.
Oleh itu, nama pemenang dan senarai lengkap kedudukan semua pemain yang layak untuk ke senarai pendek akan diumumkan pada akhir tahun.
Dan majlis penganugerahan pula akan mengambil tempat pada bulan Januari tahun berikutnya.
Baca juga: Diego Simeone Berkeras Griezmann Lebih Layak Menang Ballon d’Or Berbanding Ronaldo