Bekas pemain tengah Jerman, Michael Ballack tidak gembira dengan perkembangan semasa bola sepak di Jerman, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun peringkat kelab.
Ballack kecewa menyaksikan 3 kelab Jerman disingkirkan oleh 3 kelab England daripada saingan UCL.
Borussia Dortmund disingkirkan oleh Spurs; Schalke 04 disingkir dan dimalukan oleh Man. City. Manakala pasukan gergasi Jerman, Bayern Munich pula disingkirkan oleh Liverpool di hadapan penyokong mereka sendiri.
Situasi ini telah memburukkan lagi keadaan bola sepak di Jerman. Ini selepas mereka gagal dalam Piala Dunia dan tersingkir dalam persaingan Liga Negara-Negara Eropah.
Ballack menyatakan, situasi bola sepak di Jerman perlu diperbaiki dan tidak perlu untuk disembunyikan lagi. Ballack kecewa dengan beberapa tokoh dalam pengurusan bola sepak Jerman yang seakan-akan tidak dapat menerima hakikat bola sepak Jerman sedang sakit.
Sebelum tenat, sesuatu harus dilakukan. Bercakap ketika ulasan perlawanan Bayern dan Liverpool, Ballack berkata: “Kita [Jerman] tersingkir awal daripada Piala Dunia. Selepas itu tersingkir pula daripada persaingan Liga Negara-Negara Eropah. Dan kini, kesemua cabaran pasukan [kelab] kita berakhir di peringkat 16 akhir.”
“Ini adalah isyarat jelas bahawa kita sekarang ini tidak melakukan tugas kita dengan betul. Tidak perlu untuk malu menerima hakikat dan cuba menyembunyikannya.”
“Ini adalah pertama kali sejak 2006, tiada pasukan Jerman dalam suku akhir UCL.”
“Borussia Dortmund tewas di tangan Tottenham. Sementara itu, Schalke 04 juga disingkirkan oleh Man. City [sebelum ini].”
Ballack berharap masalah ini segera diperbetulkan agar bola sepak Jerman kembali semula ke landasan yang sepatutnya.