Kisah Tan Sri Elyas Omar Yang Pernah Disuruh Balik Rumah Semasa Final Piala Malaysia 1987

Semalam arena sukan tanah air negara kehilangan seorang wira. Tan Sri Elyas Omar meninggal dunia pada usia 82 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada petang semalam akibat komplikasi kesihatan.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke kediamannya di Ampang Jaya, dan dikembumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang pada pagi tadi.

Anak jati Pulau Pinang

Dilahirkan pada 16 November 1936 di Pulau Pinang, Tan Sri Elyas Omar adalah anak jati Pulau Pinang.

Mendapat pendidikan awal di Penang Free School, Tan Sri Elyas Omar kemudiannya memperolehi B.A Hons daripada Universiti Malaya di Singapura (hari ini dikenali sebagai Universiti Nasional Singapura).

Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat, memperolehi Ijazah Sarjana di dalam bidang pentadbiran awam di Universiti Pittsburg, dan kemudiannya Phd di dalam bidang yang sama dari Universiti Havard.

Sumber: Bernama

Sumbangan sebagai penjawat awam

Tan Sri Elyas Omar adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-3, dan memegang jawatan tersebut daripada 1982 sehingga 1992.

Antara sumbangan Allahyarham kepada Kuala Lumpur ketika menjawat jawatan tersebut ialah membantu menyediakan perumahan kepada penduduk setinggan, mengindahkan taman awam dengan mewujudkan Taman Orkid, Taman Burung, Taman Rama-Rama dan Dataran Merdeka sebagai mercu tanda Kuala Lumpur di era tersebut.

Sumber: Bernama

Sumbangan Tan Sri Elyas Omar kepada pembangunan negara menyebabkan Allahyarham diberikan anugerah Tokoh Wilayah Persekutuan 2007 oleh Kementerian Wilayah Persekutuan yang pada ketika itu diterajui bekas menterinya Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Sumbangan di dalam bidang sukan

Allahyarham juga mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang sukan.

Antara sumbangan terbesar Allahyarham ialah ketika sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Di bawah pimpinan Allahyarham, skuad badminton negara menjadi juara Piala Thomas 1992.

Ia adalah pencapaian yang gagal diulangi oleh sukan badminton negara sehingga hari ini.

Tan Sri Elyas Omar, empat dari kiri ketika Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992.

Selain daripada sukan badminton, Tan Sri Elyas Omar turut pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan di antara 2005 sehingga 2008.

Antara perubahan yang dilakukan ketika menjawat jawatan tersebut ialah mengarahkan persatuan-persatuan sukan supaya berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan bukan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Tan Sri Elyas Omar dan bola sepak

Bagi penyokong bola sepak skuad warga kota, Tan Sri Elyas Omar adalah legenda.

Pernah menjawat jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur di antara 1985 sehingga 1993, era Elyas Omar dianggap sebagai zaman emas skuad warga kota di arena bola sepak tempatan.

Di bawah bimbingan Tan Sri Elyas Omar, Kuala Lumpur FA menjuarai kejuaraan Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut pada 1987, 1988 dan juga 1989.

Zaman emas Kuala Lumpur FA

Skuad warga kota di era pentadbiran Tan Sri Elyas Omar bermula pada pertengahan 1985 dianggap sebagai salah sebuah pasukan gergasi di dalam negara pada ketika itu.

Antara pemain-pemain yang membarisi skuad warga kota pada ketika itu ialah Serbegeth Singh, Razif Ismail, Mat Zan Mat Aris, Lim Teong Kim, Subadron Aziz, Yap Wai Loon, Hashim Marman dan penjaga gol skuad kebangsaan, Abdul Rasyid Hassan.

Kredit: Pemilik gambar

Manakala pemain import yang masih dikenang sehingga ke hari ini ialah seperti Fandi Ahmad, Malek Awab dan K.Kannan daripada Singapura.

Pernah dianggap pembawa nasib malang

Selain daripada kejuaraan Piala Malaysia, Kuala Lumpur turut pernah menjuarai Divisyen 1 pertandingan bola sepak negara pada 1986 dan 1988.

Skuad warga kota tersebut turut pernah bergelar juara Piala FA pada 1993, kejuaraan terakhir Kuala Lumpur ketika di bawah pentadbiran Tan Sri Elyas Omar.

Menariknya, skuad warga kota memasuki pertandingan akhir Piala Malaysia buat pertama kali pada 1985 ketika Tan Sri Elyas Omar mengambil alih.

Kredit: Chedinsphere.blogspot

Bagaimanapun, Kuala Lumpur berputih mata apabila tewas 2-0 kepada Johor dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Merdeka tersebut.

Musim 1987, Kuala Lumpur sekali lagi tampil dalam perlawanan akhir pertandingan bola sepak paling berprestij di dalam negara.

Anehnya, majoriti pemain Kuala Lumpur tidak mahu Presiden mereka itu hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut. Untuk itu, dua pemain Kuala Lumpur, Fandi Ahmad dan Saidin Osman menemui Tan Sri Elyas Omar untuk menyampaikan hajat tersebut.

“Saidin memberitahu saya di dalam longhat utara bahawa saya sepatutnya menonton perlawanan tersebut melalui siaran secara langsung di hadapan kaca televisyen. Dan jika kemenangan tampak seperti berpihak kepada KL, saya harus bergegas ke stadium.”

Sumber: KL Hawk

“Fandi juga berkata saya harus menonton perlawanan daripada kaca televisyen, dan hanya ke stadium pada 15 minit terakhir perlawanan untuk sempat melihat pemain menerima piala daripada DYAM Agong.

“Saya berpendapat pemain-pemain cuba memberitahu saya dengan kaedah yang sopan bahawa saya adalah pembawa nasib malang. Saya berharap saya tidak sedemikian. Tetapi tanggapan sedemikan agak melucukan pada pandangan saya,” ujar Tan Sri Elyas Omar kepada akhbar New Strait Times satu ketika dahulu ketika mengenang pengalaman tersebut.

Kisah sebenarnya kejadian tersebut adalah kerana pemain Kuala Lumpur rasa tertekan dengan kehadiran presiden mereka di dalam stadium.

“Kami mahu memenangi kejuaraan Piala Malaysia untuk Datuk. Jika beliau berada di stadium, ia akan membuatkan kami kaku dan tertekan ketika perlawanan,” ujar Fandi lagi.

Kuala Lumpur tewas di perlawanan akhir Piala Malaysia 1985 kepada Johor dan Tan Sri Elyas Omar adalah antara hadirin yang hadir pada malam tersebut di Stadium Merdeka.

“Saya mungkin akan membuat penampilan di stadium sebelum sepak mula, meninggalkan perlawanan selepas perlawanan bermula dan kembali ke stadium selepas perlawanan tamat,” ujar Tan Sri Elyas Omar sambil berseloroh mengenai perkara itu.

Penutup

“Tidak mungkin Malaysia melahirkan lagi seorang tokoh sukan seperti Allahyarham Tan Sri Elyas Omar,” demikianlah kenyataan daripada pengkritik sukan tanah akhir terkenal, Saudara Rizal Hashim.

Apa yang dikatakan oleh Rizal Hashim ada benarnya. Allahyarham Tan Sri Elyas Omar bukan sahaja ikon bola sepak Kuala Lumpur dan negara, malah dianggap sebagai tokoh sukan tanah air yang telah memberi banyak sumbangan di pelbagai bidang dan lapangan sukan yang lain.

Buat keluarga Allahyarham Tan Sri Elyas Omar, kami dari Semuanya BOLA ingin merakamkan ucapan takziah.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN