“Balik makan maki je”, itulah kenyataan Luqman Hakim ketika ditanya oleh Astro Arena jika beliau mungkin pulang beraksi di Malaysia semula pada masa akan datang.
"Saya balik, makan maki je… mereka ada sepasang kaki, saya pun ada sepasang kaki" 🔥@ASTROARENA pic.twitter.com/Upo7HRlSAE
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) August 13, 2020
Kebelakangan ini isu Luqman Hakim sekali lagi menjadi pertikaian ramai pihak mengenai aksinya yang dilihat kurang menjadi bersama skuad senior kebangsaan.
Sejak tahun lalu beliau dipanggil, Luqman masih gagal untuk meledak sebarang gol termasuk dalam aksi persahabatan terbaru ini di Singapura yang menyaksikan pemain ini sekadar beraksi selaku pemain simpanan dan tidak memberi impak berbahaya di posisi serangan bawah kendalian Kim Pan-gon.
Adakah Luqman telah hilang ketajaman di bahagian serangan? Pada pendapat diri, pemain tersebut masih dalam proses pembangunan dan sebenarnya Luqman sendiri sudah meningkat dari segi fizikal, teknik kawalan bola, dan juga daya beliau berfikir serta komunikasi di atas padang.
Menurut pendapat saudara Amin Fuad di Twitter, beliau berpendapat Luqman masih lagi dalam proses pembangunan yang teratur di KV Kortrijk serta sudah banyak ada peningkatan dalam diri pemain tersebut.
Lagi satu, bagi aku kalau dia tak berjaya dekat Eropah atau takde rezeki untuk bermain di Eropah secara regular, aku anggap pengalaman beliau di sana sangat berharga. Luqman dah banyak improve dari segi komunikasi, cara berfikir, fizikal dan lain2.
— Amin Fuad (@aminfuad_10) March 31, 2022
Kami ada tiga sebab mengapa Luqman Hakim perlu kekal di Eropah berbanding mengambil jalan untuk kembali di Liga Malaysia (Liga-M) seperti pendapat sesetengah pihak.
Persaingan Di Eropah Lebih Kompetitif
Walaupun Luqman hanya beraksi selaku pemain skuad B-23 KV Kortrijk, persaingan dan intensiti yang dihadapi pemain ini juga sangat tinggi kerana faktor perbezaan taraf kualiti liga serta fizikal para pemain.
Menurut pendapat Ling Teong Kim, saingan liga B-23 di Belgium jauh lebih bagus berbanding intensiti di Liga Premier Malaysia ketika ini dan mahu pemain itu terus fokus di Belgium ketika ini.
Peluang lebar sayap di Eropah
Pemain ini masih lagi muda dan mempunyai jangka masa yang masih panjang selaku pemain bola sepak profesional. Maka, pasti mana-mana pasukan lain turut mengintai akan bakat muda ini.
Luqman Hakim tidak perlu pulang ke Malaysia sekiranya tidak mendapat tempat di kelabnya terkini nanti, sebaliknya beliau boleh terus berkelana di Eropah dan mencari pasukan yang boleh disertainya untuk terus beraksi di luar negara atau menunggu sahaja tawaran mana-mana kelab lain bagi mendapatkan beliau.
Selain itu dikhabarkan juga KV Kortrjik bakal meminjamkan Luqman ke kelab lain untuk pemain ini terus mendapat pendedahan yang bagus serta minit permainan yang mencukupi pada musim ketiga nanti.
7) Saya faham banyak org nak tgk dia bermain secara regular tapi kena tgk keadaan. Musim ketiga memang ada perancangan untuk Luqman untuk dipinjamkan ke kelab lain InsyaAllah.
— Amin Fuad (@aminfuad_10) March 31, 2022
Tiada jaminan Luqman akan dapat tempat di Liga Malaysia
Umum diketahui, Luqman Hakim beraksi selaku penyerang utama pasukan. Itu posisi dominan beliau sejak awal pembangunan bersama Malaysia.
Ketika ini, di saingan Liga Malaysia jelas setiap pasukan lebih mengutamakan pemain import sebagai tonggak serangan selain kesukaran mendapat pasukan yang sebetulnya bagus untuk meningkatkan kualiti pemain ini.
Selain itu, ketidakstabilan jadual liga yang dikeluarkan MFL setiap tahun juga boleh merencatkan pemain ini selain faktor persekitaran setiap pasukan yang rata-ratanya mempunyai masalah tersendiri.
Berilah masa
Para penyokong tidak perlu tergesa-gesa mahu Luqman terus menjadi bintang buat skuad negara ketika ini.
Luqman masih mempunyai baki kontrak yang panjang bersama KV Kortrijk dan setakat ini segala persiapan dalam membangunkan pemain tersebut masih berjalan dengan baik.
Apa jaminan anda dapat beri buat Luqman sekiranya pemain ini kembali dalam saingan Liga Malaysia dalam masa terdekat?
Tidak perlu beri sebarang tekanan dan sebaliknya para penyokong perlu melihat inisiatif persiapan pasukan-pasukan domestik sendiri dalam membangunkan pemain muda mereka untuk masa depan skuad kebangsaan.