Kisah Pemain Sabah Terpaksa Balik Hotel Jalan Kaki Lepas Pahang Sibuk Rai Kemenangan

Bola sepak tanpa drama ibarat lauk yang dimasak tanpa garam. Walau betapa hebat resipi sesebuah hidangan, tanpa garam, ia tetap tawar dan menyebabkan sesiapa sahaja hilang selera untuk makan.

Begitulah kemeriahan Piala Malaysia yang pernah menjadi pertandingan utama di negara ini. Walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, pertandingan tersebut tetap antara pertandingan domestik yang paling dinanti-nantikan pada hari ini kerana drama yang mewarnainya cukup rasa ‘garamnya’.

Kemeriahan pertandingan tersebut berbanding 20-30 tahun yang lalu mungkin berbeza pada hari ini. Namun insiden-insiden yang pernah berlaku sehingga menjadi drama untuk menghangatkan pertandingan tersebut tidak akan dilupakan.

Piala Malaysia 1995

Antara yang paling tidak dilupakan ialah kejadian yang berlaku pada 1995. Pertandingan Piala Malaysia 1995 menyaksikan empat pasukan gergasi pada ketika itu iaitu Sabah, Pahang, Sarawak dan Selangor mara ke separuh akhir.

Sabah mara ke separuh akhir selepas muncul juara kumpulan dan turut berjaya mengatasi Selangor di dalam saingan Kumpulan B . Manakala Pahang pula merupakan naib juara Kumpulan A di belakang Sarawak.

Ini bermakna saingan separuh akhir Piala Malaysia 1995 menemukan Sabah vs Pahang dan Sarawak vs Selangor.

Walaupun beraksi di tempat sendiri terlebih dahulu, Sabah tewas tipis 0-1 kepada Pahang di Stadium Likas. Sarawak turut mengalami nasib yang sama ditewaskan Selangor dengan jaringan 2-3 di Kuching.

Kekalahan tipis kedua-dua pasukan dari Borneo itu bermakna perlawanan timbal balik yang akan berlangsung di Kuantan dan Shah Alam selepas itu tetap akan berlangsung dengan sengit.

Sabah vs Pahang jadi tumpuan

Separuh akhir kedua menyaksikan Sarawak terikat tanpa jaringan dengan Selangor di Shah Alam, yang bermakna pasukan tuan rumah mara ke final dan berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia yang berlanjutan selama 9 tahun.

Tetapi separuh akhir timbal balik Piala Malaysia menjadi tumpuan kerana insiden yang berlaku selepas perlawanan di Kuantan membabitkan pasukan Sabah dan Pahang.

Selepas tewas 0-1 di Likas oleh gol penalti Dollah Salleh, Sabah tiada pilihan lain kecuali untuk mendapatkan kemenangan di Kuantan – atau nasib mereka akan sama seperti Sarawak.

Menariknya kedua-dua pasukan pada ketika itu dilatih oleh jurulatih tempatan. Sabah yang dikendalikan oleh Kelly Tham pada ketika itu berjaya meraih kemenangan 1-0 ke atas pasukan bimbingan Yunus Alif selepas 90 minit perlawanan.

Tambahan masa dengan format sudden death pula gagal menghadirkan sebarang jaringan daripada kedua-dua pasukan – bermaksud perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti.

Nasib menyebelahi skuad Tok Gajah pada ketika itu selepas Scott Ollerenshaw dan Yap Wai Loon gagal menyempurnakan sepakan masing-masing. Manakala pemain Pahang, Igor Chkvyrin, Dollah Salleh, Zainal Abidin, dan Shaharuddin Rosdi berjaya menyempurnakan sepakan masing-masing.

Ini bermakna Pahang layak ke final Piala Malaysia dan berpeluang menebus kehampaan musim sebelumnya selepas dibelasah 4-0 oleh Singapura di final pertandingan yang sama.

Insiden selepas perlawanan

Bukan perlawanan dan kekalahan itu yang mencuri perhatian. Sebaliknya insiden selepas perlawanan yang menjadi cerita panas dan sebutan penyokong pada ketika itu.

Dan baru-baru ini insiden tersebut dikongsikan semula oleh akaun Twitter ToraBola melalui keratan akhbar yang berlaku kira-kira 27 tahun lalu itu.

Kekalahan di peringkat separuh akhir dengan cara sedemikian sememangnya sudah perit buat pasukan Sabah. Apa yang berlaku selepas itu lebih memedihkan.

Selepas tamat perlawanan, pemain-pemain pasukan Sabah pada ketika itu dilaporkan terus berada di Stadium Darul Makmur dan menunggu selama 40 minit untuk bas yang tidak kunjung tiba untuk kembali ke hotel penginapan.

Selepas lama menunggu, pemain-pemain Sabah memutuskan untuk berjalan kaki sahaja ke hotel penginapan mereka.

Dan perjalanan itu sudah tentunya terasa begitu panjang kerana terpaksa melalui kumpulan-kumpulan penyokong Tok Gajah yang masih kegembiraan meraikan kejayaan mara ke final Piala Malaysia 1995.

Seperti dijangka, pemain-pemain Sabah terutamanya penjaga gol, Khairul Azman Mohamed menjadi bahan ejekan penyokong Pahang sepanjang perjalanan mereka ke hotel penginapan.

Khairul Azman menjadi sasaran penyokong kerana keputusannya untuk menyertai Sabah pada musim itu selepas beraksi selama 10 musim bersama Pahang.

Pegawai Pahang terlupa?

Sudah menjadi peraturan di dalam saingan Liga Malaysia sejak dari dahulu lagi bahawa penginapan, dan pengangkutan pasukan pelawat harus disediakan oleh pasukan tuan rumah.

Ini bermakna Persatuan Bola Sepak Pahang (Pahang FA) pada ketika itu bertanggungjawab untuk pengangkutan skuad Sabah pada ketika itu. Apa yang berlaku kemudiannya didedahkan oleh pengurus Sabah FA, Datuk Anifah Aman.

Pegawai Pahang FA yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga keperluan pemain Sabah di Kuantan datang menemui Anifah di lobi hotel kerana terlupa akan tanggungjawab beliau kerana terlampau khusyuk meraikan kejayaan Pahang mara ke final.

“Malang sekali dalam mereka meraikan kemenangan, pihak Pahang FA sebenarnya terlupa akan tanggungjawab mereka .

“Walaupun kami kalah di Kota Kinabalu (separuh akhir pertama), kita tidak pernah biarkan saja mereka begitu sahaja,” jelas Anifah.

Penutup

Kejayaan menewaskan Sabah di separuh akhir Piala Malaysia 1995 itu sebenarnya ibarat seperti misi balas dendam Pahang ke atas Sabah selepas tewas 3-1 di perlawanan Piala FA musim yang sama.

Malang sekali buat Pahang kerana tetap gagal merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada musim itu setelah ditewaskan oleh Selangor dengan jaringan 1-0 di Stadium Shah Alam.

Apa-apa pun ia adalah episod yang tidak dapat dilupakan barisan pemain Sabah pada ketika itu. Hanya kerana terlalu khusyuk meraikan kejayaan, pemain-pemain Sabah terpaksa berjalan kaki pulang ke hotel penginapan.

Mujurlah tiada insiden yang tidak diingini berlaku pada ketika itu. Anda boleh mengikuti akaun Twitter ToraBola untuk perkongsian menarik trivia dan sejarah bola sepak Sabah.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN