Bakal Gah Dengan 9 ‘Aset’ Import, JDT Idam Bolot Semua Kejuaraan Domestik Semusim?

8 kejuaraan Liga Super JDT dominasi 9 aset import musim 2022

Kita terus dihidangkan dengan pengumuman pemain import baharu oleh juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan di Dubai nanti, mereka bakal melengkap sembilan ‘aset’ import pada musim depan.

Setakat ini, mereka telah memiliki lapan pemain import selepas sah membawa masuk dua lagi pemain import baharu iaitu bek tengah, Carli de Murga dan penyerang, Bienvenido Maranon. Baki seorang lagi pemain import akan menyertai pasukan apabila mereka berada di Dubai untuk sesi latihan pra-musim pada minggu depan.

JDT Perkenal 2 Pemain Import Baharu Dari Sepanyol Perkuat Skuad Musim 2022

Soalan yang bermain di fikiran pengikut bola sepak tempatan adalah kenapa sampai sembilan pemain import?

JDT memiliki lapan pemain import setakat ini iaitu:

  • Shane Lowry (Australia)
  • Carli de Murga (Filipina/Sepanyol)
  • Mauricio (Brazil)
  • Leandro Velazquez (Argentina)
  • Bergson da Silva (Brazil)
  • Bienvenido Maranon (Filipina/Sepanyol)
  • Fernando Forestieri (Argentina)
  • Fernando Rodriguez (Sepanyol)

Walaupun memiliki sembilan pemain import, ia sebenarnya masih boleh dianggap normal. Mengapa? Mereka memiliki skuad simpanan iaitu JDT II yang bersaing di Liga Premier. Situasi yang sama dengan pasukan lain antaranya Selangor FC dan Terengganu FC. Maksimum pemain import yang boleh dimiliki sembilan orang.

Lima pemain untuk skuad utama dan empat untuk skuad simpanan. Selangor dan Terengganu juga memiliki lebih daripada lima pemain import sebagai persediaan untuk penggiliran pemain jika diperlukan skuad utama.

Jadi, jumlah pemain import JDT masih normal dan tiada persoalan. Cuma bagaimana mereka akan uruskan?

Menurut kenyataan terbaharu daripada Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, skuad musim depan adalah besar bagi mengharungi empat kejohanan utama seperti AFC Champions League, Liga Super, Piala Malaysia serta kembalinya Piala FA yang akan kembali dipertandingkan musim depan. Ia penting untuk rotasi pemain.

Memetik katanya, “Harimau Selatan berpotensi bermain 50 perlawanan pada musim 2022 bergantung kepada kemaraan ke pusingan terakhir dalam pertandingan Piala. Justeru, skuad besar yang berkualiti diperlukan untuk penggiliran pemain dan memastikan pasukan berada pada tahap optimum untuk semua pertandingan.”

“Akan ada pemain yang terlibat dalam sistem penggiliran juga akan menyaksikan mereka bermain untuk JDT II untuk mendapatkan ‘match fitness’ dan memastikan mereka bersedia untuk pasukan utama pada bila-bila masa,” jelas lanjut kenyataan Alistair Edwards yang telah dimuat naik di laman sosial JDT, sebentar tadi.

Melihat kepada kenyataan tersebut dan dengan reputasi pemain yang dibawa masuk kali ini, ia seperti menggambarkan JDT seolah-olah mahu membolot semua kejuaraan domestik musim depan, disamping memberi cabaran di saingan AFC Champions League (ACL) yang gagal memberikan impak pada edisi lalu.

Dua pemain import musim lalu yang kurang ‘membantu’ dilepaskan adalah Kei Hirose dan Syahrian Abimanyu.

Bagaimana dengan nasib pemain muda pula? Itu juga persoalan yang ditimbulkan oleh para pemerhati saat ini.

Kata Alistair Edwards mengenainya, “Penggiliran bersama JDT II juga akan membantu perkembangan pemain muda yang beraspirasi tinggi di JDT II apabila mereka dapat menimba pengalaman berharga bermain bersama pemain yang lebih berpengalaman, sekali gus memastikan peralihan yang lancar ke pasukan senior [nanti].”

“[Ia] seperti kisah kejayaan Arif Aiman ​​Hanapi dan Ramadhan Saifullah,” ulas lanjutnya tentang perkara tersebut.

Setakat ini, lapan pemain yang dimiliki JDT dilihat berkaliber dan mampu memberi yang terbaik terutama di saingan domestik. Adakah JDT mahu membolot semua kejuaraan domestik dengan sembilan ‘aset’ import?

Kehilangan Kei Hirose dan Syahrian Abimanyu, serta disertai pemain lebih berkaliber seperti bekas kapten Terengganu FC, Carli de Murga dan penjaring terbaik Piala AFF Suzuki 2020, Bienvenido Maranon menyaksikan JDT mahu lebih serius dalam memburu kejuaraan domestik selain memberi impak di saingan peringkat Asia.

Mampukah mereka mencipta sejarah membolot semua kejuaraan domestik semusim pada musim depan?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN