5 Pemain Yang Boleh Barcelona Beli Berbanding Ousmane Dembele

Barcelona sepertinya akan menjual Ousmane Dembele dalam masa terdekat ini, dek kerana bintang Perancis itu masih tidak mahu menandatangani kontrak baru bersama kelab.

Kontrak asal pemain berusia 24 tahun itu akan tamat pada penghujung musim ini, namun beliau masih lagi belum bersetuju untuk menandatangani perjanjian baru.

Gergasi Catalan itu dilaporkan menolak permintaan Dembele yang meminta gaji yang terlalu tinggi dalam kontrak barunya.

Barcelona juga walau bagaimanapun tidak mahu melepaskan Dembele tanpa mereka mendapatkan apa-apa, dan kerana itulah mereka mahu menjual pemain berusia 24 tahun itu pada jendela perpindahan Januari ini.

Barca dilaporkan sudah tidak peduli berapa yang boleh mereka dapatkan, asal saja ia berbaloi untuk pelaburan bernilai €140 juta yang telah mereka keluarkan untuk mendapatkan khidmatnya pada tahun 2017 yang lalu.

Gergasi Catalan itu pada ketika itu baru sahaja melepaskan Neymar dengan yuran perpindahan bernilai €222 juta, dan kerana mendapat dana yang besar, mereka terus menandatangani pemain bintang lain tanpa berfikir panjang.

Tidak dinafikan yang Barcelona antara kelab paling gagal dalam menguruskan perpindahan dan menjaga pemain sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada musim 2016/17, Dembele tidak dinafikan telah menunjukkan potensi yang sungguh menakjubkan selepas beliau menjaringkan 10 gol dan mencatatkan 21 assists dari 49 penampilan bersama Borussia Dortmund.

Namun apa yang telah beliau persembahkan pada ketika itu, jelas sekali tidak membuktikan yang beliau layak untuk ditandatangani dengan nilai €140 juta.

Kini Barca bukan hanya terpaksa menanggung rugi membayar yuran yang mahal, bahkan mereka terpaksa melayan karenah Dembele yang dianggap keterlaluan.

Bil hospital Dembele sahaja mungkin sudah hampir sama dengan nilai beliau ditandatangani oleh Barcelona, dan kini beliau meminta kenaikan gaji yang terlalu tinggi, mana mungkin para peminat tidak geram dengannya?

Dari Barcelona melabur dana yang besar untuk mendapatkan Dembele, mereka sepatutnya boleh menggunakan dana yang sama untuk dapatkan lima pemain ini.

Berikut merupakan lima pemain yang Barcelona boleh tandatangani berbanding Ousmane Dembele.

5) Leroy Sane

Leroy Sane berjaya memukau Pep Guardiola dengan kelajuan dan kemahiran teknikal beliau yang sungguh luar biasa menakjubkan itu.

Beliau merupakan antara nadi penting Man City sejak dari awal beliau ditandatangani pada tahun 2016, dengan Raheem Sterling bermain di sebelah kiri, Sane kerap diturunkan di posisi sebelah kanan.

Beliau hanya 20 kali diturunkan dalam kesebelasan utama Premier League dan tiga kali dalam saingan Champions League, namun beliau secara keseluruhannya telah membuat 37 penampilan dari semua pertandingan untuk The Citizens ketika musim debutnya.

Sane berjaya menjaringkan sembilan gol dan mencatatkan lapan assists sepanjang tempoh tersebut.

Walau statistik tersebut agak rendah jika dibandingkan dengan Dembele pada musim yang sama, harga Sane berkemungkinan hanya suku sahaja dari harga Barca bayar untuk dapatkan bintang Perancis itu.

Sane juga konsisten dan kini beliau turut dianggap sebagai antara pemain sayap kiri terbaik dalam dunia bola sepak, dan turut menjadi nadi terpenting Bayern Munich pada ketika ini.

4) Son Heung-min

Son Heung-min jelas sekali bakal dianggap sebagai antara pemain paling underrated dalam sejarah dunia bola sepak.

Bintang Korea Selatan itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan sepanjang enam musim beliau bersama Tottenham Hotspur.

Mauricio Pochettino menandatangani beliau dari Bayer Leverkusen pada musim panas 2015 dengan yuran perpindahan bernilai hanya €30 juta sahaja.

Beliau hanya memerlukan beberapa bulan sahaja untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan dalam saingan Premier League, dan pada musim 2016/17, Son merupakan antara pemain terbaik dalam dunia bola sepak.

Beliau berjaya menjaringkan 21 gol dan turut mencatatkan sembilan assists dan 47 penampilan dalam semua pertandingan untuk Spurs pada ketika itu.

Son juga baru berusia 25 tahun pada musim panas 2017 dan Barcelona sepatutnya boleh mencuba nasib untuk menandatangani beliau dengan menggunakan dana yang telah mereka gunakan untuk dapatkan Dembele.

Satu-satunya hal yang tiada pada Son Heung-min adalah Piala kejuaraan, dan sudah tentu beliau akan lakukan yang terbaik untuk membantu Barcelona menjulang Piala seandainya beliau ditandatangani pada ketika itu.

Ia bakal menjadi penandatanganan yang sangat berbaloi, namun Barca tidak memiliki vision untuk menilai bakat berpotensi dan hanya tertarik dengan harapan palsu dari Dembele.

3) Lorenzo Insigne

Ketika Barcelona melepaskan pemain sebagus Neymar Jr, mereka seharusnya mencari pengganti yang sama hebat dan sudah terbukti boleh beraksi di pentas tertinggi.

Bintang Napoli, Lorenzo Insigne sepatutnya menjadi pemain sasaran utama Barcelona pada ketika itu, dek kerana beliau antara pemain yang paling berprestasi.

Pemain kebangsaan Itali itu merupakan antara pemain sayap yang mempunyai kemampuan teknikal yang sungguh menakjubkan, dan pada musim 2016/17 beliau merupakan antara pemain terbaik dalam dunia bola sepak.

Insigne berjaya menjaringkan 20 gol dan turut mencatatkan 11 assists dari 49 penampilan bersama Napoli sepanjang musim tersebut.

Beliau merupakan antara pemain paling berprestasi selepas membantu Napoli untuk mengakhiri saingan Serie A di kedudukan ketiga, lima mata sahaja dibelakang Juventus yang muncul sebagai Juara pada ketika itu.

Beliau merupakan nadi penting dalam sistem ‘Sarriball’ pada ketika itu dan jelas sekali Insigne bakal menjadi calon pengganti terbaik untuk menggantikan Neymar Jr.

Insigne pada ketika itu baru berusia 25 tahun dan sudah tentu Barcelona tidak perlu mengeluarkan dana sehingga €80 juta pun untuk mendapatkan khidmatnya.

2) Raheem Sterling

Agak mengecewakan untuk melihat Barcelona sanggup memecahkan rekod perpindahan untuk pemain yang baru berusia 19 tahun, dan baru sahaja mengharungi satu musim yang hebat.

Apa lagi memikirkan yang mereka sebenarnya ada banyak lagi pilihan yang boleh dilakukan pada ketika itu, terutama kerana mereka sedang memiliki dana yang sangat besar.

Raheem Sterling pada ketika itu baru sahaja berusia 22 tahun dan telah memiliki reputasi yang sungguh menakjubkan di posisi sayap kiri bersama Liverpool dan Manchester City.

Beliau pada ketika itu merupakan pemain terpenting Manchester City dan turut menjadi nadi sebalik kejayaan The Citizens dalam saingan domestik di pentas bola sepak Inggeris.

Dari 47 penampilan bersama skuad kendalian Pep Guardiola pada musim 2016/17, Sterling berjaya menjaringkan 10 gol dan turut mencatatkan 20 assists.

Saingan Premier League merupakan antara liga paling sukar dalam dunia bola sepak, dan walaupun tidak mempunyai fizikal yang bagus, namun Sterling terbukti sangat berkesan untuk memberi ancaman kepada kubu lawan.

Beliau menyertai Manchester City pada tahun 2015 dari Liverpool dengan yuran perpindahan sekitar €50 juta dan ia separuh sahaja dari dana yang Barcelona guna untuk dapatkan Dembele.

Tidak keterlaluan untuk menganggap yang Sterling agak konsisten dan beliau kini merupakan antara pemain sayap terhebat dalam dunia bola sepak.

1. Kylian Mbappe

Pada musim panas yang sama Paris Saint Germain membeli Neymar Jr, mereka turut mengumumkan yang mereka bakal membawa masuk Kylian Mbappe sebagai pemain pinjaman.

Pemain muda Perancis itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan bersama AS Monaco pada musim 2016/17.

Beliau pada ketika itu berjaya membantu Monaco untuk memenangi gelaran Ligue 1 dan turut mara hingga ke aksi separuh akhir saingan Champions League.

Mbappe berjaya menjaringkan 26 gol dan turut mencatatkan 14 assists dari 44 penampilan bersama AS Monaco sepanjang tempoh tersebut.

Beliau pada ketika itu jelas sekali ‘The Next Big Thing’ dalam dunia bola sepak, dan beliau mungkin akan bernilai lebih mahal dari Dembele dan Barca sendiri pada ketika itu terlebih mampu untuk mendapatkan tandatangan beliau.

Dalam satu temu bual bersama Esport3 pada Oktober 2021, Josep Maria Bartomeu yang ketika itu merupakan Presiden Barca ada menyatakan bahawa:

“Penandatanganan Mbappe sudah hampir berlaku, tapi barisan kejurulatihan lebih memilih Dembele kerana mereka mahu pemain yang lebih terbuka di atas padang.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN