Sebelum ini pentadbir laman Facebook (admin) Kedah telah ditegur oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana cubaan ‘mengusik’ video pelancaran jersi baru musim 2020 JDT dengan laras bahasa Inggeris yang lemah.
Dalam tegurannya itu, TMJ secara terbuka meminta Presiden Kedah FA (KFA) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir agar menghantar pentadbir laman tersebut ke kelas bahasa Inggeris bagi meningkatkan kemahiran bahasanya.
Status tersebutnya kemudiannya telah dipadam. Tetapi terlalu lambat sebelum menjadi bahan sindiran peminat bola sepak tempatan.
Namun demikian pada hari ini, pentadbir laman Facebook FA Kedah memuat naik satu status baru untuk mempromosikan majlis pelancaran jersi baru mereka – kali ini dengan bahasa Arab pula.
Tetapi apa yang sedihnya, penggunaan bahasa Arab yang digunakan juga terdapat beberapa ‘kesalahan kecil’ seperti yang diberitahu seorang pembaca kami, En. Hashim. “Status Kedah itu tidak menggunakan riwayat serta ‘nahu’ atau tatabahasa yang tepat,” katanya.
En. Hashim yang juga guru bahasa Arab di sebuah sekolah agama menulis terus ke inbox Facebook Semuanya BOLA:
“Pertama ayat ‘الصبر جزء من الايمان’ mungkin cuba untuk memberi maksud ‘Sabar itu sebahagian daripada iman’ jika diterjemah secara terus. Kemungkinan ianya percubaan untuk merujuk sebuah riwayat yang disandarkan kepada sahabat nabi bernama Abdullah bin Ma’ud yang berbunyi:-
‘الصَّبْر نصف الْإِيمَان وَالْيَقِين الْإِيمَان كُله’
“Maksudnya: Kesabaran adalah separuh keimanan. Keyakinan adalah keseluruhan keimanan.
“Tiada sebarang riwayat yang memberikan istilah ‘Sabar itu sebahagian daripada iman’ sekalipun ia banyak tersebar dalam masyarakat dan menyangka ianya adalah sabda Rasulullah s.a.w.
“Kedua, Kedah FA juga menulis ‘ليس طويلاً’ mungkin cuba untuk memberi maksud ‘Tidak lama lagi’. Tetapi penggunaan bahasa arab tersebut agak janggal dalam penggunaan bahasa harian.
“Mungkin perkataan yang lebih tepat adalah ‘قريباً’ dan mungkin lebih cantik untuk ditambah perkataan ‘سيأتي’ di hadapannya yang memberi maksud ‘Akan datang tidak lama lagi’.
“Apa pun ianya satu percubaan yang baik oleh pentadbir laman Kedah untuk memeriahkan penggunaan pelbagai bahasa dalam akaun media sosial mereka. Namun adalah lebih baik untuk menggunakan bahasa yang sesuai dan tepat.
“Tambahan pula jika ianya hanya bertujuan untuk ‘menyindir’ pihak-pihak tertentu, adalah lebih baik supaya dielakkan.
“Kita tak nak tengok berlaku ‘perang’ di antara penyokong di dalam media sosial yang hanya berakhir dengan sia-sia dan tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada pasukan masing-masing,” tulis En. Hashim.
Kredit Foto: Kedah FA