Safawi Terbuka Untuk Ke Eropah, Dengan Syarat Menerusi Saluran Betul

Safawi Rasid menyatakan bahawa beliau sentiasa bersedia untuk beraksi di luar negara, jika ada tawaran yang baik datang kepada beliau.

Namun penyerang kebangsaan itu berkata, perpindahan itu hendaklah menerusi saluran yang betul. Beliau masih lagi pemain JDT, dan perpindahan yang dibuat harus menerusi JDT.

Kelab yang mahukan khidmat beliau perlu mendapatkan kebenaran JDT terlebih dahulu untuk bercakap dengan wakil beliau. Jika ada persetejuan di antara semua pihak dicapai, maka Safawi akan pergi.

Beliau menegaskan, setiap pemain profesional di dalam Malaysia mengimpikan untuk bermain bola sepak di luar negara terutama sekali di Eropah.

Dipetik dari sumber Arena Metro, Safawi berkata: “Bagi saya memang kalau boleh saya nak tawaran yang rasmi dari luar negara yang akan berurusan terus dengan JDT.”

Safawi Rasid Malaysia Indonesia 3
FOTO: PFAM

“Secara peribadi, memang saya nak kembangkan bakat saya dalam bola sepak sebab ini adalah kehidupan saya.”

“Lagipun saya mencari rezeki dengan bola sepak, jadi saya nak raih pengalaman lagi. Kalau boleh saya nak pergi lebih jauh dan insya-Allah kalau ada rezeki saya akan buat lagi baik musim ini bersama JDT.”

“Jika saya dapat peluang ke luar negara ia secara tak langsung juga akan membuka mata orang luar.”

“Malah, bukan saya sorang, ramai lagi pemain Malaysia mampu bermain di luar negara.”

Beliau berkata demikian selepas bekas kapten Liverpool, Jamie Redknapp mencadangkan agar bakat seperti Safawi Rasid mencuba nasib di Eropah.

Redknapp turut membandingkan keupayaan teknikal Safawi mirip kepada Mohamed Salah. Di mana kedua-duanya boleh mengelecek, melakukan cut inside, dan melakukan rembatan lencong dengan kaki kiri.

Safawi menghargai pandangan Redknapp dan menganggap ia satu penghargaan. Beliau agak terharu dibandingkan dengan Mo Salah. Safawi kekal merendah diri dengan menyatakan beliau tidaklah sehebat Salah.

“Saya nak ucap terima kasih sebab beliau (Redknapp) cakap macam itu (gaya permainan seperti Salah). Saya macam terharu dia samakan saya macam Salah, tapi sejujurnya saya tidaklah sehebat Salah.”

Safawi mahu menjadi dirinya sendiri. Dan tidak mahu leka dengan pujian yang diterimanya. Beliau juga berikrar akan sentiasa memberikan yang terbaik kepada pasukan yang diwakilinya.

Leave a Reply