Bagaimanakah Perlaksanaan Undian Piala Dunia Sepanjang Zaman? Bahagian I

Seminggu lagi undian pusingan akhir Piala Dunia akan berlangsung. Ia merupakan salah satu acara kemestian sebelum bermulanya kejohanan berprestij ini.

Undian ini menimbulkan debaran, tekanan malah kegembiraan bagi pasukan-pasukan yang bertanding. Mana tidaknya, ada yang diundi melalui pasukan mudah. Ada juga mengeluh kerana berhadapan pasukan yang setara kekuatannya.

Kami membawakan secara eksklusif bagaimanakah proses undian Piala Dunia. Siri pertama kali ini menampilkan mekanisme pada 3 edisi Piala Dunia yang terawal iaitu 1930, 1934 dan 1938.

Malah, ketiga-tiga kejohanan terawal ini berlangsung sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua.

1930 – Bermulalah sejarah di Uruguay

Final sulung antara Uruguay menentang Argentina. Sumber: FIFA.

Ia merupakan satu-satunya kejohanan yang diadakan tanpa mengadakan pusingan kelayakan. Pada ketika itu, FIFA menghantar jemputan kepada semua negara ahlinya. Malah, penganjur telah memberikan tarikh akhir iaitu pada 28 Februari 1930 untuk mengesahkan penyertaan.

Tahukah anda, pasukan yang bertanding dari benua Eropah tiba di Uruguay dengan kapal laut? Dan undian hanya dibuat selepas semua pasukan selamat tiba di negara itu. Uniknya, proses undian hanya diadakan tiga hari sebelum sepak mula.

13 pasukan itu diasingkan kepada 4 kumpulan. Tiga kumpulan diisi oleh tiga pasukan setiap satu. Cuma 1 kumpulan sahaja dianggotai oleh 4 pasukan.

Kumpulan 1 dianggotai Argentina, Chile, Perancis dan Mexico. Kumpulan 2 dihuni oleh Yugoslavia, Brazil dan Bolivia. Kumpulan 3 menyaksikan tuan rumah, Peru dan Romania diundi bersama manakala Kumpulan 4 disertai Amerika Syarikat, Paraguay dan Belgium.

Juara setiap kumpulan mara ke separuh akhir. Uruguay dipertemukan dengan Yugoslavia, Amerika Syarikat menentang Argentina. Final menemukan Uruguay menentang Argentina.

Tuan rumah menewaskan Argentina 4-2 dalam perlawanan final.

1934 – Hos sulung daripada benua Eropah

Pemain Itali meraikan kejayaan memenangi Piala Dunia di tanah air sendiri. Sumber: FIFA.

Daripada 32 pasukan mencuba dalam pusingan kelayakan, hanya 16 sahaja yang berjaya mara ke Itali. Tuan rumah, Itali sendiri terpaksa bermain dalam pusingan kelayakan.

Uruguay, juara sulung kejohanan menolak untuk mempertahankan kejuaraan. Argentina, finalis edisi lalu berjaya melepasi aksi kelayakan dan beraksi di Itali.

Format 1934 amat mudah, kalah mati. 8 pasukan pilihan, Argentina, Brazil, Jerman, Itali, Belanda, Czechoslovakia, Austria dan Hungary telah ditetapkan tidak bertembung satu sama lain pada pusingan awal.

Itali diundi bertemu Amerika Syarikat. Perjalanan sebagai tuan rumah amat mudah, mereka mara ke final dan menewaskan Czechoslovakia, 2-1. Sebelum itu mereka menewaskan Austria (separuh akhir), Sepanyol (suku akhir) dan Amerika Syarikat (pusingan pertama).

1938 – Penampilan sulung wakil benua Asia

Seorang budak lelaki mencuri tumpuan kerana membantu dalam proses undian untuk kejohanan pada 1938. Sumber: FIFA.

Ya, Hindia Timur Belanda (kini Indonesia) menjadi wakil sulung benua Asia untuk kejohanan ini. Negara Amerika Selatan memprotes tindakan penganjur memilih Perancis (dari benua Eropah) sebagai hos. Tindakan itu menyebabkan Argentina dan Uruguay tidak beraksi dalam pusingan kelayakan.

Format kalah mati masih digunakan untuk kejohanan tahun 1938. Sekiranya perlawanan kekal dengan keputusan seri, ia akan diheret kepada masa tambahan. Walau bagaimanapun, jika masih seri, perlawanan ulangan akan diadakan.

Itali layak automatik ke Piala Dunia 1938 dan diletak sebagai pasukan pilihan. Selain itu, Jerman, Perancis, Czechoslovakia, Hungary, Cuba dan Brazil juga diletak sebagai pasukan pilihan.

Austria menarik diri pada saat-saat akhir dan menyebabkan Sweden menerima bye untuk ke suku akhir. Dalam kata lain, 15 pasukan sahaja bertanding kali ini.

Perancis kandas di suku akhir apabila juara bertahan, Itali menewaskan mereka pada suku akhir. Itali mengekalkan trofi Jules Rimet di tanah air mereka dengan membenam cabaran Hungary, 4-2.

Cabaran Hindia Timur Belanda tamat awal apabila mereka tumpas pada finalis ketika itu, Hungary pada pusingan awal kejohanan.

Penutup

Siri kedua nanti akan menampilkan sejarah perlaksanaan undian Piala Dunia pada edisi pasca Perang Dunia Kedua. Semua harus maklum bahawa Perang Dunia Kedua merupakan faktor kenapa Piala Dunia tidak diadakan pada 1942 dan 1946.

Teruskan setia bersama kami di Semuanya BOLA untuk artikel-artikel menarik dan berinformatif, disediakan khas untuk anda!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN