Bagaimana Thailand Tidak Pernah Putus Bekalan Penyerang Muda Berkualiti Di Saat Import Membanjiri Thai League

Teerasak Poeiphimai Anan Yodsangwal Yotsakorn Burapha Thailand pemain muda 2023

Saban tahun, Thailand mampu menononjolkan bakat muda terutamanya di posisi serangan waima terdapat peningkatan kouta import di Thai League.

Jika sebelum ini Ekanit Panya dan Suphanat Mueanta ditonjolkan, di Sukan SEA 2023, kita akan diperkenalkan pula dengan Teerasak Poeiphimai.

Statistiknya di Thai League 1 musim 2022/23 bersama Port FC bukanlah biasa-biasa – mencetak lapan gol dalam 23 penampilan di usia 20 tahun.

Bagaimana beliau boleh bermain begitu banyak? Daripada 23 penampilan itu, beliau mendapat hampir 50 peratus minit permainan. Tambah menarik apabila Port FC turut memiliki penyerang import dari Brazil, Hamilton.

Selain itu, mereka memiliki dua lagi penyerang yang merupakan penjaring dua gol ketika menewaskan Malaysia iaitu penyerang Lamphun Warriors, Anan Yodsangwal dan pemain berusia 17 tahun, Yotsakorn Burapha.

Bermula pada musim ini, kelab-kelab di Thai League 1 dibenarkan untuk mendaftarkan lima pemain import bebas, satu dari Asia dan satu dari Asean. Sebelum ini, hanya tiga import bebas dan satu dari Asia sahaja.

Di Thai League 2 pula, tiga pemain import bebas, satu dari Asia dan satu dari Asean dibenarkan untuk didaftarkan bermula pada musim 2022/23.

Ketiga-tiga penyerang ini masih tampil bermain di saingan Thai League.

Teerasak mencipta nama pada usia 18 tahun

Teerasak mula bermain bola sepak yang sebenar pada usia 16 tahun ketika belajar di sekolah yang memiliki skuad bola sepak antara yang terbaik di Thailand, Surasakmontree School. Sebelum itu, beliau hanya bermain futsal dan adakalanya terlibat dalam bola sepak lima serta tujuh sebelah.

Beliau dilamar Prime Bangkok untuk bermain di Thai League 3 musim 2020 sambil meneruskan pengajiannya. Beliau mencipta sejarah penjaring hatrik termuda dan penjaring termuda di Thai League 3 di usia 18 tahun 23 hari.

Bermain 13 perlawanan, Teerasak mencipta sembilan gol sebelum liga terhenti akibat Covid-19. Ia sesuatu yang membanggakan dirinya untuk penampilan pertama secara profesional di pentas bola sepak Thailand.

Kini, beliau telah mewakili Thailand bersama skuad B-23 dan senior tanpa melalui skuad B-16 dan B-18, seperti mana rakan-rakannya yang lain.

Bagaimana pemain yang dilabel ‘The Next’ Teerasil Dangda ini boleh mendapat minit permainan yang banyak bersama Port FC? Hampir 50 peratus masa bermain adalah cukup tinggi untuk pemain di usianya.

Anan Yodsangwal dan ‘penari ular’, Yotsakorn Burapha

Penyerang kelab yang bersaing di Thai League 1, Lamphun Warriors, Anan Yodsangwal tampil 54 peratus dalam kesebelasan utama dan telah bermain 25 perlawanan bersama pasukan yang berada di tangga ke-12 liga itu.

Begitupun, beliau hanya berhasil mencipta satu gol dan satu bantuan gol.

Bakatnya mula mencuri perhatian skuad B-22 Thailand apabila dikatakan bekas pengendali, Worrawoot Srimaka telah membeli tiket kapal terbang untuk menyaksikan sendiri aksi Anan bersama kelabnya dan ia berhasil.

Malah, beliau menyertai Lamphun Warriors hasil rekomendasi Theerathon Bunmathan yang menyaksikan bakatnya dalam satu kejohanan tempatan.

Kini, beliau sudah lapan kali membuat penampilan bersama skuad B-22.

Bagi penyerang yang meraikan gol dengan tarian ular, Yotsakorn Burapha pula, beliau hanya bermain di Thai League 2 bersama Samut Prakan City. Jangan terkejut, beliau sudah menghasilkan tujuh gol dalam 31 penampilan.

Malah, kelab itu lengkap dengan lima pemain import pada musim ini.

Yotsakorn merupakan penjaring termuda di Thai League 2 dalam musim pertamanya sebagai pemain profesional sejak berpindah dari Fleet Union. Dan kini beliau dianggap sebagai ‘wonderkid’ terbaharu bola sepak Thailand.

‘Trademark’ beliau tentunya tarian ular seperti ketika menjaringkan gol ke atas Malaysia dalam perlawanan kedua Kumpulan B, Sukan SEA 2023.

Polisi kelab & struktur Thai League mungkin membantu

Semuanya bergantung kepada bagaimana kelab-kelab tersebut beroperasi. Adakah mereka memberi ruang yang cukup buat pemain muda? Melihat pemain-pemain yang berada dalam skuad B-23 Thailand di Sukan SEA, rata-rata mendapat pendedahan yang baik di pentas tertinggi Thai League.

Walaupun tidak bermain sepenuh masa, sekurangnya-kurangnya pasukan memberi mereka peluang untuk merekodkan 50 peratus minit beraksi.

Seperti mana kelab Police Tero FC. Mereka pernah berkata yang salah satu polisi pasukan adalah memberi ruang yang besar kepada pemain-pemain muda untuk beraksi disebabkan kekangan kewangan yang dihadapi.

Bagi pemain-pemain muda, mereka akan beraksi dengan pasukan-pasukan di liga bawahan Thailand seperti Thai League 2 atau 3 pada awalnya.

Di sana, peluang mereka untuk bermain lebih tinggi, malah pemain-pemain lebih umur Thailand juga ada yang mencari minit permainan di sana.

Mereka akan bercampur dengan pemain-pemain berpengalaman Thailand selain pemain-pemain import mewujudkan persaingan kompetitif di sana.

Jika menampilkan prestasi yang baik, gergasi-gergasi di Thai League 1 sedang menanti untuk memancing mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Malah, peluang bermain masih kekal sama waima berpindah ke pentas tertinggi bola sepak Thailand. Ini memberikan pengalaman berguna.

Berbeza situasinya di Malaysia, Piala MFL adalah khas buat skuad B-23 dengan dikukuhkan oleh beberapa pemain senior dan pemain import.

Malah, jika kelab sudah ada pemain import, adakah penyerang B-23 akan mendapat minit permainan baik walaupun di pentas saingan umur mereka?

Menurut data daripada portal KeepUp.com, Thailand antara yang dikenal pasti sebagai liga yang mengetengahkan bakat-bakat muda. Mereka berada di tangga ke-9 Asia dengan 1.9 peratus daripada minit permainan diberikan kepada pemain berusia bawah 21 tahun. Tertinggi adalah Australia.

Mengapa Australia? Ini disebabkan polisi menarik yang diperkenalkan mereka iaitu – jika mereka menyenaraikan dua pemain berusia bawah 23 tahun, enam pemain simpanan dibenarkan berada di bangku simpanan. Jika tiga pemain B-23 disenaraikan, tujuh pemain simpanan dibenarkan.

Mereka percaya, jika pemain muda ada dalam senarai, peluang untuk mereka diturunkan juga ada. Ia memberi pilihan tambahan buat pasukan.

Di Malaysia, pemain-pemain muda majoritinya hanya bersaing bersama rakan sebaya, kurang mendapat pendedahan di peringkat tertinggi.

Ini dapat dilihat daripada tren setiap pasukan Liga Super pada musim ini yang kurang memberi peluang kepada bakat-bakat muda turun beraksi.

Tetapi terdapat kecenderungan yang baik ditonjolkan oleh pasukan-pasukan seperti Perak, Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk perkara ini. Pendedahan yang baik terhadap bakat muda ini akan membentuk mereka menjadi pemain-pemain yang lebih bagus dan menyerlah di masa depan.

Kita boleh lihat bagaimana kesan terhadap Arif Aiman Hanapi yang diberi ruang bermain di peringkat tertinggi Liga Malaysia. Malah, beliau juga merupakan tonggak utama JDT ketika ini walaupun baru berusia 21 tahun.

Berapa peratus minit permainan di peringkat tertinggi dimiliki oleh barisan serangan skuad Harimau Muda di Sukan SEA disebalik limpahan import di Liga Malaysia? Sila tinggalkan pandangan anda di ruangan komen nanti.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN