Bagaimana Pengurangan Perbelanjaan Menjamin Legasi JDT

Sedekad lepas di bawah visi kepimpinan DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim (TMJ), JDT menongkah arus sehingga meninggalkan kesan yang sukar dipadam dalam bola sepak Malaysia. 26 kejuaraan domestik dan antarabangsa berjaya ditambah dalam kabinet trofi. Ini termasuklah kejayaan menewaskan Terengganu FC 3-1 dalam final Piala Malaysia awal bulan ini, sekaligus menjadikan JDT pasukan pertama bergelar juara ‘Double Quadruple’ dalam rekod bola sepak negara.

Mundar laju ke hari ini, JDT sekali lagi menongkah arus. Harimau Selatan berada di simpang yang signifikan, diwarnai oleh keputusan besar oleh TMJ sendiri. Ketika pasukan-pasukan Liga Super lain sedang berkira-kira untuk menaikkan bajet musim 2024, JDT akan mengurangkan bajet. Pengurangan sehingga 30-40%. Keputusan ini didorong oleh keperluan untuk menstruktur semula kewangan kelab, memastikan kelangsungan jangka masa panjangnya. Pelaburan sistem besar-besaran sejak 6-7 musim lepas akan disusuli fasa seterusnya: pelaburan strategik.

Di mata peminat bola sepak biasa, fasa pelaburan strategik ini nampak bertentangan dengan namanya. Nampak counter-intuitive, kata orang putih. Kenapa panggil ‘pelaburan’ jika anda mengurangkan pelaburan? Di sinilah uniknya visi TMJ. Baginda sentiasa melihat bola sepak sebagai satu kerja strategik, seperti mengurus portfolio pelaburan yang pelbagai. Baginda tahu selepas tempoh pelaburan sistem yang signifikan (menaik taraf fasiliti kelab dan kualiti pasukan senior), ia perlu disusuli dengan pendekatan yang strategik. Dalam dunia kewangan, ia mirip mengurus portfolio aset yang pelbagai, di mana objektifnya adalah menyeimbangkan keuntungan dan kerugian dalam pelbagai komoditi.

Untuk lebih faham, mari kita lihat senario sama dalam dunia bola sepak. Bayangkan sebuah pasukan yang bergantung kepada kualiti pemain import untuk menang. Tiada salahnya strategi ini. Ia menjamin kejayaan jangka masa pendek, tetapi ia juga mempunyai risikonya tersendiri. Jika pemain import tersebut cedera, tiba-tiba tidak secemerlang biasa, atau tidak dapat diganti, kemandirian pasukan tersebut akan terancam. Perkara sama telah kita lihat di Negeri Sembilan (Christian Bekamenga), Kelantan (Mohammed Ghaddar), Pahang (Dickson Nwakaeme) dan banyak lagi.

Visi TMJ melangkaui kejayaan jangka masa pendek. Baginda cakna kebergantungan tinggi sesebuah pasukan terhadap satu aspek kelab, sama ada pemain atau bajet kelab, boleh menggugat kestabilan kelab.

Pelaburan sistem yang tidak disusuli pelaburan strategik umpama bom jangka. Anda mungkin akan mendapat nikmat kejayaan yang pantas. Tetapi dalam jangka masa panjang, kejayaan anda akan menjadi satu sumpahan. Kemenangan akan sekadar menjadi sejarah. Trofi akan sekadar menjadi peringatan betapa dangkalnya strategi jangka masa panjang kelab anda. Gaji pemain bintang akan menjadi hutang. Bonus kemenangan pemain akan menjadi beban kantung kelab. Sekali kelab anda terkena ‘sumpahan’ ini, ia akan mengambil bertahun-tahun jika tidak berdekad untuk pulih. Jika pulih pun, kelab anda masih perlu mengejar bayang-bayang pasukan lawan. Kemajuan kelab anda akan dimundar belakang bertahun-tahun jika tidak berdekad dari pasukan lain – semuanya gara-gara berbelanja tanpa kira untung rugi.

Penekanan TMJ ke arah pengurusan kewangan yang bertanggungjawab bermula musim 2024 berfungsi sebagai perisai sumpahan ini. Tajuk utama di media sukan pada minggu ini semuanya tertumpu kepada pengurangan bajet JDT. Tetapi barangkali ramai sudah lupa, JDT juga rancak mempelbagaikan sumber pendapatannya. Antaranya:

1. Memulakan satu projek besar baharu bersama syarikat antarabangsa dan tokoh-tokoh terkenal dalam industri bola sepak global (sumber).

2. Perkembangan komersil gimnasium JDT bersama Life Fitness kepada umum (sumber).

3. Sharjah FC telah menawarkan JDT untuk menggunakan fasiliti latihan mereka secara percuma (sumber) .

4. Kerjasama dengan IKEA Tebrau dan Toppen Shopping Centre (sumber).

5. Melancarkan token $JDT di platform Socios.com (sumber).

6. Kerjasama dengan Aston Martin Racing Asia (sumber).

7. Perjanjian dengan Spartan untuk membawa acara ‘Spartan Stadion’ ke Stadium Sultan Ibrahim (sumber).

8. Dalam proses akhir untuk melengkapkan kerjasama dengan dua jenama antarabangsa (sumber).

9. Kerjasama dengan HID Global (sumber).

10. Mengevolusikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai destinasi F&B melalui pembukaan restoran-restoran rangkaian antarabangsa.

Dengan mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan punca pendapatan, JDT berada di landasan terbaik untuk meneruskan legasi sedekad yang penuh kejayaan. Pendekatan berhemah ini, diinspirasi oleh kisah sumpahan yang berlaku di dalam dan luar Malaysia, menunjukkan komitmen TMJ untuk memastikan kejayaan JDT bukan sahaja boleh dinikmati oleh generasi sekarang – malah oleh generasi masa depan juga.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN