Quantcast

BERITA

Bagaimana Michu Merosot Dari Penyerang Berharga £30 Juta Kepada Pemain Kelab Amatur

Siapa tidak kenal dengan Michu?

Pemain Sepanyol ini pernah bermain dengan Swansea City dalam Premier League musim 2012/2013.

Beliau disenangi penyokong Swansea City (malah penyokong pasukan lain juga) kerana prestasi memukau beliau pada musim pertamanya di Premier League.

Ketika itu pengerusi Swansea City, Huw Jenkins pernah meletakkan harga £30 juta kepada mana-mana kelab besar yang mahu membeli Michu.

Dan siapa yang boleh lupa dengan ‘ear twist’ yang dilakukannya setiap kali meraikan jaringan gol?

Michu ketika era gemilangnya bersama Swansea City terkenal dengan keraian gol seperti ini.

Bagaimanapun kisah indah Michu itu tidak bertahan lama. Sejak kecederaan buku lalinya, karier bola sepaknya menjadi tak menentu.

Pada musim awal musim 2013/2014, beliau dipinjamkan ke Napoli. Tetapi Napoli masih tak dapat menghalang kemerosotan kariernya.

Akhirnya kontrak Michu ditamatkan oleh Swansea City pada November 2015 walaupun beliau sebenarnya masih mempunyai baki kontrak sehingga 2017 dengan kelab Wales itu.

Kontrak tersebut ditandatangani Michu sebulan selepas membantu Swansea City merangkul English League Cup 2013 dengan menewaskan Bradford City 5-0 ketika perlawanan akhir.

Kini, Michu hanya bermain untuk Langreo; sebuah kelab bola sepak amatur di liga bola sepak divisyen 4 Sepanyol.

Bercakap ketika menjadi tetamu untuk temu ramah majalah Swans In Focus, Michu dalam keadaan penuh emosi berkata :

“Tempat terbaik ketika ini adalah di ‘rumah’ (kelab Swansea City) yang dikelilingi oleh keluarga dan mereka yang sayangkan saya.”

“Jadi, apa salahnya jika untuk cuba berunding dengan Swansea dan mungkin saya boleh bermain untuk mereka lagi.”

“Semua orang di Swansea sangat baik kepada saya.”

Kecederaan buku lali Michu yang berulang-ulang ini pernah membuatkan dirinya hampir bersara daripada bola sepak.

Tetapi beliau masih berharap dapat menjaringkan 1 lagi gol untuk Swansea City.

“Saya tahu saya ada kecederaan. Tapi saya amat gembira jika dapat bermain untuk Swansea City sekali lagi dan menjaringkan satu lagi gol untuk mereka.”

Sebagai rekod pada musim 2012/2013, Michu telah menjaringkan 18 gol dalam liga, 1 gol di FA Cup, dan 3 gol dalam English League Cup. Salah satu gol English League Cup beliau dijaringkan ketika perlawanan akhir.

Namun pada musim 2013/2014, Michu gagal mengulangi prestasi musim sulungnya apabila hanya menjaringkan 2 gol liga dan 4 gol dalam Europa League sebelum ke Napoli.

Baca juga: Bagaimana Untuk Mengelak Kesilapan Bodoh Dalam Strategi Perpindahan Pemain