Bagaimana Messi Dan Iniesta Hampir Berpindah Ke Rangers

Selepas membaca buku Barca: The Making of the Greatest Team in the World tulisan Graham Hunter, serta-merta kami teringat kepada dokumentari An Alternative Reality: The Football Manager Documentary.

Ianya mengenai cerita bagaimana pada 2004, bekas pengurus Rangers FC, Alex McLeish, hampir-hampir membawa Lionel Messi dan Andres Iniesta ke Ibrox.

Nasihat anak diabaikan

Dalam dokumentari An Alternative Reality: The Football Manager Documentary, anak Alex McLeish, Jon McLeish mendedahkan beliau merupakan peminat tegar permainan Championship Manager sejak berumur 11-12 tahun.

jon-mcleish

Ketika itu, bapanya, Alex McLeish, baru saja mengambil alih kerusi panas pengurus Rangers pada Disember 2000.

Di Championship Manager, Jon McLeish gemar bermain sebagai pengurus Barcelona. Jadi dia kenal pemain-pemain dalam skuad Barcelona B dan C.

Tetapi ada 1 pemain dalam skuad Barcelona B yang menarik perhatiannya. Lionel Messi.

Menurut Jon McLeish:

“Keluarga kami baru saja berpindah ke Glasgow sekitar musim 2001/2002.”

“Disebabkan saya suka menjadi pengurus Barcelona (dalam Championship Manager), saya kenal semua pemain skuad B dan C mereka.”

“Mereka ada ramai pemain bagus yang boleh dibeli atau dipinjam oleh Rangers.”

“Kemudian, ada seorang budak di skuad B yang menarik perhatian saya. Saya masukkan dia dalam pasukan utama. Dan dia dah menjaringkan beberapa gol.”

“Umurnya baru 13-14 tahun. Tapi statistiknya setanding dengan pemain skuad utama saya.”

“Benda pertama yang saya buat adalah beritahu ayah saya tentang pemain ini.”

Perkara terakhir yang anda mahu lakukan sekiranya anda adalah pengurus kelab bola sepak, adalah mendengar nasihat transfer daripada anak anda yang berumur 14 tahun.

Itulah yang dilakukan oleh Alex McLeish pada mulanya.

“Dia (Jon) beritahu saya pemain ini akan jadi pemain terbaik di dunia. Saya tak mempedulikan pun dia.”

Tapi beliau mengaku menyesal tak mendengar cadangan anaknya pada ketika itu.

“Tapi bila Lionel Messi betul-betul menjadi pemain terbaik di dunia sekarang, saya patut jadikan anak saya ketua scout.”

Rangers serius untuk meminjam Messi

“2 atau 3 tahun selepas itu, barulah Rangers menghubungi Barcelona untuk meminjam Lionel Messi,” kata Jon McLeish dalam dokumentari tersebut.

Kemudian dalam buku Barca: The Making of the Greatest Team in the World, Alex McLeish menceritakan betapa hampirnya beliau membawa Iniesta ke Ibrox.

“Jan Wouters adalah pembantu saya di Ibrox.”

“Ketika itu kami (Rangers) tidak mempunyai bajet besar. Pada musim lepas, kami ada ambil pemain terkenal yang percuma. Tetapi gaji mereka tinggi.”

“Jadi kami mengharapkan penyokong kami memahami bila kami terpaksa membawa pemain muda yang tak berpengalaman, tetapi berkualiti.”

“Reputasi Messi sudah semakin meningkat ketika itu. Dia sangat menyerlah dalam Piala Dunia Bawah-17.”

lionel-messi-20128

“Jadi saya suruh Wouters hubungi Frank Rijkaard jika dia boleh pinjamkan beberapa pemain muda lain yang berkualiti.”

“Wouters memberitahu dia lebih rapat dengan Henk ten Cate, pembantu Rijkaard.”

Messi tak boleh dipinjamkan tetapi Iniesta boleh

Alex McLeish menyambung lagi:

“Ten Cate dan Wouters berhubung untuk membincangkan perjanjian untuk meminjam Messi.”

“Tetapi Ten Cate tak mahu Messi bermain di Scotland. Mereka beranggap adalah lebih baik jika Messi kekal di Barcelona dan meneruskan perkembangannya.”

“Tetapi saya teringat anak saya ada mencadangkan saya satu lagi nama pemain dari skuad Barcelona B yang dia hafal daripada game yang dia main.”

“Namanya Andres Iniesta.”

Keputusan Rijkaard menghantar Iniesta ke Rangers ditentang

Alex McLeish masih ingat lagi bagaimana Henk Ten Cate memuji Iniesta walaupun badannya kecil.

“Dia kecil. Dan dia bermain di tengah. Tapi tiada siapa pun yang boleh datang dekat kepadanya.”

rijkaard-iniesta

Tetapi bekas naib presiden Barcelona pada ketika itu, Frank Soriano, mendedahkan Rijkaard dan Ten Cate masih ragu-ragu dengan kebolehan Iniesta bermain di tengah.

Malah mereka sudah sebulat suara untuk menghantar Iniesta ke Rangers selepas menerima permohonan daripada Alex McLeish.

“Ketika itu Rangers sangat berminat untuk meminjam Iniesta.”

“Saya ingat Henk berkata, ‘Budak ini kecil. Dia tiada kekuatan. Kita cuba dulu hantar dia ke mana-mana untuk beberapa tahun dan kita tengok macam mana perkembangannya’.”

“Saya juga masih ingat [Txiki] Begiristain dan [Joan] Laporta, anak jati Catalonia, mempertahankan Iniesta sekuat-kuatnya.

“Mereka berkata, ‘Tidak. Budak ini ada bakat. Dia kena kekal’. Ada betul juga cakap mereka (Begiristain dan Laporta).”

“Ten Cate suka pemain tengah macam Mark van Bommel.”

“Lihatlah ketika final Champions League 2006, di mana van Bommel bermula sebagai kesebelasan utama. Tetapi permainan berubah bila Iniesta masuk menggantikannya.”

Rijkaard mengubah keputusan saat terakhir

Berbalik kepada cerita Rangers yang mahu meminjam Iniesta, Alex Mcleish berkata perjanjian mereka gagal selepas Iniesta menjaringkan 1 gol dalam perlawanan pra-musim 2003/2004.

“Pada mulanya Ten Cate kata kami boleh meminjam Iniesta.”

“2 hari selepas menghubungi Ten Cate, saya dapat panggilan daripadanya pada pagi Isnin.”

“Ten Cate mengatakan Rijkaard mahukan Iniesta dalam skuad utama selepas menjaringkan 1 gol dalam perlawanan pra-musim.”

“Agak sayang bila saya tak dapat bawa Messi dan Iniesta ke Ibrox,” kata Alex McLeish lagi.

Baca juga: MENGAPA BARCELONA MASIH BOLEH MEMBELI PEMAIN WALAUPUN DIKENAKAN SEKATAN?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN