Ini Kevin de Bruyne.
Baru-baru ini, pemain Belgium ini membantu Manchester City menjuarai trofi Premier League. Dengan bergelar juara liga pada musim 2023/2024, Manchester City muncul satu-satunya pasukan yang bergelar juara sebanyak empat kali berturut-turut dalam rekod Premier League.
Pada April 2021, KdB meminta kenaikan gaji 30% kepada pengurusan City. Sebagai balasan, beliau menjanjikan pengurusan kelab dua benda:
1. Trofi sulung UEFA Champions League
2. Rekod rekod baharu juara Premier League
Janji pertama telah tertunai pada musim lepas. Janji kedua pula telah pun ditunaikan pada minggu lepas.
Apa yang menariknya, KdB meminta kenaikan gaji ini tanpa menggunakan ejen. Dalam bola sepak Eropah, tak pernah lagi ada pemain minta kenaikan gaji tanpa bantuan ejen.
Macam mana KdB buat?
Ini cara Kevin de Bruyne mendapat kontrak lima tahun bernilai RM470 juta tanpa menggunakan ejen.
Media: leveraj tipikal ejen
Untuk menunjukkan betapa luar biasanya cara KdB meminta kenaikan gaji ini, ini cara tipikal yang hampir semua pemain gunakan untuk meminta kenaikan gaji:
1. Pemain beritahu permintaan kenaikan gaji kepada ejen
2. Ejen sampaikan permintaan pemain kepada pengurusan kelab
3. Kelab akan berikan ejen satu tempoh masa untuk jawab permintaan pemain
4. Dalam pada masa yang sama, ejen akan dedahkan permintaan pemain kepada media untuk mendapatkan leveraj.
5. Jika kelab bersetuju, leveraj itu tidak akan digunakan.
6. Jika kelab lambat memberi jawapan atau tak bersetuju, leveraj akan digunakan untuk mendapatkan minat kelab lain.
Dalam erti kata lain, ejen biasanya akan menggunakan media sebagai leveraj. Ini cara media seperti Fabrizio Romano buat duit. Tapi kita akan cerita lanjut dalam artikel lain nanti.
Jika anda berada di tempat KdB, bagaimana anda nak minta kenaikan gaji tanpa ejen?
Dan kenapa KdB tak menggunakan ejen dalam urusan rundingan kontrak bersama City pada 2021? Menurut laporan The Athletic, KdB sendiri mengetuai rundingan kontrak baharunya sambil ditemani oleh ayahnya, peguamnya dan agensi pengurusan atlet Roc Nation yang membantu dari jauh.
Dua persoalan inilah yang kita akan jawab selepas ini.
Data: leveraj baharu pemain
Ok, kita berbalik kepada soalan pertama: bagaimana anda nak minta kenaikan gaji daripada kelab tanpa menggunakan ejen?
Jawapannya adalah dengan memandang ke Amerika Syarikat. Secara spesifiknya: NFL (liga bola sepak Amerika) dan NBA (liga bola keranjang Amerika).
Di Eropah, apa yang dilakukan KdB mungkin satu amalan yang asing. Tetapi di NFL dan NBA, semakin ramai atlet tidak memerlukan khidmat ejen untuk berunding kontrak dengan majikan.
Kenapa?
Sebab atlet sendiri ada data. Data berhelai-helai muka. Data yang banyak.
Di NFL dan NBA, apa yang atlet perlukan ketika rundingan kontrak adalah tiga orang:
1. Ahli keluarga sebagai sokongan moral
2. Peguam untuk memastikan perincian kontrak anak guamannya sah
3. Wakil agensi pengurusan atlet (jika perlu) untuk berunding hak imej dan ekonomi kliennya
Apabila atlet boleh menggunakan data untuk menunjukkan nilainya kepada pasukan, khidmat ejen sudah tidak relevan. Tanpa menggunakan ejen, atlet dan kelab berada di situasi menang-menang kerana dua sebab:
1. Pemain tak perlu menyerahkan 5-10% nilai kontraknya untuk membayar ejen
2. Kelab tak perlu membayar ejen untuk mendapatkan tandatangan pemain.
Perkara sama berlaku dalam industri hartanah. Di Amerika Syarikat, semakin ramai pemilik rumah tidak menggunakan khidmat ejen hartanah untuk menjual rumah mereka.
Sebaliknya mereka menggunakan servis inspektor rumah, firma kejuruteraan dan peguam untuk memeriksa rumah dan memastikan kontrak penjualan dan pembelian rumah sah.
Malah di Amerika Syarikat juga, terdapat sebuah syarikat teknologi bernama Zillow yang membolehkan anda boleh menjual rumah terus kepada orang lain dalam masa enam bulan – tanpa menggunakan ejen.
Caranya begini:
1. Anda beritahu Zillow anda mahu menjual rumah anda
2. Zillow akan menghantar stafnya untuk memeriksa rumah dan mendapatkan nilai semasa rumah anda
3. Zillow akan memberi anda nilai tawaran.
4. Jika anda bersetuju, Zillow akan membeli rumah anda secara tunai.
5. Zillow akan membaiki kerosakan rumah anda untuk menaikkan nilai rumah.
6. Zillow akan menjual rumah anda kepada orang lain dengan harga lebih tinggi.
Dalam kes KdB, beliau mendapatkan khidmat sebuah agensi pihak ketiga bernama Analytics FC untuk menterjemah pengaruhnya dalam kejayaan terkini Manchester City kepada nombor dan mengunjur nilai masa depannya di kelab itu.
Dalam laporan data yang disediakan Analytics FC tersebut, ia mengandungi dapatan-dapatan berikut:
1. Sumbangan KdB dalam metrik penciptaan peluang Premier League untuk musim 2019/2020 dan 2020/2021 (KdB teratas).
2. Perbandingan output KdB dalam metrik sumbangan serangan di Eropah dalam masa 12 bulan (KdB teratas, Jadon Sancho kedua)
3. Nisbah produktiviti serangan per gaji KdB tidak setinggi pemain-pemain lain di lima liga utama Eropah. Terdapat pemain lain yang memberi produktiviti serangan lebih rendah daripada KdB, tetapi mendapat nisbah gaji yang lebih tinggi. KdB mahu City menaikkan gaji dan bonusnya supaya nisbah ini sama tinggi dengan pemain-pemain lain.
4. Kajian impak kepada peluang Manchester City memenangi UEFA Champions League jika KdB meninggalkan kelab.
5. Kajian impak kepada peluang pasukan lain memenangi UEFA Champions League jika KdB menyertai kelab itu.
6. KdB meminta City membayar gajinya mengikut matawang Euro selepas kejatuhan mata wang British pound akibat Brexit. Dalam kontrak lama, KdB dibayar gaji kira-kira £200,000 seminggu (termasuk bonus). Dalam laporan ini, KdB meminta gajinya dinaikkan kepada €350,000 seminggu, bukannya £300,000 seminggu (termasuk bonus).
Objektif laporan ini dibuat berjaya dicapai. Pada April 2021, KdB menandatangani kontrak lanjutan baharu sehingga hujung musim 2024/2025 dengan gaji dan bonus pencapaian mencecah €350,000 seminggu.
Perlu diingat, ketika KdB meminta kontrak baharu ini, beliau masih ada baki 2 tahun dalam kontrak lamanya. City boleh sahaja menangguhkan rundingan kontrak ini selama 12-18 bulan lagi. Tetapi dek kerana data-data yang dipersembahkan oleh KdB ini, City tidak boleh mengambil risiko.
Impak KdB kepada serangan City tiada galang gantinya.
Mundar laju ke Mei 2024, keputusan Manchester City memperbaharui kontrak KdB ternyata tepat sekali. Semua pihak menang. KdB dapat gaji setimpal. City dapat trofi.
Revolusi data dalam dunia bola sepak
Penggunaan data untuk membuat keputusan dalam bola sepak sememangnya sudah tidak asing lagi dalam bola sepak.
Staf kejurulatihan sudah menggunakan data untuk menganalisis kekuatan dan kelemahan pasukan lawan sejak awal 2000-an. Kelab-kelab sudah menggunakan data-data dari Instats dan Wyscout untuk ‘me-Moneyball-kan’ pembelian pemain mereka sejak Rasmus Ankersen mempopularkan pendekatan ini sekitar lewat 2015.
Tapi ini dalam kes KdB, ini kali pertama pemain sendiri menggunakan data untuk memberi leveraj dalam rundingan kontrak. Sebelum KdB, Memphis Depay dilaporkan pernah menggunakan pendekatan sama untuk menganalisis kelab mana paling sesuai untuk disertainya selepas gagal menyerlah di Manchester United.
Depay dikatakan bekerjasama dengan firma data SciSports pada tahun 2016 untuk mengenalpasti lima kelab yang bermain taktikal yang boleh memberikan ‘kebebasan kreativiti menyerang’ kepada pemain-pemain di posisinya.
Model SciSports mengenalpasti Lyon sebagai salah satu kelab tersebut. Keberkesanan data terbukti sekali lagi kerana Depay berjaya mencatat purata 0.45 gol dalam setiap penampilannya di Lyon.
Revolusi data ini jauh berbeza dengan amalan dahulu dalam bola sepak.
Dalam autobiografinya, pemain Tony Cascarino memberitahu dia sentiasa menggunting dan mewarnakan rambutnya setiap kali bertemu dengan pengerusi kelab untuk berunding kontrak. “Datang jumpa pengerusi kelab dengan rambut beruban memang bermakna anda mencari masalah. Warnakan rambut anda, bagi nampak muda sikit – pasti anda akan dapat kontrak baharu,” tulisnya.