Ketika Jerman bertemu Argentina dalam pusingan suku akhir Piala Dunia FIFA 2006, perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti. Pada ketika itu penjaga gol, Jens Lehmann telah membawa sekeping kertas yang renyuk bersama beliau.
Ia adalah lakaran dan tips yang disediakan oleh jurulatih penjaga gol tentang bagaimana untuk menghalang sepakan penalti para pemain Argentina. Data itu sangat terhad dan mudah. Namun begitu ia tetap membantu Jerman menang penentuan 4-2.
Sedekad selepas itu, Manuel Neuer pula menggalas tugasan untuk menghentikan sepakan penalti para pemain Itali dalam penentuan sepakan penalti dalam peringkat suku akhir Piala Eropah 2016.
Neuer kali ini dibantu oleh teknologi yang lebih maju dengan data dan statistik yang lebih kompleks. Jerman menang 6-5 dan mara ke separuh akhir 2016 UEFA Kejohanan Eropah. Teknologi itu dipanggil Penalty Insights!
Dengan kualiti pemain yang luar biasa, Jerman masih merasakan mereka masih perlu berusaha memperbaiki mutu bola sepak mereka. Salah satu caranya adalah dengan teknologi moden dalam bola sepak.
SAP telah menghasilkan 2 aplikasi utama untuk membantu bola sepak Jerman iaitu Penalty Insights dan juga Challenger Insights.
Aplikasi Penalty Insights
Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) telah menjalin kerjasama dengan syarikat perisian terkemuka Jerman, SAP untuk membangunkan teknologi baru untuk membantu dalam analisis dengan pengkalan data yang luas.
Ia membantu penjaga gol dan juga jurulatih untuk mengenal pasti corak dan titik sasaran pemain lawan yang akan mengambil sepakan penalti.
Antara data-data yang boleh diperoleh daripada Penalty Insights adalah:
- Jumlah & peratusan jaringan melalui sepakan penalti
- Jumlah & peratusan penalti yang gagal disempurnakan atau diselamatkan
- Arah sepakan penalti ditujukan
- Berapa jumlah penalti yang pernah diambil oleh setiap pemain
- Karakter pergerakan pemain yang mengambil penalti menerusi paparan video
Aplikasi Challenger Insights
Sebelum Penalty Insights, SAP sudah menghasilkan satu aplikasi dipanggil Challenger Insights yang telah digunakan pada Piala Dunia 2014 lagi.
Sebelum Piala Eropah 2016, SAP & DFB telah bekerjasama dengan Universiti Sukan Sporthochschule, Cologne. Kerjasama ini membolehkan mereka mengumpul dan menganalisis data pada setiap pemain lawan pada kejohanan Piala Eropah 2016 yang lalu termasuk formasi.
Jurulatih dan pemain-pemain Jerman turut mendapat maklumat tentang pasukan lawan mereka secara terus dan mutakhir. Contohnya, mereka boleh mendapat maklumat tentang kesebelasan utama yang diturunkan.
Ketika ditanya, apakah yang akan berlaku sekiranya, pihak lawan menukar kesebelasan utama mereka pada saat-saat akhir selepas mengetahui potensi pemain mereka akan dikawal.
Wagner menjelaskan, aplikasi tersebut ada fungsi drag-and-drop yang mudah dan cepat.
Bagaimanakah Ia Boleh Diakses?
Kedua-dua aplikasi ini boleh diakses oleh pemain dan jurulatih di dalam bilik persalinan dan di mana-mana sahaja menggunakan iPad Pros yang dikuasakan oleh SAP HANA Cloud Platform.
Kelebihan Challenger Insights dan Penalty Insights
Pengurus Besar Global SAP-Unit Sukan & Hiburan, Stefan Wagner berkata:
“Mereka boleh melihat kesebelasan utama pasukan lawan secara langsung. Ia akan membantu pemain untuk lebih fokus dalam persiapan sebelum perlawanan.”
“Sebagai contoh, Mario Gotze mahu melihat data pemain lawan yang akan dihadapi beliau. Beliau boleh mendapatkan maklumat daripada Challenger Insights. Beliau boleh melihat:
- Data peribadi pemain lawan
- kekuatan dan kelemahan pemain lawan
- Paparan klip-klip video aksi pemain lawan di atas padang.
Challenger Insights juga mengandungi maklumat reaksi pasukan lawan apabila berada dalam tekanan seperti ketinggalan dalam perlawanan.
Jadi, pemain akan dapat tahu karakter pasukan lawan mereka apabila tertekan, sama ada mereka akan cenderung menghantar bola ke kiri, kanan, ataupun bermain agresif dan sebagainya.
Untuk Penalty Insights, DFB mahukan SAP memastikan ia lebih mudah untuk diakses pemain berbanding dengan Challenger Insights. Ia akan membantu mereka menganalisis data sendiri di mana sahaja.
Sebagai contoh, Neuer boleh mencari data potensi lawan yang beliau jangkakan akan mengambil sepakan penalti dalam perlawanan akan datang.
Teknologi Yang Kian Mendapat Sambutan
Wagner gembira aplikasi seperti ini sangat diterima baik oleh ramai pihak terutamanya para pemain. Mereka sangat terbuka dan gemarkan maklumat data seperti ini. Mereka sangat terbuka untuk menerima teknologi seperti ini.
DFB telah bekerja dengan SAP selama lebih daripada satu dekad. Namun kebanyakan urusan merekas sebelum ini lebih kepada operasi backend.
Kerjasama pertama DFB-SAP dalam analisis data besar ini adalah Piala Dunia FIFA 2014. Hasilnya sangat membanggakan apabila pasukan Jerman menjadi juara dunia pada 2014.
Selepas itu, SAP menerima banyak permintaan daripada pasukan bola sepak di seluruh dunia yang mahu menggunakan teknologi dan aplikasi mereka.
SAP turut membangunkan aplikasi Match Insights untuk DFB. Aplikasi ini membolehkan jurulatih memilih klip video perlawanan untuk melihat corak permainan seseorang pemain dalam keadaan tertentu.
Mereka juga boleh membuat analisis melalui data perlawanan. Ia disertakan dengan aplikasi mudah alih yang dipanggil SAP Team One App, yang membolehkan pemain dan jurulatih untuk berkongsi video, imej, taktik dan berhubung secara internal.
Kerjasama ini antara yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan Jerman selepas 2014. Wagner berkata:
“Kami dan pasukan kebangsaan Jerman ada falsafah; mereka ada ketua jurulatih, mereka ada staf kejurulatihan, mereka membuat keputusan.- Dan kami hanya menggariskan keputusan mereka berdasarkan fakta.”
Sumber: CNBC
Baca juga: Penalti: Perjudi Nasib Atau Hasil Kajian Yang Teliti