Bagaimana Costa Rica Bangkit Daripada ‘Remuk-Redam’ Dibelasah Sepanyol?

Costa Rica bangkit tewaskan Jepun Piala Dunia 2022

Bagaimana Costa Rica boleh bangkit daripada kekalahan besar 0-7 kepada Sepanyol untuk menang ke atas Jepun dalam aksi kedua Piala Dunia 2022?

Perkongsian ini dibuat oleh dua pemain, Celso Borges dan Francisco Calvo.

Mereka bangkit penuh magis daripada kekalahan memalukan kepada kemenangan yang kembali menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan 16 terbaik. Kemenangan tipis 1-0 ke atas Jepun membolehkan mereka berkongsi mata dengan Samurai Biru dan hanya satu mata di belakang Sepanyol. Jerman di kedudukan tercorot dengan mengumpul satu mata.

Selepas kekalahan yang menghempas mereka ke lantai, mereka percaya ada peluang untuk bangkit. Dan ia adalah hasil kerja keras pakar psikologi, Felipe Camacho dibantu oleh jurulatih, Luis Fernando Suarez dan juga para pemain yang dilihat tampil dengan karekter bertenaga dan berdisiplin.

Tiada masalah dalam permainan mereka malah Jepun bergelut memberi yang terbaik sepanjang 90 minit permainan di Stadium Ahmad bin Ali.

Apa yang telah berlaku kepada Costa Rica sebenarnya? Bagaimana moral mereka boleh pulih selepas hanya 90 jam dibelasah teruk oleh Sepanyol?

Apa yang dilakukan oleh Suarez adalah mengatasi Jepun dalam aspek bilangan pemain (numerical superiority) di segenap sudut dalam padang.

Hanya terdapat beberapa situasi yang Samurai Biru dapat manfaatkan daripada serangan yang dibina, namun tetap gagal untuk menghadirkan sesuatu yang positif. Malah kemasukkan Junya Ito di minit ke-66 untuk mengubah sistem permainan masih gagal untuk membangkitkan mereka.

Akhirnya, satu-satunya peluang Costa Rica diterjemahkan dengan gol oleh Keysher Fuller di minit ke-81 untuk tiga mata berharga buat Los Ticos.

Kisah sebegini telah berlaku di pusingan kelayakan ke Qatar 2022 sebelum ini. Kebangkitan penuh magis yang dilakukan mereka ini sudah biasa dilalui oleh para penyokong. Ia bukan satu pengalaman baharu buat mereka.

Mereka bangkit daripada kekecewaan awal untuk mengumpul 19 daripada 21 mata terakhir untuk menempah tiket ke pusingan play-off antara benua menentang New Zealand untuk seterusnya mara ke Piala Dunia kali ini.

Sejujurnya, dua hari pertama itu kami berkabung. Ia adalah kekalahan yang sangat menyakitkan. Tetapi kemudian kami melupakannya, kami ‘buka buku baru’,” ungkap antara pemain veteran dalam skuad ini, Francisco Calvo.

Perkara paling utama yang kami lakukan ialah menjauhkan diri daripada liputan media, daripada semua yang boleh menyakiti kami sebagai satu pasukan,” tegas seorang lagi tonggak mereka, Celso Borges kepada FIFA+.

Tambahnya lagi, peluang sentiasa ada. Siapa pernah menduga mereka melepasi peringkat kumpulan di edisi lapan tahun lalu dalam kumpulan maut yang mengandungi England, Itali dan Uruguay. Mereka melepasinya.

“Kami mempunyai pakar psikologi yang menjaga sisi mental kami. Dia mengkaji segala-galanya. Dia sentiasa bekerja bersama kami, bukan hanya di Piala Dunia ini, tetapi sudah agak lama dia bersama kami.”

Francisco Calvo

Insan yang dimaksudkan adalah Felipe Camacho yang bertanggungjawab terhadap penjagaan mental mereka sepanjang dilantik sejak Jun 2021.

Insan ini jugalah yang dikritik hebat apabila mensasarkan mereka mampu menjadi juara dunia. “Jika terlalu fikirkan lawan [yang kuat], anda akan hilang fokus dan mereka akan ‘pijak’ kamu. Apa yang ingin saya sampaikan adalah – tanpa mengetepikan potensi dan kemampuan mereka, mereka mampu merangkul Piala Dunia,” kenyataannya yang mengundang kritikan.

Camacho tiba bersama pengendali, Suarez dan mereka bersama-sama telah memberikan warna baharu kepada skuad kebangsaan Costa Rica.

Kedua-duanya mula bekerjasama sejak 2015 – bersama kelab di Mexico dan Columbia. Costa Rica adalah tugasan kebangsaannya yang pertama.

Bak kata Borges, “Kami melakukan ini sejak Suarez tiba ke dalam pasukan, bukan hanya dilakukan selepas sesuatu yang buruk menimpa pasukan.

Dan ini diakui oleh Camacho sendiri kepada sebuah portal berbahasa Sepanyol, El Pais. Proses yang dilakukannya mengambil masa, perlukan kesabaran dan sesi pengulangan bagi menjadikannya satu rutin buat pemain. “Ini bukanlah magik. Ia ujikaji,ungkap Camacho tentangnya.

Uniknya kerja Camacho ini, beliau bukan sahaja bekerja di bilik. Barangkali kita membayangkan pemain akan duduk bersamanya di bilik kaunseling.

Ya, ada masanya mereka akan duduk di bilik tetapi dalam keadaan ‘tidur’ atau bermeditasi mengikut saranan yang ditunjuk ajar oleh Camacho.

Costa Rica pemain meditasi
Keadaan pemain Costa Rica bermeditasi di bilik hotel. FOTO: FELIPE CAMACHO via El Pais

Beliau akan turut serta bersama pemain dan jurulatih di padang latihan. Dalam setiap sesi beliau akan turun bersama pemain dan berada di padang – tidak seperti norma biasa seorang ahli psikologi pasukan bola sepak.

Menurut perkongsiannya, di padang, beliau akan memberi fokus kepada bahagian kognitif – kelajuan tindak balas, membuat keputusan, tumpuan, ingatan, pengurusan kebimbangan dan ia sentiasa dilakukan bersama bola.

Selepas sesi di padang, mereka akan melalui sesi taklimat selama sejam atau 45 minit di sebelah petang dan ia dibahagikan kepada tiga bahagian.

“Pertama, saya letak satu tema, sebagai contoh, hubungan tidur dan prestasi sukan. Kemudian saya tunjukkan bukti saintifik dan kajian mengenai perkara itu. Dan akhirnya, bukti berdasarkan kisah ringkas atlet yang pernah melakukannya. Ini yang memikat mereka.”

Felipe Camacho

Dan di akhir sesi, beliau akan mencadangkan untuk mereka mendapatkan buku-buku berkaitan temanya pada sesi tersebut. Namun, beliau tidaklah sampai mewajibkan untuk mereka mendapatkan bahan bacaan tersebut.

Tetapi jangan terkejut, menurutnya hampir 10 hingga 12 pemain mereka kini suka membaca Neurosains! Dan yang paling komited adalah Keylor Navas.

Disamping itu, beliau tetap melakukan norma rutin sebagai seorang ahli psikologi, mendengar permasalahan para pemain sepanjang sesi tersebut.

Beliau turut membawa masuk teknologi ketika pemain bermeditasi atau ‘tidur’. Camacho menggunakan peranti yang popular dalam Neurosains.

“Anda perlu mendidik mereka. Saya tunjukkan kepada mereka penemuan saintifik terkini mengenai meditasi, bagaimana ia mengubah otak, kurangkan tekanan dan tingkatkan manfaat tidur.”

Dan beliau turut meletakkan perisian untuk mengukur tempoh tidur, berapa kali pergerakan atau bangun pemain tersebut dalam tempoh meditasi.

Peranti dan perisian itu banyak membantunya mengenali kemampuan setiap pemain yang berada di kem Costa Rica secara lebih spesifik.

Saya mengajar mereka bagaimana otak berfungsi,” tegasnya lanjut.

Berdepan Jerman selepas ini, tentunya mereka bergantung harap sekali lagi kepada ‘sentuhan midas’ Camacho untuk ‘reset’ semula fikiran mereka.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN