Bagaimana Brighton Gunakan Sistem Perunding Perjudian Untuk Rekrut Pemain Berbaloi & Jana Pendapatan

Tony Bloom Brighton data sistem perjudian rekrut pemain

Brighton & Hove Albion FC dikatakan menggunakan sistem khas perjudian untuk merekrut pemain dan tampaknya ia semakin membuahkan hasil.

Malah, mereka juga mampu menjana pendapatan lumayan daripadanya.

Sejak kembali ke Premier League pada musim 2017/18, mereka dilihat semakin stabil dan kini menduduki tangga ke-8 dan berpotensi mendaki sehingga ke tangga ke-5 apabila masih berbaki tiga perlawanan di tangan.

Menjadi misteri bagaimana kelab kecil seperti Brighton mampu memberi saingan kepada pasukan-pasukan besar Premier League lain waima memiliki pemain-pemain yang biasa-biasa dan bernilai sangat rendah.

Walaupun ia dikaitkan dengan sistem syarikat penyedia khidmat nasihat tentang perjudian, namun di dalamnya terdapat ratusan penganalisis data.

Starlizard yang banyak bantu Brighton

Tidak dapat dipastikan secara jelas bagaimana sistem tersebut membantu Brighton. Ini kerana, pekerja yang bekerja di sana wajib ‘menutup mulut’.

Mereka menandatangani dokumen kerahsian ketika menyertai syarikat tersebut – Starlizard, yang dimiliki oleh pemilik Brighton, Tony Bloom.

Pekerja yang merupakan penganalisis data itu perlu bekerja dalam tempoh percubaan untuk beberapa tempoh masa sebelum direkrut oleh mereka.

Di saat majoriti pasukan lain di dunia termasuklah di Premier League bergantung kepada data-data yang dibeli daripada Opta, Prozone dan sebagainya, Brighton memiliki syarikat data sendiri iaitu Starlizard.

Dikatakan sistem ini membantu Bloom mengenalpasti pemain yang terbaik, menepati keperluan pasukan dan mampu untuk didapati oleh kelab.

Algoritma yang ditetapkan ke dalam sistem tersebut akan memberikan mereka tanda hijau jika pemain itu sesuai untuk kelab, kuning jika hampir memenuhi kriteria dan merah untuk pemantauan lebih lanjut kariernya.

Ia dibina khas oleh pakar-pakar matematik, tetapi mereka hanya tahu kerja mereka sahaja. Mereka tidak tahu apa yang rakan sekerja lain lakukan.

Ini sangat membantu The Seagulls daripada membuat kesilapan dalam pembelian pemain baharu untuk pasukan pada satu-satu musim tersebut.

Perkara-perkara ini didedahkan oleh bekas pekerja Starlizard, namun tidak secara spesifik bagaimana sistem tersebut beroperasi buat Brighton.

Yang pasti, mereka memiliki model statistik yang kompleks bagi menjana ramalan bola sepak yang lebih tepat berbanding pembuat taruhan. Ramalan cuaca dan moral pasukan juga diambil kira ketika menghasilkannya.

Sistem dan data pemantauan yang amat luas

Atas bantuan sistem tersebut, mereka dapat mencari pemain-pemain dari kawasan atau negara yang tidak didatangi pemantau bakat pasukan lain.

Mereka mengumpul statistik daripada banyak liga di Eropah terutamanya.

Disamping untuk memberi khidmat nasihat perjudian dengan statistik yang dikeluarkan, data sistem itu membantu Brighton memburu pemain.

Disebabkan itu, rata-rata pemain yang mereka bawa masuk bernilai rendah dan datang dari negara yang tidak menjadi sasaran pemerhati bakat. Selain itu, pemain yang dibeli mereka adalah yang mampu milik dan mampu beli.

Begitupun, kelab-kelab besar lain sebenarnya mampu sahaja menghantar pemerhati bakat mereka. Tetapi, mereka tidak mampu tawarkan apa yang Brighton tawarkan kepada pemain-pemain tersebut – masa permainan.

Contohnya, Moises Caicedo yang dibawa masuk daripada kelab di Ecuador, Independiente del Valle pada musim 2021. Selepas semusim dipinjamkan keluar, beliau kembali dan terus menggantikan posisi Yves Bissouma.

Begitu juga dengan kes Kaoru Mitoma dan Alexis Mac Allister yang dibeli dan dipinjamkan keluar sebentar sebelum kembali dan mendapat tempat.

Cuba bayangkan jika Mac Allister terus menyertai kelab besar, pasti beliau tidak akan mendapat peluang bersama skuad kebangsaan Argentina yang menjuarai Piala Dunia tempohari disebabkan kurang minit permainan. Inilah kelebihan yang mampu Brighton jamin kepada pemain yang dirisik mereka.

Ketika ini, Mac Allister dilaporkan semakin hampir menyertai Liverpool.

Gilap bintang dan jual untuk jana pendapatan

Berapakah agaknya nilai yang Liverpool tawarkan untuk terbangkan pemain tersebut ke sana? Dikatakan nilainya sekitar £70 juta (RM392 juta).

Beliau menyertai The Seagulls pada 2019 dengan nilai £7 juta (39 juta).

Selain pemain tersebut, Brighton sudah menjana pendapatan lumayan hasil penjualan beberapa pemain bintang mereka antaranya Ben White (Arsenal – £50 juta, RM280 juta), Marc Cucurella (Chelsea – £55 juta, 308 juta)

Walaupun kehilangan tonggak pasukan, mereka dilihat tidak goyah sedikit pun. Inilah keistimewaan Brighton. Pemain sedia ada masih mampu kekalkan cara permainan yang diterapkan pasukan sehingga kini.

Dan mereka memiliki pemain-pemain baharu untuk seterusnya digilap.

Untuk Mac Allister yang dijangka akan meninggalkan pasukan, mereka dikatakan sudah memiliki pengganti setaranya iaitu Steven Alzate.

Ketika ini beliau sedang beraksi secara pinjaman di Standard Liege yang sudah bersedia untuk kembali bagi mengambil alih posisi tersebut.

Penutup

Semestinya, sistem pemantauan dan rekrut pemain Brighton tak sempurna sepenuhnya. Adakalanya, mereka gagal untuk mendapat yang terbaik.

Walaupun sistem itu dibina untuk menjadi penasihat perjudian, tetapi ia turut sama membantu Brighton memburu permata baharu untuk digilap.

Tetapi, peratus menjana keuntungan lebih besar berbanding kegagalan.

Jurgen Locadia, Alireza Jahanbakhsh dan Jose Izquierdo adalah antara pemain yang gagal mencapai jangkaan awal dan kurang berprestasi.

Sepertimana gelaran yang diberikan kepada pemiliknya – ‘The Lizard’, Brighton melayari Premier League tanpa perasaan simpati dan dengan gaya tersendiri. Mereka mengaut keuntungan daripada ‘abang-abang’ besar liga, hasil penjualan pemain biasa yang direkrut murah dan berjaya digilap.

Ini adalah hasil olahan daripada bebenang di Twitter oleh Garis Tengah.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN