Pemergian Accapan pada hari ini memang agak memberikan kesan kepada kita semua.
Pelakon dan pelawak terkenal, Accapan atau nama sebenarnya, Samynathan Rethinam adalah pelakon yang dikagumi semua lapisan masyarakat di Malaysia.
Mendiang merupakan penghibur kita pada masa kita kecil.
Mendiang juga merupakan peminat sejati bola sepak. Pernah memberitahu Utusan Malaysia yang beliau berhenti sekolah kerana terlalu banyak bermain bola.
Pelawak legenda ini berasal dari Parit Buntar ini adalah pemain bola sepak yang berbakat ketika di bangku sekolah. Dipetik daripada Utusan Malaysia, dia pernah berkata:
“Saya bermain untuk sekolah-sekolah Negeri Perak.”
“Hampir kesemua pertandingan yang disertai akan mendapat tempat pertama. Jadi dari situlah saya memasang angan-angan untuk bergelar pemain bola.”
Kejar cita-cita jadi pemain profesional
Oleh kerana merasakan dirinya ada bakat. Accapan mahu keluar untuk mengejar cita-cita menjadi pemain bola sepak.
Niatnya untuk ke Kuala Lumpur ternyata tidak direstui ayahnya. Namun Accapan nekad untuk ke Kuala Lumpur juga.
Dengan berbekalkan RM15 dan mengayuh basikal ke Kuala Lumpur pada tahun 1972.
9 hari masa dia habiskan untuk sampai di KL. Masa tu mana ada lebuh raya. Dan banyak lagi jalan raya tidak siap.
Apabila tiba waktu tidur, Accapan akan tidur di perhentian bas sekolah ataupun tidur di dalam bas yang parkir sehingga hari pagi.
Tepat pukul lima pagi dian akan bangun, bersarapan roti canai di warung terdekat dan meneruskan semula kayuhannya.
“Pernah juga tayar basikal bocor dan macam-macam masalah lagi namun semuanya dapat saya atasi.”
Tiba di Lembah Kelang, Accapan menyewa di Old Town, Petaling Jaya. Dia melakukan beberapa kerja untuk mengintai peluang bermain bola sepak profesional.
Sehingga lah satu hari beliau bekerja di KFC dan mewakili Syarikat itu dalam pertandingan bola sepak.
Beliau pernah berkongsi Padang latihan dengan legenda arwah Mokhtar Dahari dan mendiang R. Arumugam. Itu membuatkan Accapan sangat teruja.
Aksi cemerlang beliau membolehkan Accapan dipilih bermain untuk Selangor B.
Akibat kualiti pasukan dan para pemain dalam pasukan Selangor ketika itu, Accapan meyatakan dia sukar untuk menembusi senarai pasukan utama ataupun pasukan A.
Selepas itu, Accapan terus aktif bermain di Lembah Kelang. Aksi cemerlang bersama Ikatan Belia Utama membolehkan mendiang ditawarkan jawatan di dalam Kementerian Kewangan.
Di sana mendiang berkenalan dengan bosnya Aziz Ibrahim yang merupakan pelakon drama dan teater.
Dari situlah Accapan mulai berjinak-jinak dalam dunia lakonan. Dan perlahan lahan Accapan meninggalkan cita-citanya menjadi pemain bola sepak profesional.
Ke dunia seni
Pintu rezeki mendiang ternyata bukan di lapangan bola sepak. Accapan mulai aktif dalam aktiviti kesenian dan berjaya memenangi pertandingan yang dianjurkan di Festival Filem Malaysia.
Pelbagai tugasan dan watak diberikan kepad peserta. Dan pasukan Selangor memenangi pertandingan itu. Mereka semua berbagi RM500.00 setiap seorang.
Pada masa itu, angka itu sangat besar, menurutnya.
“Ingat lagi, dalam pertandingan festival tu, wakil-wakil pelakon dari setiap negeri diberi tugasan untuk berlakon menjual makanan. Setiap kali kereta api berhenti kami akan menjual makanan pada penumpang.”
Daripada situlah, tawaran berlakon datang mencurah-curah kepada Accapan. Daripada bintang pertandingan Accapan naik perlahan-lahan menjadi bintang filem.
Pada 1984, Accapan ditawarkan kontrak untuk menjadi sebahagian daripada pelako sitkom legenda, Santan Berlada.
Kekuatan utama Accapan adalah, dia cepat menghafal skrip dalam masa yang singkat. Namun Accapan mengakui bidang lawak ini kelebihannya, pelakon boleh banyak beraksi spontan.
Di situlah Accapan bertemu dengan nama-nama seperti Mr. Os, Ali Mamak, Fauziah Nawi, Khairul Azhar (Ali Mamak).
“Masa tulah saya berkesempatan berjumpa dan berlakon bersama Os, Ali Mamak, Fauziah Nawi, Khairul Azhar. Saya tak kenal mereka sebab saya tak tengok drama Melayu dulu tetapi saya tahu mereka popular.”
Dari situ juga Samynathan Rethinam mulai digelar Accapan yang terus melekat pada dirinya.
“Nama itu berasal dari watak saya sebagai pemandu lori. Dekat lori tu ditulis ‘Acappan Anak Lelaki Kupusamy.’ Nama itulah saya guna sampai ke hari ini.”
Dia meninggalkan kerjayanya di Kementerian Kewangan dan fokus sepenuhnya kepada dunia lakonan. Ini kerana Accapan terlalu banyak komitmen di set sehingga lewat pagi.
Setiap episod Accapan menerima RM450.00. Angka yang mendiang rasakan sangat besar dan dia bersyukur.
Santan Berlada ternyata mengubah nasib hidupnya yang awalanya datang ke Kuala Lumpur untuk menjadi pemain Selangor.
Selain daripada Santan Berlada, Accapan turut menjadi sebahagian daripada pelakon sitkom ‘berhantu’ Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
Terlalu banyak drama, pementasan dan filem untuk disenaraikan. Yang pasti nama mendiang Accapan terlalu istimewa di hati rakyat Malaysia.
Itulah kisah Accapan yang menjadi legenda di arena lakonan. Ianya bermula dengan usaha mendiang cuba mengejar cita-cita menjadi pemain bola sepak profesional bersama Selangor.
Selamat tinggal mendiang Accapan, anda akan sentiasa kami kenang. Terima kasih kerana pernah menjadi penghibur kami. Takziah kepada keluarga mendiang.