Quantcast

BERITA

Piala Malaysia 2018: Nasib Kelantan Bagai Telur Dihujung Tanduk

Tugas sukar menanti skuad The Red Warriors apabila dijadualkan menentang Kedah di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Ahad ini pada aksi terakhir kumpulan C Piala Malaysia.

Mereka turun dengan misi wajib menang bagi merealisasikan impian ke suku akhir sambil mengharapkan keputusan perlawanan MIFA dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berakhir dengan keputusan seri.

Bercakap kepada Berita Harian, pengendali skuad itu, Yusri Che Lah memanfaatkan tempoh rehat hampir 2 minggu untuk mempersiapkan pasukannya.

“Tempoh rehat dua minggu selepas perlawanan terakhir dengan MIFA digunakan sebaik mungkin untuk memperkemaskan jentera serangan pasukan yang dilihat masih buntu dengan hanya satu gol dalam lima perlawanan.

“Malah kepulangan semula Nik Akif Syahiran dan Baktiyar (Duyshobekov) diharap berupaya mengimbangi kekuatan lawan yang diketuai Sandro Da Silva, Akhyar Rashid dan Liridon Krasniqi.

“Nik Akif dan Baktiyar akan mengemudi bahagian tengah pasukan untuk menyaingi kekuatan bahagian tengah Kedah yang diketuai Baddrol Bakhtiar,” katanya.

Mengulas berkenaan kelemahan jentera serangan pasukannya, Yusri berharap Nik Azli dan Cristiano Santos memanfaatkan peluang terhidang untuk mencari gol di awal permainan.

Jurulatih kelahiran Perlis itu bagaimanapun memuji benteng pertahanan diketuai Farisham Ismail dan Cassio de Jesus yang ampuh mengekalkan rekod kebal dengan hanya bolos tiga kali sepanjang lima perlawanan.

“Sekiranya Kelantan layak ke suku akhir ia satu pencapaian terbaik pasukan musim ini walaupun dibarisi pemain muda yang masih cetek pengalaman,” katanya.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!