Apabila Felda United kembali semula ke kancah Liga Super pada musim 2015 selepas dipromosi dari Liga Premier musim 2014, tak banyak yang memberi harapan kepada mereka.
Pada musim 2015 itu, JDT melabur besar untuk membawa masuk Patricio ‘Patito’ Rodriguez (menggantikan Jorge Pereyra Diaz). Pahang pula melabur besar untuk mengekalkan Dickson Nwakaeme dan Matias Conti.
Felda United pula – pada ketika itu dibimbing oleh Irfan Bakti – mengekalkan majoriti pemain-pemain sama yang membantu pasukannya naik ke Liga Super 2015. Ia satu strategi yang berisiko. Tetapi berani diambil oleh Irfan Bakti kerana beliau percaya Felda United naik ke Liga Super 2015 kerana kualiti pasukan – bukannya kualiti individu.
Pada musim itu, Irfan turut memberi kepercayaan kepada 3 pemain muda tempatan baru – Ferris Danial yang baru balik dari kempen liga Harimau Muda A di Australia, Syahid Zaidon dan Shahrul Saad yang dipinjam dari Perak.
Dari segi tenaga import, Irfan cuma membawa masuk seorang pertahanan import tinggi lampai, Bojan Miladinovic untuk melengkapkan kuartet import sedia ada – Ndumba Makeche, Edward Junior Wilson dan Zah Rahan Krangar.
Hanya pada jendela perpindahan kedua, barulah Irfan membawa masuk penyerang baru, Thiago Augusto untuk menggantikan Edward Junior Wilson.
Polisi Felda United yang menggunakan pemain-pemain muda sambil diadun dengan pengalaman pemain-pemain senior seperti Shukor Adan, Indra Putra Mahyuddin dan Farizal Harun, nyata membuahkan hasil pada musim 2015 tersebut.
Dalam kempen Liga Super musim 2015, Felda United berjaya menewaskan JDT 2-1 di Stadium Selayang. Kemudian di depan 11,023 penyokong Pahang di Stadium Darul Makmur, Thiago Augusto menjaringkan 2 gol dalam masa 7 minit untuk mengikat Pahang 2-2.
Di akhir musim, Felda United menamatkan kempen Liga Super di tangga ke-5 sebelum melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2015.
Strategi mengadunkan teras pasukan yang muda dengan pemain-pemain senior dan import yang berkualiti ini diteruskan lagi pada musim-musim seterusnya.
Pada musim 2016, prestasi Felda United bertambah baik apabila menduduki tangga ke-2 Liga Super – kedudukan liga tertinggi mereka sejak 2011 – sekaligus layak ke saingan Piala AFC 2017.
Kini pada musim 2017, Felda United sedang menduduki tangga ke-3 Liga Super dengan baki 1 perlawanan dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia.
Dengan hanya bolos 24 gol dalam 21 perlawanan Liga Super, Felda United turut memiliki jentera pertahanan kedua terbaik di Malaysia selepas JDT yang bolos 19 gol.
Dari skuad Piala Presiden ke skuad senior
Selain nama Thiago Augusto dan Zah Rahan Krangar pada musim ini, nama-nama seperti Danial Amier, Ali Imran, Kalamullah Al Hafiz dan Azriddin Rosli mula meniti bibir peminat bola sepak tempatan. Tetapi di Akademi Bola Sepak Felda di Institut Semarak Felda, Bangi, nama mereka sudah terkenal.
Paling terkenal adalah Danial Amier, pemain tengah yang membantu skuad Malaysia bawah-23 ke perlawanan penentuan pingat emas Sukan SEA KL2017.
Mula dikesan bakatnya oleh barisan kejurulatihan Akademi Bola Sepak Frenz United, Danial kemudiannya membawa diri ke skuad Piala Presiden Felda United selepas penutupan akademi Frenz United pada September 2016.
Dari skuad Piala Presiden, Danial dan 3 rakannya diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka bersama skuad senior. Kini mereka menjadi sebahagian daripada masa depan FELDA United.
Bagi pemain-pemain Akademi Bola Sepak Felda, kepercayaan barisan pengurusan dan kejurulatihan skuad senior Felda United kepada pemain-pemain muda inilah yang menjadi pembakar semangat mereka untuk mengejar cita-cita menjadi pemain bola sepak profesional.
Akademi Bola Sepak Felda ‘kilang’ penghasilan pemain berkualiti
Diletak di bawah pengurusan Jabatan Inovasi & Pembangunan Generasi Baharu Felda, Akademi Bola Sepak Felda mempunyai 3 pasukan (bawah-14, bawah-16 dan bawah-17), 70 pemain, 5 jurulatih dan 2 pegawai fisioterapi di bawahnya.
Program kejurulatihan akademi diketuai oleh Nazim Din sambil dibantu oleh jurulatih skuad bawah-14, Rozmin Musa, jurulatih skuad bawah-17, Nasir Shariff , jurulatih penjaga gol, Azli Muhammad dan Othman Katmon.
Nazim Din dan barisan jurulatihnya boleh berbangga dengan hasil kerja mereka setakat ini.
Mereka baru sahaja muncul juara Allianz Junior Football Camp (AJFC) Malaysia League 2017 (menewaskan Akademi PKNS), juara Liga 1MCC peringkat bawah-14 dan bawah-16 serta layak ke separuh akhir Liga Bola Sepak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Pemain-pemain akademi ini semuanya terdiri daripada anak-anak peneroka dari 317 tanah rancangan dan staf Felda. Di akademi ini, kesemuanya telah lengkap. Apa yang pemain-pemain perlu buat adalah – main bola sepak dan belajar bersungguh-sungguh.
Pada hari persekolahan, pemain-pemain dihantar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 14, Putrajaya. Di sana, persembahan akademik mereka sentiasa diperhati dan dilaporkan oleh guru-guru kepada pengurusan Felda. Jika persembahan akademik pemain merudum, tuisyen tambahan akan diberikan.
Sebagai pemain akademi bola sepak, matlamat utama pemain-pemain ini sudah pastilah mahu diserap masuk dalam skuad Piala Belia, kemudian skuad Piala Presiden dan seterusnya skuad senior yang bermain di Liga Super.
Tetapi jika pemain-pemain ini tidak mendapat tempat dalam skuad senior, mereka sentiasa mempunyai pilhan kedua – akademik. Pengurusan Felda akan mengatur supaya graduan-graduan akademi mereka dapat menyambung pelajaran di universiti-universiti awam, kolej komuniti, politeknik atau Kolej Yayasan Felda.
Felda membelanjakan kira-kira RM2 juta setahun untuk memastikan kebajikan setiap pemain-pemain akademi mereka terjaga – sama ada dari segi pemakanan, pengangkutan, kelengkapan latihan, tempat tinggal serta rohaniah.
Pemain-pemain perlu makan 5 kali sehari, menghadiri latihan 3 kali seminggu, bermain lebih daripada 30 perlawanan kompetitif setahun, mendapat gred yang baik di sekolah serta menghadiri kuliah agama 2 kali seminggu.
Semua ini perlu untuk memastikan graduan-graduan akademi bukan sahaja membesar untuk menjadi pemain yang berkualiti, malah menjadi insan yang berguna dalam apa jua bidang yang diceburi selepas tamat alam persekolahan nanti.
5 keutamaan Akademi Bola Sepak Felda
1. Tinjau bakat (scouting)
Dengan 317 tanah rancangan di 6 buah negeri, Felda menggunakan kelebihan demografiknya yang luas untuk mencari bakal-bakal bintang baru bola sepak dengan menganjurkan Liga Felda. Liga yang berlangsung selama 6 bulan ini mempertemukan skuad Akademi Bola Sepak Felda dengan pasukan-pasukan bola sepak dewasa dari seluruh tanah rancangan Felda.
“Melalui Liga Felda, pemain-pemain akademi kami akan mendapat pengalaman bermain menentang pemain yang lebih matang fizikalnya. Disamping itu, Liga Felda juga menjadi platform kami untuk meninjau bakat pemain-pemain muda baru untuk diserap masuk dalam akademi,” terang Kanaraj Ramalingam, pegawai Akademi Bola Sepak Felda kepada kami.
2. Diversiti
“Kami sentiasa mahukan pemain yang berbeza-beza untuk satu posisi,” beritahu Nazim Din, ketua jurulatih akademi bola sepak Felda. “Jika saya sudah ada pertahanan tengah yang jenis no-nonsense, saya akan mencari anak-anak Felda yang jenis tenang memegang bola pula.”
Dengan cara ini, Nazim mengelak daripada mencipta persaingan langsung antara pemain dalam satu posisi.
3. Pengkhususan posisi
Semua graduan akademi akan mempelajari asas-asas penguasaan bola dan cara melakukan transisi permainan di pelbagai posisi sehinggalah memasuki pasukan bawah-17, di mana mereka akan bermain khusus di satu posisi sahaja.
Pemain akademi yang bagus akan dicampurkan dengan pemain skuad Piala Belia dan Piala Presiden. Jika mereka terus mempamerkan peningkatan, barulah mereka akan menandatangani kontrak skuad Piala Belia dan Piala Presiden.
4. Pembangunan holistik
“Kami bukan sahaja mahu melahirkan pemain bola sepak yang bagus. Malah kami juga mahu melahirkan individu yang berakhlak, mempunyai sahsiah yang tinggi dan mampu menjadi orang berguna – sama ada sebagai pemain bola sepak ataupun bukan pemain bola sepak,” terang Nazim.
5. Penilaian persembahan melalui data
“Setiap akademi menyediakan data untuk pemain-pemainnya. Tetapi kami cuba persembahkan data kepada pemain dengan cara yang lebih dua hala. Pemain-pemain kami wajib memberikan maklum balas terhadap prestasi latihan mereka,” kata Nazim.
Rumusan
Di kala banyak pasukan-pasukan memilih jalan penyelesaian jangka masa pendek (membeli pemain) untuk meningkatkan kualiti pasukan, pendekatan pasukan yang memilih jalan penyelesaian jangka masa panjang (melahirkan pemain melalui akademi) seperti Felda United adalah sesuatu yang segar dalam arena bola sepak negara.
Di negara bola sepak yang maju, setiap kelab bola sepak mempunyai akademi mereka sendiri. Sama ada kelab kecil atau besar, hampir semua kelab profesional memiliki akademi mereka sendiri.
Malangnya di Malaysia, konsep menubuhkan akademi ini masih lagi sesuatu yang asing bagi majoriti pasukan-pasukan dalam Liga Super dan Liga Premier. Jika trend ini masih berterusan, tak mustahil mereka akan terus ketinggalan di belakang pasukan-pasukan yang mempunyai akademi sendiri.